Kebanyakan kaum isteri mendambakan suami yang baik untuk rebut kebahagiaan dalam rumah tangga.
Baik itu bukanlah bermakna suami yang ikut kehendak isteri setiap masa, tetapi lelaki yang baik boleh menyelami hati seorang isteri dan mampu bertolak ansur tika ada masalah.
Lebih dekat, istilah baik itu ada dalam perkongsian Puan Nieza termizi ini. Jemput renungkan seminit.
Suami Yang Baik Itu…
Memenuhi keperluan emosi isteri adalah salah satu dari nafkah batin.
Dalam rumahtangga, suami dan isteri menghadapi pelbagai perubahan emosi. Mula-mula kahwin segalanya indah. Hari demi hari, tahun bertukar ganti, kita mula menghadapi ujian dalam rumahtangga. Setiap pasangan pasti tidak akan dapat lari dari situasi menduga ni.
Ads
Bercakaplah dengan isteri apabila ada masalah. Jangan mengelak. Jangan minum kopi bersama kawan-kawan di restoran mamak. Jangan menyorok main game di dalam bilik. Jangan buat hal sendiri seolah tak ada apa berlaku.
Isteri diam, terus selidik. Isteri merajuk, terus pujuk.
Berani menghadapi masalah adalah tanda kekuatan seorang suami. Berbincang dengan isteri adalah tanda kita memenuhi nafkah batin untuknya. Mendengar rintihan isteri, diam ketika dia sedang marah, bersabar dengan karenahnya, memujuk dan menyapu air matanya adalah tanda kita memenuhi keperluan emosinya.
Ads
Suami tak bagi bunga, isteri tak kisah. Suami tidak hadiahkan kepingan coklat cudburry, isteri tidak sedih. Tiada rantai mahal, tiada percutian mewah, tiada teddy bear, tiada candle ligth dinner atau tiada taburan kelopak mawar atas katil. Semua itu isteri tidak peduli.
Yang dia peduli, apakah suami mendengar suara hatinya? Ketika dia sedang bersedih, menangis, penat, keletihan, marah, geram dan berkecil hati. Adakah suami menyedari dan mengerti?
Kadangkala isteri juga mahu luangkan masa bersama suami. Berdating berdua, berjalan ke tempat cantik, berpegangan tangan, berbual sambil berkongsi straw minuman, makan bersuap, selfie berdua dan seumpamanya adalah cara memenuhi keperluan emosi isteri. Alangkah indahnya perasaan isteri.
Ads
Cakap Baik-baik
Selain daripada itu, bercakaplah dengan lemah lembut dan gunakan perkataan yang baik. Jangan suka menyindir dengan maksud gurauan atau sebaliknya. Jika isteri berkecil hati, tercalarlah emosinya. Suami yang baik akan selalu mencairkan hati walaupun tidak mengeluarkan bahasa romantik.
Isteri adalah cerminan suami. Baik suami baiklah isteri (InshaAllah). Suami yang suka mendidik isteri bermakna dia sedang berusaha memenuhi nafkah batin untuk isteri. Beri nasihat dan tegur dengan cara yang baik bila dia tersilap, ajarkan dia tentang akidah islamiyah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Jika suami tidak mampu, izinkanlah dia keluar ke kelas pengajian.
Begitulah..
Seperti kita tidak pernah mengabaikan nafkah zahir (duit belanja, pakaian baru, duit makan, segala keperluan dan kelengkapan diri untuk setiap bulan), begitu juga dengan nafkah batin. Jangan diabaikan. Kerana sesungguhnya nafkah batin bukan hanya keperluan di bilik tidur semata.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sempena anniversary yang ke-9 bersama isterinya, ini pesan Ustaz Don, “Sentiasa Ada Ruang Perbaiki Kesilapan.”
Ustaz Don sentiasa mencuri perhatian apabila setiap kali tibanya hari istimewa, pasti saja ada titipan atau kata-kata indah buat isteri tercinta.
Selain menghargai kasih sayang isteri tercinta, dalam masa yang sama Ustaz Don turut berkongsi tip dan doa kepada semua pengikutnya di akaun instagramnya. Kongsinya:
Semoga Allah menjadikan kita semua pasangan yang bahagia di dunia dan di akhirat serta ditemukan dalam Syurga nanti sebagai pasangan bahagia seperti para Anbiya’ dengan Isteri mereka yang mulia, berkat Nabi Muhammad ﷺ .
آمِين يٰـا رَبّ الْعَالَمِين .
Doa Ustaz Don Untuk Semua
Ini doa yang saya teringin hendak baca and tulis untuk semua pada akhir malam hari ulang tahun perkahwinan kami.
Semoga bermanfaat.
Ya Allah ampunilah andai aku mengguris hati saudara-saudara ku. Dan aku memaafkan kesalahan mereka ke atas ku.
آمِين يٰـا رَبّ الْعَالَمِين
Mingguan Wanita : Happy anniversary Ustaz Don dan isteri, semoga berkekalan hingga ke Jannah.
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Impian Anak Turut Jejak Langkah
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Suasana Kerja
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
– Ummi risau –
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Impian Diri Sendiri
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Buat Kajian
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Adakan Perbincangan
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Ukuran Kejayaan
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perubatan regeneratif dan anti-penuaan memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan wanita, terutamanya dalam menangani kesan penuaan dan perubahan fisiologi yang berlaku sepanjang kehidupan.
Tidak dinafikan masih ramai wanita mempunyai pelbagai pandangan mengenai perubatan regeneratif ini memandangkan informasi mengenainya banyak mengaitkan bidang kecantikan semata-mata tetapi pandangan tersebut ternyata meleset kerana ia turut memainkan peranan penting dalam kategori kesihatan wanita.
Gambar hiasan
Teknologi perubatan seperti terapi selular dan rawatan hormon membantu memperbaharui sel-sel yang rosak, memulihkan kesihatan tisu, serta meningkatkan tenaga dan kecergasan secara keseluruhan.
Perubatan Kurangkan Risiko
Bagi wanita, perubatan ini dapat membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan usia seperti osteoporosis, masalah jantung, serta gangguan hormon seperti menopaus. Selain itu, ia juga berperanan dalam menjaga penampilan fizikal, membantu meningkatkan keyakinan diri dan kualiti hidup.
Dalam konteks penjagaan kesihatan holistik, pendekatan regeneratif ini bukan sahaja membantu memperlahankan proses penuaan tetapi juga memastikan wanita dapat menikmati kesihatan yang optimum dalam jangka masa panjang.
Perubatan Regeneratif
Nama Prof. Dr. Mike Chan mungkin tidak begitu dikenali di tanahair tetapi beliau merupakan satu nama yang tidak asing dalam dunia perubatan regeneratif dan anti-penuaan dunia.
Merupakan seorang pakar terkemuka dalam bidang terapi selular, beliau telah mencipta pelbagai inovasi dalam rawatan untuk meningkatkan kesihatan, kecergasan, serta memanjangkan usia seseorang.
Penglibatan beliau dalam bidang ini bukan sahaja tertumpu pada rawatan tetapi juga dalam penyelidikan saintifik yang mendalam untuk mengatasi pelbagai penyakit kronik dan proses penuaan.
Pengalaman hampir dua dekad dalam bidang perubatan, tidak hairanlah Prof. Dr. Mike Chan telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan terapi selular yang diiktiraf secara global.
Memulakan kariernya dengan minat mendalam terhadap potensi penyembuhan yang terdapat dalam sel stem, iaitu rawatan yang menggunakan sel hidup untuk memulihkan tisu yang rosak dalam badan.
Terapi ini kini menjadi antara kaedah utama dalam menangani masalah kesihatan yang berkaitan dengan penuaan dan penyakit degeneratif seperti diabetes, artritis, serta penyakit jantung.
“Saya mula menerokai bidang ini ketika ia masih tidak begitu popular di Malaysia. Saya berazam untuk memastikan bidang stem cell ini memberi manfaat kepada semua. Antaranya termasuklah meningkatkan jangka hayat manusia.
Selain itu, saya ingin memastikan setiap individu dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih sihat, bebas daripada penyakit yang berkaitan dengan usia.
Dengan penyelidikan yang berterusan dan inovasi dalam teknologi perubatan, saya membuka peluang baru dalam dunia perubatan yang menjanjikan perubahan besar dalam cara kita melihat kesihatan dan penuaan,” ujarnya Dr Mike Chan yang juga merupakan pengasas beberapa organisasi perubatan terkemuka yang menyokong penyelidikan dan perkembangan perubatan regeneratif.
Atas inisiatif tersebut, European Wellness, peneraju global dalam bidang perubatan regeneratif dan penjagaan kesihatan bersepadu, secara rasmi telah melancarkan kemudahan terbaharunya iaitu Pusat Premier European Wellness yang ke-46 di Kota Kinabalu, Sabah.
Pusat canggih seluas 60,000 kaki persegi ini, yang terletak di tengah-tengah Kota Kinabalu, menawarkan lebih daripada 60 perkhidmatan terapi kesihatan holistik dan perubatan regeneratif yang berteknologi tinggi.
Kemudahan ini adalah sebahagian daripada rangkaian seluas 500,000 kaki persegi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), yang membuktikan komitmen European Wellness dalam mentransformasi landskap penjagaan kesihatan di Sabah.
Pembukaan Pusat Premier ini juga dijangka memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di Asia, di mana European Wellness membawa teknologi terkini dan kepakaran dalam penjagaan kesihatan bersepadu serta rawatan perubatan regeneratif.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.