Siti Saleha hamil empat bulan – “Saya dapat tahu hamil enam minggu, balik dari ‘honeymoon’ di New Zealand.” Pelakon terkenal, Siti Saleha, akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang hamil empat bulan, sekali gus menjawab segala teka-teki yang timbul sebelum ini.
Menurut Saleha, dia tidak berniat menyembunyikan berita kehamilan tersebut, sebaliknya hanya menantikan waktu terbaik untuk berkongsi kegembiraannya dengan para pengikut di Instagram.
“Saya dapat tahu hamil enam minggu ketika kami balik dari ‘honeymoon’ (bulan madu) di New Zealand sebelum ini.
“Namun, saya dan suami memang tunggu untuk umumkan berita baik itu di Bali, Indonesia dan buat ‘content’ (kandungan media sosial) di sana. Sebenarnya, kami baru balik dari Bali semalam.
“Kami putuskan untuk buat pengumuman itu kerana ramai sudah buat spekulasi dan semua ahli keluarga kedua belah pihak juga sudah diberitahu berita baik ini,” katanya.
Perkhabaran menggembirakan itu dikongsikan sendiri oleh Saleha menerusi sebuah video di Instagram yang memaparkan momen imbasan kandungan berlatar suasana romantik di Bali, Indonesia. Menerusi kapsyen bersahaja, dia menulis:
“Josh makan terlalu banyak dan perut dia pun nampak buncit sangat. Jadi saya pun rasa nak ‘padankan’ perut dia dengan perut saya,” tulisnya secara santai.
Hantaran berkenaan menerima pelbagai reaksi positif dan dihujani ucapan tahniah daripada peminat serta rakan-rakan artis yang teruja dengan berita tersebut.
Sebelum ini, menerusi laporan media pada 24 Julai, pelakon berusia 35 tahun itu pernah menyatakan bahawa dia masih belum bersedia untuk mendedahkan apa-apa berkaitan kehamilan. Namun, beliau juga memaklumkan bahawa penglibatannya dalam siri Bad Cop merupakan projek terakhirnya sebelum berehat panjang dari dunia seni.
Apabila ditanya mengenai keadaan semasa kehamilannya, Saleha bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seperti alahan atau muntah-muntah waktu pagi.
“Saya juga tidak mengidam apa-apa pada awal kehamilan cuma banyak makan seperti nasi dan karbohidrat saja.
“Dari segi jantina pula, kami belum buat pemeriksaan lagi dan tidak kisah sama ada dapat anak lelaki atau perempuan kerana yang penting bayi yang dilahirkan sihat dan cukup sifatnya nanti,” jelasnya.
Tambah pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu, dia kini sedang menyelesaikan baki penggambaran untuk drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong, sebelum berehat sepenuhnya untuk memberi tumpuan kepada persiapan bersalin.
Sebelum ini, video Saleha mengenakan busana hitam ketika menghadiri sebuah acara filem menjadi tular dan mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang menyedari kelihatan seperti ‘baby bump’ di perutnya.
Untuk makluman, Siti Saleha mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen, Joshua Fitton, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, pada Februari lalu.
Sumber: Harian Metro dan Instagram Siti Saleha
Baca artikel lain juga: Februari Bulan Istimewa Siti Saleha. Dapat Suami, Raih Brand Personality Award di Singapura!
Bukan Susah Sangat Nak Dapat Kulit Cantik Berseri Macam Siti Saleha, Rahsianya Kat Dapur Je!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE