Rupanya polis terpaksa mengambil masa selama 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan di kediaman dan premis berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Itu yang didedahkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.
Amar Singh berkata, pemeriksaan dan pengiraan pada 21 Mei lalu sehingga 25 Jun termasuk semasa cuti Hari Raya Aidilfitri. Pengiraan dan pemeriksaan mengambil masa lama kerana jumlah barangan yang dirampas adalah banyak dan memerlukan pengesahan pakar.
“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.”
“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.
12,000 Unit Barang Kemas Dirampas
Pada sidang akhbar itu juga, Amar Singh mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.
“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta,” katanya.
Barang Rampasan Disimpan Di Bank Negara
Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta. Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000. Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama. Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.
Ads
Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.
Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa. Amar Singh berkata, sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan. Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.
“Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.
Pada sidang media 25 Mei lalu, Amir Singh dipetik berkata, 35 daripada 72 beg yang dirampas dari sebuah unit kediaman di Pavillion Residences berkaitan Najib, mengandungi wang ringgit bernilai RM114 juta.
Ads
Beliau juga memaklumkan 37 lagi beg dirampas mengandungi wang tunai manakala selebihnya berisi barang kemas dan jam tangan mewah.
Ads
Terdahulu, pada 16 dan 17 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan beberapa serbuan berkaitan 1MDB di dua premis di Putrajaya, empat di Kuala Lumpur dan tiga di Pavilion Residences serta di kediaman Datuk Seri Najib di Langgak Duta, Taman Duta.
Semua rampasan berkenaan adalah berkaitan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Mingguan Wanita mengharapkan semoga penyiasatan dapat dijalankan dengan telus, kebenaran dapat ditegakkan dan dibawa muka pengadilan.
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Menjadi seorang isteri dan ibu bukan tugas yang mudah. Pelbagai tanggungjawab dan tugasan rumahtangga perlu diuruskan dengan baik agar segalanya teratur sempurna.Pengorbanan buat seorang ibu dan isteri ini turut diakui oleh pelakon lelaki Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 29, yang berkahwin dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 30.
Baru-baru ini ayah kepada Muhammad Luth Ali,1 ada berkongsi gambar dirinya sedang melipat baju-baju milik anaknya. Menurutnya itu merupakan kali pertama pelakon drama Hati Perempuan ini menolong isteri melipat baju yang telah dibasuh, serta terasa kepayahan dalam melakukan tugasan tersebut.
Saharul Ridzwan juga berterima kasih atas pengorbanan isterinya serta meminta maaf jika kekurangan pada dirinya yang bergelar suami.
“Menjadi seorang Ibu bukan mudah. Nak melayan karenah anak, sediakan makanan untuk keluarga dan mengemaskan rumah dalam satu masa, bukannya mudah. Kalau saya letih bekerja diluar, Isteri saya pun letih di rumah.”
“Sejujurnya ini kali pertama saya tolong lipatkan baju yang dah dibasuh, kat depan ni baru baju Ali. Penat. Sakit pinggang duduk lama-lama macam ni.”
“Kami tiada maid, semuanya handle sendiri. Ali tengah tak berapa sihat, Mummy dia yang kena dodoikan semua. Besarnya jasa seorang Ibu. Terima kasih Umi, Terima kasih Isteriku. Maafkan saya kalau ada yang terkurang sebagai suami.”
Perkongsian ini mendapat pujian daripada para pengikut instagramnya dan menganggap pelakon ini seorang suami yang memahami tugasan dan pengorbanan seorang isteri. Tidak kurang ramai yang mendoakan kebahagiaan saharul ridzwan sekeluarga.
rama_rahmahUntung dapat suami yang memahami macam nie.
_kamariah.kassimAlhamdulillah…sebagai suami yang faham, punya hati nurani yang sempurna, berat sama dipikul, ringan sama dijanjing, terbaik.In shaa Allah semuga berkekalan hingga ke Jannah dan bahagiaaa, aamiinnn.
biskutrayagebusBaguihlah..ikut sunnah nabi ni..tahniah sebeb memahami peranan sebenar seorang Suami dik..tahniah..
wm_adamifzal09 Susah nak cari suami rajin tolong lipat kain.. Bertuah sape dapat laki macam ni..
nadiatul_akma_mat_nuarDapat suami yang memahami alhamdulillah dah, memahami dan tolong samalah.
faziyanaTahniah.. Semoga sentiasa istiqomah dalam menghargai pengorbanan seorang wanita bergelar isteri dan ibu yang sentiasa super busy.
Alhamdulillah tahniah buat Saharul Ridzwan kerana memahami dan menghargai tugasan serta pengorbanan seorang isteri. Memang bertuah bagi seorang isteri bila memiliki suami yang turut tolong menyelesaikan kerja-kerja rumah bersama-sama.
Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah Kapal di negara ini. Beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) pada Februari yang lalu.
Kejayaannya yang dikecapi disifatkan sebagai memenuhi impian ibunya yang inginkan dirinya meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa. Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” ujarnya memulakan bicara.
Cabaran Bekerja Dalam Bidang Dimonopoli Lelaki
Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.
Mula menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengalaman sebagai wanita yang bertugas di atas kapal pernah dilalui wanita ini. Aida membuktikan tiada halangan buat seorang wanita sepertinya untuk turut sama bekerja dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ketika penglibatan awal sebagai pegawai Maritim, Leftenan Aida pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir, Pegawai Pensenjataan, menjadi Pegawai Navigasi di Kapal KM Banggi, Pegawai Navigasi di Kapal KM Arau sehinggalah dirinya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Kapal KM Nyalau baru-baru ini.
“Sepanjang lima tahun saya bergelar seorang Pegawai Maritim, tugas-tugas yang saya sandang semuanya berbeza-beza. Ketika menjadi Pegawai Tadbir saya banyak membuat kerja-kerja pentadbiran kapal, bermain dengan kertas, surat dan sebagainya.
“Untuk tugas Pegawai Persenjataan pula saya fokus kepada menjaga senjata, membuat latihan menembak dan sebagainya yang berkaitan dengan senjata. Menjadi Pegawai Navigasi pula tugas saya biasanya di Anjungan iaitu bahagian menggemudi kapal dan biasanya Pegawai Navigasi lah yang akan membantu Pegawai Memerintah sebagai penunjuk arah.
“Sebelum saya menyertai Maritim, saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan yang mana majoriti kakitangan di sana adalah lelaki. Persekitaran itu telah terbina sejak pekerjaan saya yang lama lagi, jadi bila masuk Maritim, saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Cuma cabarannya, status saya yang bujang dan perlu bekerja dengan krew lelaki yang sudah berkahwin.
“Alhamdulliah saya mendapat rakan-rakan sekerja yang baik dan memberi kerjasama yang baik untuk saya. sepanjang bertugas memang saya tiada masalah. Antara pendekatan lain yang saya buat, saya turut berkenalan dengan keluarga mereka, saya maklumkan status saya kepada keluarga krew lain untuk memudahkan tugas saya pada masa hadapan. Kebanyakan mereka kenal dengan saya jadi semua itu semua tidak timbul masalah,”ujarnya Leftenan Aida lagi.
Sudah Biasa ‘Berkampung’ Di Laut
Dengan jawatan sebagai Pegawai Memerintah yang baru disandangnya sejak Februari yang lalu, pasti bidang tugas Leftenan Aida berbeza daripada sebelumnya. Leftenan Aida turut berkongsi bagaimana dirinya sebagai seorang wanita menjadi ketua kepada krew lain yang kebanyakannya adalah lelaki.
“ Kapal KM Nyalau merupakan kapal ketiga tempat saya berkhidmat. Sebelum ini saya pernah bertugas di atas Kapal KM Banggi dan juga KM Arau yang berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah. kedua kapal sebelum ini bersaiz lebih besar daripada Kapal KM Nyalau, bidang tugas saya juga kini berbeza daripada dahulu.
“Kalau dahulu kapal besar dan sekarang saiznya lebih kecil, jadi pengendaliannya juga berbeza. Dahulu saya menerima arahan daripada ketua tetapi kini saya yang perlu memberi arahan kepada anak kapal. selain itu saya juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas aset kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bukan sahaja kapal yang perlu saya jaga tapi anak-anak kapal juga saya perlu ambil tahu.
“Kapal KM Nyalau biasanya setiap kali beroperasi akan mengambil masa lima hari di laut. Namun jika tidak ke laut untuk operasi biasanya kami tetap berada di atas kapal tapi bezanya kapal hanya berlabuh dan tidak bergerak. Ketika berlabuh saya dan krew akan melakukan penyelengaraan kapal dan juga urusan pentadbiran yang lain.
“Dalam KM Nyalau, selain dianggotai krew-krew lelaki, saya juga ada pegawai perempuan bersama, memang bukan mudah untuk saya pada mulanya menjadi seorang ketua kepada anak-anak kapal yang majoriti lelaki.
“Namun itu sudah menjadi tugas saya dan dalam apa jua keadaan sebagai seorang ketua apa yang penting dalam menjalankan tugas adalah kita kena tegas. Bagi saya ketegasan itu perlu ada sebagai seorang ketua supaya anak-anak kapal tidak memandang remeh dan ambil kesempatan ke atas kebaikan kita sebagai seorang ketua walaupun saya seorang wanita,”katanya.
Jelasnya juga pengalaman bekerja di atas kapal yang lebih besar dengan krew kapal lelaki melebihi 50 orang turut digunakan sebagai persediaan untuk perjalanan tugas yang lancar.
“Bagi saya kalau di kapal besar pun saya boleh bekerjasama dengan krew lelaki, saya pasti di kapal KM Nyalau juga saya boleh lakukan perkara yang sama.”
Beraya Atas Kapal
Lima tahun bergelar seorang Pegawai Maritim, berpuasa dan berhari raya dilautan menjadi asam garam buat wanita yang kini bergelar Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau ini. Namun pengalaman yang ada menjadikan diri Leftenan Aida lebih matang dalam kehidupannya.
“Pada tahun lepas, bulan Mei 2017. Saya dan 25 orang krew kapal yang lain membawa pulang kapal KM Arau dari Jepun Ke Malaysia. Saya satu-satunya pegawai wanita yang mengikuti pelayaran itu. Kebetulan pada waktu kami belayar itu adalah pada bulan Ramadan.
“Pengalaman berpuasa di negara orang yang mana kami perlu berpuasa di lautan lebih daripada 16 jam dan juga perlu melalui perubahan masa dari satu negara ke satu negara yang lain yang mempunyai perbezaan waktu untuk berbuka memang satu pengalaman yang berharga buat saya. Keadaan laut pada ketika itu juga bergelora dan ditemani pula oleh krew kapal dari Jepun yang berumur antara 62 hingga 75 tahun membuatkan pelayaran kami satu pengalaman yang tak akan saya perolehi di mana-mana,” ujar anak kelahiran Perlis ini.
Sepanjang berkhidmat sudah dua kali Leftenan Aida menyambut Syawal di lautan. berjauhan dengan keluarga hanya ditemani krew kapal dan juga lautan tentunya buat hati terasa sayu. Namun kerana tugas untuk negara, tanggungjawab yang dipikul perlu digalas tanpa rasa sesal.
“Pengalaman saya beraya di laut pertama kali adalah ketika menjalani latihan di kapal KM Banggi yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Pada pagi raya saya dan krew kapal yang lain menyediakan juadah raya secara beramai-ramai di dalam kapal. Sebelum ini tak pernah saya masak beria untuk hari raya, cuma tolong-tolong sahaja emak dan nenek. Tapi kerana perlu bertugas dihari raya saya belajar masak juadah yang biasa ada dir rumah pada hari raya. ketupat rendang semuanya kami masak di atas kapal.
“Pengalaman beraya kali kedua di laut pula ketika beroperasi di Tawau. Pegawai Memerintah kami mengambil inisiatif dengan berlabuh sebentar di Jeti Pelabuhan Tawau untuk sembahyang raya. selepas solat kami meneruskan pelayaran untuk meneruskan operasi. Suasana memang sangat berbeza dengan sambutan perayaan di rumah atau dikampung, yang ada hanya anak-anak kapal dan juga juadah raya yang kami masak sendiri. kebiasaannya memanglah tidak semeriah beraya di daratan, kami masak menu yang mudah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, mihun sup. ketupat lemang semua kami bawa yang segera dan rebus sahaja,”ceritanya tentang pengalaman beraya di lautan.
Ternyata bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi oleh Leftenan Aida. harapan Aida kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mekap tahan lama dan tak bercapuk, pastikan ikutkan susunan yang betul. Ya, sebenarnya ada cara nak buat solekan tahan lama walau anda keluar rumah dengan cuaca hujan.