Kekeluargaan

Sudah Empat Tahun Terlantar, Otak Jahidah Rosak Teruk Akibat Dibelasah Suami

Share

Sudah empat tahun terlantar, otak Jahidah rosak teruk akibat dibelasah suami. Sudah genap empat tahun sejak insiden tragis menimpa Jahidah Nordin, 47, namun penderitaan wanita ini masih belum menemukan noktah.

Sudah Empat Tahun Terlantar, Otak Jahidah Rosak Teruk Akibat Dibelasah Suami

Akibat dipukul suami sendiri sehingga menyebabkan koma, Jahidah kini hanya mampu terbaring tanpa daya. Tidak boleh berkata-kata, bergerak atau menjalani kehidupan seperti insan lain.

Hari-hari yang dilaluinya seakan hanya disaksikan oleh sepasang mata yang sesekali berkelip. Satu-satunya reaksi kecil yang menandakan dia masih bernyawa, meskipun tersepit dalam tubuh yang tidak lagi mampu berfungsi seperti dahulu.

Bagi adiknya, Fauziah Nordin, 44, yang kini memikul tanggungjawab sebagai penjaga utama, setiap hari adalah perjuangan yang sarat dengan kesabaran, keikhlasan dan air mata.

“Doktor maklumkan, kerosakan otaknya sangat teruk. Kini sudah masuk tahun keempat dia koma… kami hanya mampu berserah,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di rumah mereka.

Fauziah tidak mahu terlalu menggantungkan harapan. Baginya, menerima kenyataan ini dengan hati yang redha adalah cara terbaik untuk terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.

“Bukan kami tidak berdoa atau tidak mahu berharap. Tapi kalau terlalu meletakkan harapan, kami akan lebih terluka. Hanya keajaiban yang mampu mengubahnya,” katanya.

Setiap hari, Fauziah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakaknya sepenuh masa. Dari urusan memandikan, menyuap makanan, menukar lampin sehinggalah menjaga anak kecil milik kakaknya, semuanya digalas dengan tabah.

@ziahzara_15 ♥️ #nufailfamily #ibunufailkenaderasampaikoma #redha #serahkanpadaAllah ♬ original sound – T I Y A 🌻 – ayitnas 🌻

“Awalnya memang sukar… untuk bersihkan Kak Jahidah saya perlu angkat badannya, sedangkan kudrat saya sebagai wanita terbatas. Tapi lama-kelamaan saya belajar. Sekarang saya dah biasa, dan anggap ini semua sebagai saham akhirat,” katanya perlahan.

Walau sudah terbiasa, Fauziah mengakui bukan mudah menyimpan semua rasa. Ada waktunya dia penat, emosi terganggu dan berasa sunyi. Namun, setiap kali memandang wajah kakaknya yang tidak berdosa itu, dia mengumpul kembali kekuatan.

Dalam masa sama, anak tunggal Jahidah, Eshan Nufail yang kini berusia empat tahun juga turut berdepan cabaran tersendiri.

Disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dari segi perkembangan, Eshan masih belum mampu bertutur dengan jelas seperti kanak-kanak seusianya.

“Dia sihat, aktif dan sudah boleh berjalan tegap, cuma belum bercakap seperti kanak-kanak lain seusianya. Doktor kata tiada masalah besar, cuma perkembangan lambat. Sekarang dia suka keluar berjalan-jalan, mungkin bosan terperap dalam rumah,” kata Fauziah sambil mengusap kepala si kecil yang setia bermain di sisi ibunya yang terbaring kaku.

Sumber: Harian Metro dan TikTok Fauziah Nordin

Baca artikel lain juga: Isteri Mati Dibunuh Di Bilik Hotel, Ibu Soal Menantu 32 Tahun Ibu Jaga, Sampai Hati Kamu Bunuh

Isteri Meninggal Dibelasah Suami Guna Tukul Besi, Baru Setahun Kahwin & Tinggalkan Anak Kecil Berusia 3 Bulan

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

 

 

 

Published by
Has