
Suami isteri meninggal selang sehari, terpisah di dunia hanya beberapa jam.
Sehidup semati, jodoh hingga ke syurga. Ungkapan itu cukup dekat dengan Allahyarham Alias bin Panjang Aris dan isterinya, Allahyarhamah Roezah binti Abdul Hamid apabila kedua-duanya dijemput Ilahi dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Setelah puluhan tahun hidup bersama, membina keluarga dan melalui susah senang sebagai suami isteri, tiada siapa menyangka perpisahan hanya berlaku seketika buat suami isteri ini. Arwah Roezah sempat menghantar arwah suami ke tanah perkuburan sebelum mengikut jejak suami dikasihinya itu.
Kisah kehilangan dua insan tersayang ini dikongsikan cucu mereka, Haziq Azmin menerusi Threads. Jelasnya, arwah datuk dan Opah cukup dekat di hatinya kerana sejak kecil, insan inilah yang menjaganya di saat ibu bapanya keluar bekerja mencari rezeki. Malah dia akui bukan mudah menerima hakikat perpisahan ini dan mengambil masa untuk berkongsi kisah duka ini.
“Baru ada kekuatan nak buat post ni.” tulis Haziq Azmin.
Membuka cerita tentang kedua-duanya, Haziq berkongsi bahawa arwah atuk dan Opah dilahirkan dalam bulan yang sama iaitu pada bulan Mei. Arwah atuk dilahirkan pada 28 Mei 1942 sementara arwah Opah pula pada 13 Mei 1948.
Tarikh mereka meninggal dunia juga berdekatan. Arwah atuk meninggal pada 26 Ogos 2026, manakala arwah Opah sehari selepas itu iaitu pada 27 Ogos 2026.
Menurut Haziq, keadaan kesihatan arwah atuknya sudah lama uzur malah doktor ada memaklumkan hal ini kepada keluarga.
“Arwah atuk menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.56 malam. Kami sekeluarga dah terima atuk pergi, sebab doktor memang bagitahu keadaan atuk dah kritikal. Namun kami semua tidak menyangka akan menerima satu lagi berita duka dalam masa terdekat, selang sehari.
Mengimbas kembali pagi terakhir dirinya diuji kehilangan dua insan kesayangan, Haziq memaklumkan Opahnya turut berada di tanah perkuburan ketika jenazah atuk dikebumikan sekitar pukul 11 pagi.
“Opah ada bersama kami di tanah perkuburan. Saksikan arwah atuk sampai siap dimasukkan ke liang lahat. Siap siram kubur atuk lagi dan sempat berbual dengan saudara-mara yang hadir.
“Tak ada pun tanda-tanda Opah sakit. Balik dari tanah perkuburan, Opah berehat seketika. Sehinggalah jam 3.50 itu, Opah bangun mahu mandi tapi badannya tak larat bangun. Ibu saudara saya maklum yang Opah nampak lain dari kebiasaan.
“Opah beritahu dia susah bernafas. Tanpa sempat kami beri bantuan apa-apa, Opah menyusul ikut arwah Atuk. Tak sangka, secepat itu opah pergi. Memang tak dijangka kami sekeluarga,” jelasnya.
Selepas semuanya berlaku, Haziq teringat kembali kata-kata yang pernah dilontarkan arwah Opanya ketika mencium jenazah atuk buat kali terakhir.
“Bila nak jumpa lagi ni bang, nanti kita jumpa ya.” Inilah kata-kata akhir Opah ketika mencium arwah atuk dan tak sangka, kata-katanya itu menjadi kenyataan. Keduanya hidup bersama di dunia dan pergi juga selang sehari.
“Pasangan sehidup semati, insya-Allah pasangan syurga opah dan atuk.”
Jelas anak muda ini lagi, hubungannya dengan arwah atuk dan nenek agak rapat kerana dua insan inilah yang menjaganya dari kecil.
“Aku dijaga oleh opah dan atuk sejak kecil time mak ayah pergi kerja. Aku masih tak boleh proses apa yang berlaku,” kongsinya di threads.
Jika 26 Ogos hari istimewa bagi sebahagian dari kita, berbeza buat diri Haziq.
Pada tarikh yang sama juga iaitu 26 Ogos, ayahnya meninggal dunia 9 tahun lalu dan tarikh itu juga dikongsi dengan pemergian atuknya, Alias.
“Semoga arwah opah dan atuk ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Kita jumpa kat sana ye opah atuk,” tulisnya mengakhiri kisahnya di threads.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Alias bin Panjang Aris dan Allahyarhamah Roezah binti Abdul Hamid, mengampunkan segala dosa, melapangkan kubur serta menempatkan kedua-duanya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Bercinta di dunia, semoga dipertemukan kembali dan kekal berjodoh hingga ke syurga. Al-Fatihah.