Ada suami, kerap sangat marah isteri atas kesilapan kecil. Maka berkecailah hati seorang wanita yang sebelum ini bermimpi nak hidup bahagia macam si Rumie dan Julie.
Realitinya nak kahwin memang tak payah tetapi nak cipta dan kekalkan suasana bahagia dalam rumah tangga bukan benda mudah. Tambah pula kalau masing-masing sibuk dengan urusan kerja, jenis keluar pagi dan malam-malam baru boleh berkomunikasi.
Allah… janganlah sampai hanyut dan lupa untuk raikan hubungan suami isteri dan lupa untuk bina CINTA di dalam rumah tangga.
Untuk jentik emosi suami isteri, jemput baca perkongsian saudara Muhammad Hassan ini…
Hidupkan Suasana Agama Di Dalam Rumah
Malam ini tiada kuliah di masjid. Selepas solat maghrib balik rumah sekejap. Bagi masa untuk baca hadith nabi s.a.w bersama anak dan isteri. Baca beberapa hadith. Cerita kebesaran dan kehebatan الله. Cerita sifat-sifat sahabat Nabi s.a.w. hati akan tenang bila dengar perkataan nabi s.a.w. Hubungan yang ‘kacau’ pun akan jadi bahagia jika ajak anak isteri dengar perkataan nabi s.a.w. Kata orang alim, rumah kita akan bercahaya kepada penghuni di langit seperti mana kita melihat bintang-bintang dilangit. Para malaikat akan berpusu-pusu masuk ke dalam rumah kita.
Ads
Setiap hari dengar hadith hati akan jadi tenang, nak marah isteri pun bertukar jadi sayang, isteri nak bebel pun bertukar jadi sayang, suami isteri berjauhan pun akan sentiasa saling rindu merindui. Nak curang pun fikir banyak kali. tidak pernah puas lihat wajah pasangan.
Suami atau isteri adalah MILIK الله , bukan milik kekal kita. Satu masa nanti kita terpaksa berpisah walaupun kita janji sehidup semati.
Ads
Dunia adalah tempat persinggahan yang sementara untuk kita ‘kumpul amal’ sebanyak mungkin. Tempat kita hidup berpasangan untuk dapat redha الله . Jika الله redha, syurga lah tempat yang selayaknya untuk kita.
Kita janji sehidup semati, tetapi kita lupa untuk berjanji agar dibangkitkan di akhirat sama-sama dan masuk syurga الله . jika didunia kita gagal untuk taat perintah الله dan Rasul, bagaimana untuk kita selamat diakhirat. Sanggupkah kita melihat pasangan kita dihumban ke dalam api neraka?. Sanggup kah kita melihat anak-anak kita dihumban ke dalam api neraka? Semua orang tidak sanggup.
Ads
Jika tidak sanggup saat inilah kita perlu berubah, jika tidak tutup aurat, tutuplah aurat dengan sempurna, jika tidak solat, solatlah dengan sempurna,jika tidak puasa,puasalah, solatlah awal waktu, jika selalu tinggikan suara depan suami, saat inilah perlu rendahkan suara depan suami, jika selalu pukul isteri, pukul anak, maki hamun, saat inilah perlu berubah kepada sayang mereka kepada ucapan yang baik.
Hari-hari perlu cakap:
Sayang sayang abang, abang sayang sayang, abi umi sayang muhammad, sayang adik, sayang kakak, sayang semua. Jika dalam hati kita ada sayang, insyaallah hidup kita akan tenang, akan sentiasa bersangka baik kepada orang.
Bahagia apabila hidupnya amal agama di dalam rumah,hidupnya kasih sayang kerana الله.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ujian suami isteri ikhtiar hamil, yang begitu menantikan cahaya mata lagi-lagi yang dah bertahun kahwin masih juga ‘kosong’, sungguh tak dapat dizahirkan perasaan itu.
Macam-macam perasaannya, antara tak sanggup mendengar pertanyaan ‘orang’, rasa bersalah tak dapat beri yang terbaik untuk suami atau isteri, rasa tertanya mengapa Allah uji begitu begini.
Sungguh! emosinya cukup berat. Demi cahaya mata, sebut saja apa ikhtiar yang ada pasti akan dicuba. Bukan sedikit duit yang keluar, ada yang sampai puluhan ribu ringgit pun pernah dihabiskan. Ya.. demi cahaya mata, pernah juga mengizinkan suami berkahwin lain.
Mereka apa tahunya? Bertanya tanpa sedar, ‘soalan itu’ bisa bunyinya.. menghiris hati. Dan inilah yang dilalui oleh pesakit Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin. Seusai rawatan ruqyah dengan ustaz, wanita ini meluah rasa.
“Ustaz, hari ini saya buat rawatan dengan ustaz terasa sakit sangat. Ya Allah tak sangka, saya ada gangguan macam ini. Ustaz nak tahu, kami suami isteri dah habis beribu duit nak ikhtiar dapatkan zuriat.”
Dari rawatan di hospital. Jangan cakap lah.. sampai ke IVF pun kami dah buat tapi masih belum berjaya.
“Dua kali kami buat IVF dengan kos yang agak tinggi. Bukan mudah kami nak dapat duit. Suami kakitangan kerajaan. Dia sanggup buat pinjaman di bank semata-mata untuk ikhtiar rawatan IVF. Tetapi apakan daya, masih belum rezeki kami juga.”
Pasangan suami isteri ini sudah membuat pemeriksaan menyeluruh. Dan keduanya normal tanpa masalah.
“Kami juga cuba urutan bidan. Macam biasa kata bidan, peranakan jatuh, peranakan senget. Puas juga macam-macam. Pergi urut.. masih belum rezeki juga.”
“Kami ikhtiar juga makan ubat tradisional, jamu-jamu, ubat-ubat di pasaran. Ubat-ubatan jangan cakap lah kos beribu juga kami habis.”
Sebelum ini, pasangan ini tak berapa percaya dengan rawatan Islam. “Saya pergi ke satu rawatan Islam. Ustaz tu tepuk keluar. Ya Allah banyak seperti habuk kaca keluar.”
“Masa tu berulang juga setiap minggu jumpa ustaz tersebut untuk buang apa yang ada dalam badan. Tapi masih belum ada rezeki juga.”
Sakit ketika itu, alhamdulillah akuinya makin berkurangan. Sebelum ini kerap sakit kepala. Lepas buat rawatan tepuk, sakit kepala hilang. Tapi sukar tidur malam dan mimpi buruk masih ada lagi.
“Sejak dari tu macam-macam saya jumpa perawat Islam. Sebab nak ikhtiar buang apa yang menganggu kami dan ikhtiar untuk hamil.”
“Ada yang letakkan harga sampai beribu. Kami bayar pun ada. Sebabnya kami terlalu inginkan anak. Masa tu kami tak fikir lagi perawat itu betul ke tak, tipu ke tak asal apa yang kami inginkan tercapai.”
“Ke Selatan, ke Utara, ke Timur dan ke Barat kami pergi cari perawat Islam. Tapi masih hampa. Masih menemui jalan buntu.”
Kebanyakan daripada perawatan Islam itu kata, sebaik discan kami tiada apa-apa. Jika jumpa tok bomoh, kata ada pula. Tapi cas duit lepas rawatan jangan cakap lah.
“Sejak dari itu, duit simpanan kami makin menyusut. Harap duit gaji bulanan je lah.”
Bila usia perkahwinan dah masuk 7 tahun. Asal jumpa kawan-kawan, tiada soalan lain yang di tanya.
“Berapa orang dah anak kau sekarang?”
Walaupun ia hanya satu soalan, tapi amat buat diri ini terasa. Tambah-tambah lagi soalan itu di tanya oleh ipar duai, pakcik makcik, jiran tetangga.
Bila mereka bertanya terasa diri dan hati ini amat sukar nak diluahkan. Hati menangis tapi mulut masih berusaha mengukirkan senyuman.
Biasanya saya akan jawab, “Belum ada rezeki untuk saya dan suami ada anak lagi.”
Mana yang faham terus bagi semangat, bagi pandangan pun banyak. Saya hargai pada mereka yang bagi semangat.
Tapi ada juga menyindir di belakang, tarik muka bila berdepan. Kata tak pandai buat anak lah dan macam-macam lagi.
“Kalau nak tadah air mata ini, dah berbaldi air mata ini keluar. Mujur ada suami, mak abah, mak ayah mertua yang amat memahami diri ini.”
“Pada mereka lah diri ini menumpang kasih. Syukur sangat pada Allah mereka amat memahami saya. Lagi-lagi suami dah berkorban dari segi wang ringgit, masa dan banyak lagi semata-mata untuk saya.”
Pernah satu masa saya meluahkan pada suami. “Abang jika abang nak sangat zuriat dari abang. Abang kahwin lah lain saya izinkan.”
Apa yang suami saya jawab, Ustaz nak tahu?
“Selagi sayang ada rahim, selagi itulah sayang boleh hamil. Cepat dengan lambat je. Abang amat sayangkan sayang. Susah senang walau apa pun terjadi abang nak hanya bersama sayang. Tak sanggup nak lukakan hati sayang..”
Lepas dengar jawapan dari suami. “Ya Allah rasa amat disayangi sangat-sangat. Rasa diri ini dihargai walaupun tak mampu bagi cahaya mata untuknya.”
“Hati isteri mana yang sanggup bermadu Ustaz? Tapi jika terpaksa demi kebahagiaan suami, saya sanggup berkorban Ustaz. Jika itu yang dapat bahagiakan suami.”
“Sebab saya amat sayangkan suami saya.”
Bila tengok kawan-kawan baru kahwin, tak lama lepas tu dengar mereka hamil. Cemburu sangat hati ini pada mereka.
“Sekejap je kahwin dah dapat merasa jadi seorang ibu. Tapi yang membuatkan saya jadi kuat dan sabar adalah suami saya. Dialah yang akan memeluk tubuh saya ketika saya dalam kesedihan.”
Bila dah jadi begini, sifat saya pada suami pun jadi berubah. Saya jadi kuat cemburu. Saya jadi cepat fikir bukan-bukan pada suami. Saya takut kehilangan suami.
Bila suami salah sikit pun saya cepat marah sebab emosi saya amat terganggu. Bila jauh amat rindu, bila dekat ada sahaja yang serba tak kena.
“Ya Allah.. saya sayang suami saya Ustaz. Saya tak nak kehilangan dia.” (Terus suami pesakit saya tadi peluk isterinya, kucup dahi beliau ) Berlinar air mata mereka.
Menitis juga air mata saya melihat keadaan mereka berdua tika itu.
Meracau beliau bila di ruqyah. Kesakitan yang amat sangat bila di ruqyah di perut dan di belakang beliau. Beliau diganggu oleh Saka Keturunan Nenek Kebayan.
Disebabkan gangguan itu menjadi salah satu asbab yang membuatkannya sukar hamil.
“Saya yakin di luar sana ada yang mempunyai masalah yang sama seperti cerita di atas. Jika anda tidak keberatan boleh kongsikan cerita anda.”
Ya Allah.. Kau Hadirkanlah benih zuriat pada Rahim semua pesakit-pesakit ku. Permudahkanlah mereka mendapat cahaya mata yang pertama. Cahaya mata yang soleh dan solehah. Aamiin Ya Allah..
Tahniah buat pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, 35, yang bakal menimang cahaya mata ketiga.Nabil berkongsi berita gembira tersebut didalam Instagramnya dengan memuat naik gambar sekeluarga beserta imbasan kandungan bayi.Malah turut berkongsi kapsyen berikut;
Nabil mengakui teruja apabila doktor mengesahkan isterinya, Nazirah Ayub,30 atau Zira, kini hamil lima minggu.Nabil berkata, berikutan kedua-dua puteri mereka sudah pun besar, justeru kehadiran cahaya mata ketiga yang dijangka kelahirannya pada Jun tahun depan sangat dinantikan.
“Jika diikutkan perancangan keluarga, kami mahu jarakkan anak setiap dua tahun. Dua anak pertama kami pun sudah besar, jadi rezeki cukup bermakna Allah berikan ini dikira tiba pada masa sangat sesuai.
“Alhamdulillah, selepas isteri membuat pemeriksaan doktor semalam, kandungannya sudah mencecah lima minggu,” katanya.
Tambah Nabil, dia berharap kali ini mereka dikurniakan anak lelaki pula selepas memiliki dua cahaya mata perempuan, Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3 tahun.
Calon beberapa kategori Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu turut memberitahu dirinya mahu sekurang-kurangnya lapan anak kerana yakin kemeriahan keluarga lebih dirasa dengan zuriat yang ramai.
“Adik-beradik saya sendiri ada tujuh orang, jadi kalau boleh saya mahu memiliki sekurang-kurangnya lapan anak. Apapun, semua itu terpulang pada rezeki yang diberikan.
“Paling penting, semoga isteri dipermudahkan menjalani proses kehamilannya. Doakan kami ya!” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Nabil Ahmad dan isteri. Semoga dipermudahkan segala urusan kehamilan dan bayi yang dikandung membesar dengan sihat dan sempurna hendaknya.
Mula menjalinkan cinta dengan suami orang atas dasar kebendaan namun tanpa disedari wujud perasaan sayang. Itulah yang dilalui oleh gadis ini.
Ya, hubungan tak berpanjangan apabila dia menemui cinta baru sekali gus menyebabkan kekasihnya yang juga suami orang tidak puas hati lalu mendedahkan semua kisah buruk mereka. Ikuti kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk para gadis di luar sana.
Berusia 21 tahun, rasanya masih terlalu muda untuk bergelar isteri khususnya kepada lelaki yang sudah mencecah usia 40-an. Saya mengenali lelaki ini pada saat dia memerlukan saya di sisinya. Sedangkan dia sudah pun punya isteri yang sangat taat kepadanya.
Sebelum serius menjalinkan hubungan, saya terlebih dahulu mengenalinya sebagai suami kepada seorang teman. Namun demi keseronokan dan kemewahan yang dicari, saya ketepikan perasaan itu dengan menerimanya sebagai kekasih.
Saya hanyalah seorang pekerja biasa di salah sebuah premis dengan gaji yang cukup makan dan amat mustahil untuk saya membeli apa yang saya kehendaki atau inginkan.
Tetapi selepas mengenalinya, saya mampu memiliki telefon bimbit berjenama, komputer riba, kereta malah barang-barang kemas yang semuanya adalah pemberian darinya. Jujurnya saya memang mencintainya malah saya menerimanya dahulu pun kerana merasakan saya kekurangan kasih sayang akibat keluarga bercerai berai.
Hampir setahun mengenalinya, empat bulan pertama dahulu, saya pernah ‘kantoi’ dengan isterinya yang berjaya menghidu hubungan kami. Saya sanggup berdepan dengan isterinya untuk menceritakan segalanya namun dihalang lelaki itu.
Dia takut hubungan kami diketahui isteri, malah meminta saya tidak menceritakan apa-apa kepada isterinya. Saya juga dipaksa mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya, apalagi mengaku saya ini kekasihnya.
Saya kecewa dengan sikapnya tetapi demi sayang, saya masih memilih untuk bersama. Sehingga saya sanggup menyerahkan mahkota kesucian kepadanya. Semuanya saya lakukan kerana dia berjanji akan mengahwini saya sebagai isteri kedua. Kami merancang bernikah di sempadan kerana dia tidak mahu isteri dan keluarganya tahu hal ini.
Sebagai makluman, teman lelaki saya ini hanyalah seorang pemandu di sebuah syarikat bijih besi. Gajinya mencecah hampir RM8000 sebulan dan ternyata dia memang mampu beristeri dua dengan gajinya itu. Namun hubungan kami sedikit kendur apabila dia mendapat tahu isterinya mengandung.
Saya ingin mengundurkan diri daripada hubungan ini. Dia mungkin akan lebih bahagia bersama isterinya. Malangnya, lelaki itu mengugut akan membongkar hubungan kami kepada ayah saya. Mengingatkan tentang ugutannya, saya terpaksa bersabar dan mengikut apa saja kehendaknya kerana tidak mahu hal ini diperbesarkan.
Kini saya telah berkenalan dengan lelaki lain yang bekerja sebagai kontraktor di sekitar tempat kerja saya. Sepanjang berkawan dengan lelaki baru ini, saya sentiasa mengelak daripada bertembung dengan kekasih lama kerana tidak mahu hubungan saya diketahui teman baru.
Sampai bila hubungan kami ini harus dirahsiakan sehinggalah saya terfikir lebih baik memberitahu hubungan kami kepada isterinya. Niat saya, agar kami boleh berkahwin secara baik di Malaysia selain mendapat restu keluarga.
Tetapi apa yang saya rancang semuanya musnah kerana kekasih saya tahu mengenai hubungan saya dengan teman baru. Dia meminta saya memulangkan semua barangan yang dia pernah hadiahkan dahulu. Lebih keji dia memburukkan nama baik saya dengan mengatakan saya telah dinodai hingga melahirkan seorang anak.
Saya dipandang hina oleh orang kampung namun nasib saya baik kerana tidak dibuang keluarga. Keluarga cuma meletakkan semua kesalahan ke atas diri saya seorang. Adakah semua ini salah saya? Saya ingatkan apabila perkara sebenar diberitahu kepada keluarga, kami dapat berkahwin secara baik-baik, tak sangka saya pula dipersalahkan sepenuhnya.
Saya merasakan kehidupan seperti tiada hala tuju. Saya mungkin tidak akan berkahwin sampai bila-bila kerana saya percaya tiada siapa dapat menerima keadaan diri saya yang bersalah dan bergelumang dosa.
Saya mahu mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri pada agama. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.
Apa yang patut saya buat?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!