Apabila sudah tidak lagi bahagia, akhirnya wanita bernama Feeya Fariesya Nordin atau dikenali sebagai Feeya ini, tekad memilih untuk berpisah dan melepaskan gelaran sebagai isteri.

Kini, sudah 12 tahun Feeya bergelar ibu tunggal dan dia bahagia dengan cahaya mata tunggalnya, Nik Batrisya Syaurah bt Nik Asmadi,16, yang semakin meningkat dewasa.

Setelah Berpisah Ibu Tunggal Ini Gigih Bantu Usahawan Dan Buat Kerja Amal
Feeya dan anak gadisnya

Namun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tidak semudah yang disangka. Tetapi jika itulah jalan terbaik yang boleh membahagiakan, perit mana pun perlulah ditelan dengan sebaik mungkin. Feeya berazam agar tidak ada lagi episod sedih yang menemani masa hadapannya.

Kisah sepanjang tujuh tahun bergelar isteri sudah dilupakan dan dia kini melangkah ke depan tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia ingin menutup rapat-rapat kisah duka dalam hidupnya itu.

Namun, Feeya mengakui, turut berkongsi pengalaman dan menasihati rakan-rakan yang menghadapi masalah yang sama dengannya dalam perkahwinan mereka.

Sugul Jika Tidak Dapat Bantu Orang

Berpindah semula ke ibu kota, Feeya mula menanam azam dan tekad baru. Tidak mahu kisah lama berulang kembali. Dia mahu bina kehidupan baru dan bebas daripada kesedihan.

“ Semasa mula-mula saya keluar daripada kehidupan berumah tangga ini, saya telah berpindah semula ke kampung. Selama setahun lebih saya tinggal di kampung. Ketika itu saya tidak dapat menerima hakikat bahawa inilah yang berlaku dalam rumah tangga saya.

IKLAN

“ Selepas dapat menerima kenyataan, saya kembali semula ke Kuala Lumpur. Masa itu saya juga bertekad mahu ubah nasib diri dan ambil keputusan menyertai persatuan ibu tunggal berhampiran dengan tempat tinggal saya.

“Apabila masuk persatuan, saya lihat ada kebaikan untuk wanita yang bergelar ibu tunggal. Misalnya, perkara paling penting buat wanita adalah untuk mencari duit untuk diri dan anak.

“ Saya kemudiannya mendapat idea untuk menubuhkan persatuan bagi membantu ibu tunggal. Program pertama persatuan kami adalah jualan di Bazar Glam Feeya Fariesya di Bukit Antarabangsa dan Bukit Keramat. Ketika itu tidak ada bazar seumpamanya dibuat.

“ Sambutan yang diberikan terhadap bazar itu amat memberangsangkan. Selepas itu banyak lagi program-program yang kami jalankan. Antaranya adalah indoor uptown di Galaxy Ampang. Selama enam bulan projek itu berlangsung,” cerita Feeya dengan penuh semangat.

IKLAN
Berdaftar

Kini persatuannya bukan sahaja membantu ibu tunggal tetapi turut membantu usahawan wanita dan lelaki di Kuala Lumpur dan Selangor.  Persatuan itu didaftar di bawah nama Persatuan Usahawan Feeya Fariesya Kuala Lumpur, Selangor (PPM 007-14-23072012).

Persatuan ini akan membantu usahawan mendapatkan pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan dan bank buat ahli-ahlinya yang berminat. Sehingga kini ahli-ahlinya terdapat di seluruh Malaysia.

Selain menjadi Pengerusi Persatuan Feeya Fariesya, wanita tabah ini juga suka menceburi aktiviti amal kebajikan. Sejak tahun 2016 juga Feeya telah menceburi aktiviti pertubuhan amal.

Setelah Berpisah Ibu Tunggal Ini Gigih Bantu Usahawan Dan Buat Kerja Amal
Feeya bersama dua orang ahli persatuannya, penjual jenama sandwich wanawich dan jurusolek yang lebih mahu dikenali sebagai Dyla Touch

Dia pernah mengalami kesukaran dalam hidup dan apabila memiliki sedikit wang dia mahu membantu pula yang memerlukan. Tidak hairanlah salah satu syarat yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahli persatuannya adalah membantu orang susah dengan melakukan kerja-kerja amal.

IKLAN

“ Giving to the needy. Itu yang saya pegang dan saya memang suka buat amal kebajikan. Daripada pengalaman saya sendiri, saya sedar apabila seseorang itu mula melakukan amal kebajikan, rezeki akan datang dengan sendirinya.

“ Rasa puas dapat membantu orang dan kepuasan itu memang tidak dapat digambarkan. Ia ibarat kepuasan dalaman. Saya gembira, malah kalau saya tidak tolong orang, saya rasa sugul,” akhirinya menutup bicara.

Foto: Azfarina Sulaiman

Solekan: Dyla Touch

Busana: Mimi Waheedah

Tudung: Ridyra Hijabstar

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI