Bila nak berumah tangga, nak pilih suami yang berduit ke nak yang biasa-biasa janji hati bahagia? Tetapi kalau tengok orang boleh beli apa yang dia nak, rasa itu dah cukup puas dan beruntung.
Namun ada sesetengah orang, duit banyak penuh poket pun hati tetap tak bahagia. Sebab tak semua benda kat dunia ini boleh dibeli dengan duit.
Termasuklah soal hati seorang perempuan. Tambah pula kalau dia sudah punya anak-anak dan suami terlalu sibuk sampai nak tumpang bahu letak kepala seminit dua pun ta lepas. Apa lagi nak ajak solat berjemaah bersama dan mengaji al-Quran bersama. Jadi, kalau itu pun tak dapat nak rebut… agak-agak bahagia itu boleh dibeli?
Itu yang jadi banyak kes perempuan makan hati dan mengalami tekanan di rumah.
Cubalah sesekali suami ucap kata cinta, pegang tangan dan dengar apa yang terbuku di hati seorang isteri. Betapa mudahnya buat isteri rasa dihargai dan gemuk hati. Tak payah pun bawa jauh ke negara orang semata-mata nak buat isteri bahagia.
Ads
Dan kalau ada masa, bantulah mereka bersama-sama buat kerja rumah. Lagi bagus, sekali sekala ambil anak dan bagi isteri rehat. Tidurkan anak-anak dan curi masa kemas rumah. Percayalah mak-mak cukup suka hati kalau tahu suaminya dah lipatkan kain dalam bakul!
Mudah ke payah? Semuanya terpulang pada suami, nak buat ke tidak.
Isteri Tak Pernah Minta Bayaran
Suami, tolonglah sayangi isteri. Suri rumah atau jenis bekerja, wanita itu tetap perlukan kasih sayang daripada seorang suami. Kadang isteri tolong suami cari duit tanpa harap balasan. Dia jadi bibik 24 jam di rumah. Bibik pun ada gaji dan ada waktu bekerja. Tapi isteri?
Ads
Ada masa isteri jadi tukang masak yang pakar, tapi yang istimewanya dalam masakan mak-mak ini diselit dengan doa dan bersih. Malah setiap hari sebelum pejam mata, ada yang letak tangan ke dahi memikirkan menu baru dan nak masak apa esok hari untuk suami dan anak-anak. Allah… pendek kata, 24 jam dia hanya fikirkan nak jadi isteri terbaik buat suami.
Belum kira pasal uruskan kerja sekolah anak-anak. Kejap jadi cikgu Bahasa Melayu, kejap ajar sains, dan malam jadi Ustazah mengajar mengaji. Punyalah dia dia nak mendidik anak-anak biar ada masa depan. Yang best semua FREE!
Ads
Untungnya suami dapat wanita yang hebat dalam rumah tangga.
Hargailah pasangan hidup anda, janganlah malu nak meluah kata cinta. Percayalah seorang isteri yang baik tak pernah harapkan harta yang lebih, melainkan dapat suami yang boleh bimbing dia ke syurga dan jadi IMAM dalam solatnya setiap hari.
In shaa Allah, moga penat kaum isteri berbaloi dan bahagia itu bergolek masuk dalam rumah tangganya.
Aamiin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Indahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Ini sangat mengejutkan apabila bayi ditinggal dalam sebuah bilik keseorangan tanpa mak ayah. Dengan keadaan tak sihat, syukur kerana ada seorang lelaki menjumpainya dan terus menjaga bayi tersebut.
Tak boleh nak fikir, macam mana seorang ibu yang tergamak meninggalkan bayi lelakinya berusia lingkungan tujuh hari seorang diri di sebuah bilik sewa di Taman Tampoi Indah dalam kelaparan?
Disebabkan situasi ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kepada bayi yang dipercayai kebulur beberapa hari sebelum diselamatkan seorang pekerja lelaki bahagian pembersihan yang juga kenalan si ibu.
Cerita asalnya, pada 5 Julai lalu mak bayi berkenaan berusia 20-an bertemu dengan lelaki itu dan bertanyakan berkaitan bilik sewa bagi keluarganya.
Mak budak itu bersetuju untuk menyewa sebuah bilik di Taman Tampoi Indah pada hari sama dengan bayaran bulanan RM250 dan menyatakan kononnya akan bayar apabila suaminya pulang dari Kuala Lumpur.
Namun tak dijangka, kira-kira jam 7.30 petang 8 Julai lalu ketika pekerja bahagian pembersihan itu meninjau bilik sewa berkenaan, bayi kecil tersebut ditemui kebuluran dan berseorangan.
Apa yang lagi menyedihkan, sewaktu dijumpai bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat dan lelaki itu kemudian menyelamatkan bayi berkenaan dan menjaganya dengan harapan ibu kandungnya akan pulang.
Dalam tempoh penjagaan, wanita itu gagal menuntut bayinya selain berikutan keadaan kesihatan bayi berkenaan semakin merosot, lelaki berkenaan mengambil keputusan membawanya ke HSI pada 12 Julai.
Andai ada yang nak tengok bayi itu, sekarang dia sedang mendapat rawatan di HSI selama beberapa hari sebelum dirujuk menerusi Jabatan Kerja Sosial HSI kepada JKM pada 16 Julai 2018.
Hasil siasatan, bayi berkenaan ditinggal oleh ibu kandungnya di sebuah bilik sewa beralamat 02-17A, Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah.
Mengikut maklumat dari HSI, tiada sebarang maklumat berkaitan ibu bayi berkenaan diperoleh dan dipercayai bayi itu tidak dilahirkan di hospital awam sekitar Johor Bahru.
Pegawai perubatan bertugas membuat laporan polis bagi merujuk kanak-kanak itu ke Jabatan Kerja Sosial HSI sebelum bayi berkenaan dirujuk kepada pelindung kanak-kanak JKM bagi penempatan sementara.
Bayi berkenaan dinamakan sebagai Eimir dianggarkan berusia 36 hari dan kini ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak.
Sangat menyedihkan sebab bayi itu masih mendapatkan rawatan susulan di HSI berikutan mengalami masalah gastrik.
Mengikut laporan Berita Harian, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 dan berikutan tiada sebarang tuntutan, bayi berkenaan ditempatkan di institusi perlindungan JKM mengikut Seksyen 18 Akta Kanak Kanak 2001.
Kasihan dengan keadaan, kalau ada orang ramai yang tahu tentang bayi tersebut boleh terus menghubungi JKM di talian 07-2232606.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Luahan hati pendidik ini amat perit untuk ditelan. Ianya kisah benar yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Bila anak yang meniti usia remaja, berjauhan dari ibu dan ayah, ditempatkan di asrama tentulah tanggungjawab itu diserahkan pada pendidik.
Apabila berlaku satu-satu kes melibatkan pelajar, bukan semuanya dapat diselesaikan seperti mana yang sepatutnya. Kerana komunikasi antara ibu ayah dan pendidik adakalanya tidak seiring.
Perkongsian Ezatul Mariniseharusnya membuka mata ibu ayah yang kala ini mempunyai anak-anak baik lelaki mahupun perempuan yang tak lagi tinggal sebumbung dengan mereka. Berjauhan di asrama.
Agar, ibu ayah berikan kepercayaan pada pendidik untuk membentuk disiplin mereka. Asalkan ianya tak menyakiti dan memberi kemudaratan pada anak, ibu ayah berikanlah ruang dan peluang itu.
Seorang anak perempuan didapati kerapkali melakukan kesalahan keluar masuk kawasan institusi tanpa kebenaran. Beliau juga pernah ditangkap keluar bermalam ke rumah teman lelakinya. Dek kerana acapkali kes berlaku, panggilan terpaksa dibuat untuk memaklumkan kedua ibu bapanya.
“Kami pun dah tak tau nak buat apa. Dia memang liar.” itu sepatah jawapan si ayah
Seorang anak lelaki tertangkap memasuki kawasan asrama perempuan dan berdua-duaan dalam kawasan asrama dari tengah malam hingga awal pagi. Setelah terbukti kes, ibu bapa pelajar terpaksa dipanggil.
“Hello mak. Ni nak bagitahu lah…terbuat lawak bodoh pulak, kena tangkap sebab masuk asrama perempuan.”
Dalam kes ini, bapa pelajar perempuan datang dengan linangan airmata dan wajah penuh kekecewaan manakala keluarga pelajar lelaki langsung tidak kelihatan
Seorang pelajar perempuan didapati tiada dalam bilik. Bermakna pelajar ini bermalam atau keluar kawasan institusi tanpa kebenaran. Bila dihubungi ternyata suara lelaki yang menjawab panggilan.
Mungkin menyedari bahawa yang menghubungi adalah pengurusan pelajar, panggilan itu tidak lagi dijawab. Panggilan dibuat kepada ibu pelajar untuk memaklumkan bahawa anaknya tiada di bilik dan ini melanggar peraturan.
“Ehhh saya kenal budak lelaki tu…mereka berkawan saja. Jangan ganggu lah mereka. Mereka nak belajar.”
Itu beberapa realiti yang perlu dihadapi Dan tangani oleh segelintir golongan pendidik yang juga menawarkan diri mereka menjadi pengganti ibu bapa yang menjaga kebajikan dan permasalahan anak-anak di sekolah mahu pun institusi pengajian.
Semasa menerima anak-anak ini di hari pertama pendaftaran, saya percaya kebanyakan dari mereka berazam dan berikrar untuk mendidik dan menjalankan amanah mengawasi dan membentuk anak-anak ini yang sebahagiannya baru pertama kali berjauhan dengan keluarga dan merasai hidup di luar kawalan ibu dan bapa.
Tidak ada, saya yakin seorang pun dari mereka yang gembira melihat sekiranya anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa ini berubah menjadi anak-anak yang hilang kawalan diri dan terjerumus kepada gejala yang tidak baik.
Namun adakalanya, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mengekang usaha pembentukan peribadi anak-anak ini.
Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi bilamana seorang anak bersungguh-sungguh menuduh pengurusan pelajar enggan menghantar anaknya yang sakit ke hospital waktu tengah malam dan si anak juga bersungguh mengatakan akibat tidak dibantu sakit yang dihidapnya semakin memberat. Mujur, di hadapan ibu bapanya, penipuan beliau dapat dibongkar.
Namun, tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang sangat mudah memberikan kerjasama dan bantuan. Sentiasa prihatin dan memahami apa sahaja yang ditegaskan oleh pengurusan adalah untuk kebaikan anak mereka juga.
Agak sukar untuk agenda membentuk sahsiah dan akhlak itu hendak dilaksanakan sekiranya tiada komitmen dan kerjasama semua pihak. Skrip, “yang puan beria ni kenapa? Kami sebagai ibu bapa pun tak pernah bising” sudah terlalu klise
Dialog seperti “tolonglah puan, jangan kenakan tindakan berat kepada kami atau anak kami” juga sudah terlalu kerap kami hadap.
Jika di satu pihak menyangkal peranan guru dalam mendidik anak-anak dan turut menghalang proses penguatkuasaan undang-undang, generasi apa lah yang hendak kita wujudkan pada masa hadapan.
Isu biadab, hilang pekerti dan daif susila sudah terlampau banyak dilambakkan. Mungkin yang perlu sama-sama diperhalusi, peranan dan tanggungjawab dalam memperbetulkan keadaan.
Bukan tujuannya untuk tuding-menuding jari meletakkan kesalahan, namun jalan yang terbaik adalah mencari titik pertemuan. Bagaimana membentuk sinergi agar kemelut isu sosial dan akhlak dapat ditangani secara kolektif dan saksama…
*Saya juga mempunyai anak remaja yang dititipkan ke asrama. Sungguh, setiap hari perasaan saya libang-libu. Mana nak memikirkan bimbang dia terlibat dengan masalah disiplin, bimbang andai dia biadab dengan para pensyarah, juga tak jemu mendoakan anak agar menjaga solat dan akhlak*
Disamping mendoakan yang baik-baik untuk anak kita, ayuh kita sama-sama berikan ruang dan peluang untuk anak kita dididik dan dibentuk insan lain di kala kita tidak berkesempatan melaksanakannya
Seorang wanita berstatus isteri orang bersama lelaki bujang ditahan JAINJ selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Kluang hasil maklumat orang awam.