Hampir setahun naik turun mahkamah, akhirnya ikatan perkahwinan antara pelawak dan pelakon Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, mensabitkan berlakunya talak rajie seperti yang dilafazkan Along pada 18 Jun 2024. Afreena diperintahkan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.
Sebelum prosiding selesai, hakim sempat menitipkan pesanan penuh makna:
“Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. Allah uji masing-masing. Sama seperti nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berautoriti.”
Akhir Sebuah Penantian
Prosiding selama sejam itu turut mengesahkan tiada lafaz rujuk berlaku, sekali gus menoktahkan kisah rumah tangga yang hanya sempat bertahan setahun.
Ads
Along yang ditemui selepas prosiding mengakui lega meskipun hatinya berat menerima hakikat.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula, tak sangka jadi begini. Akhirnya, ia tetap kembali kepada kekurangan saya sebagai suami,” luahnya.
Bagi Afreena pula, lafaz talak ini bukan lagi luka baharu. Beliau mengakui sudah lama melangkah ke hadapan.
Ads
“Seperti yang saya jangka, hari ini mahkamah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan. Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya,” katanya tenang.
Kemelut Yang Panjang
Kisah rumah tangga mereka mula diperkatakan apabila Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik pada Januari lalu, mendakwa isterinya melanggar beberapa perjanjian taklik.
Ads
Pertikaian mengenai dakwaan lafaz rujuk yang tidak diakui Afreena membuatkan proses perundangan berlarutan hingga berbulan lamanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 namun perkahwinan itu berakhir hanya selepas tiga bulan, apabila Along melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.
“Ada luka yang tidak kelihatan di wajah, tetapi terbaca di status. Ada tangisan yang tidak kedengaran, tetapi deras mengalir di ruangan komen.”
Media sosial, pada asalnya dicipta untuk menyatukan manusia, kini berubah wajah menjadi ruang terapi terbuka. Di situlah wujud fenomena trauma dumping, meluah segalanya tanpa tapisan, daripada kecewa rumah tangga hingga retak hubungan keluarga.
Kesedihan peribadi yang sepatutnya terpendam, kini bertukar menjadi tontonan umum.
Bagi sesetengah wanita, ia bukan sekadar coretan emosi, tetapi jeritan minta tolong.
Mereka mungkin tidak punya sahabat yang benar-benar mendengar, atau ruang selamat untuk meluah tanpa dihakimi. Lalu, media sosial menjadi bilik maya yang dipenuhi wajah asing, namun mampu memberi kata semangat.
Sokongan segera walau daripada orang yang tidak pernah dikenali yang membawa rasa lega, seolah-olah ada yang memahami.
Namun, di sebalik rasa lega itu, tersembunyi sisi gelap. Meluah tanpa batas ibarat pedang bermata dua. Niat asal mahu mencari simpati, akhirnya mengundang celaan.
Aib keluarga yang dibuka mungkin memberi kesan panjang. Anak-anak menanggung malu, pasangan terasa dikhianati, hubungan kekeluargaan jadi rapuh.
Lebih parah, setiap bait yang ditulis kekal di alam maya, menjadi bayang-bayang yang menghantui.
Dalam dunia wanita, isu ini begitu dekat. Kita terbiasa diajar untuk menjadi penyimpan rahsia keluarga, menjadi benteng rumah tangga.
Namun dalam diam, beban emosi boleh jadi terlalu berat. Ketabahan seorang isteri, seorang ibu, seorang anak perempuan sentiasa teruji di titik paling rapuh.
Bila tiada telinga untuk mendengar, jari-jemari yang menulis di media sosial terasa seperti jalan keluar yang paling mudah.
Tetapi benarkah ia menyembuhkan? Atau hanya menambah luka baharu dengan komen pedas, pandangan sinis, dan empati yang terhad?
Di sinilah hadirnya Rumah Tanpa Luka, sebuah drama yang bukan sekadar hiburan, tetapi cermin realiti.
Ia membuka mata bahawa luka yang tidak diurus bukan sekadar membebankan seorang individu, tetapi boleh meresap ke dalam institusi keluarga.
Dari sekecil rahsia yang dipendam, ia boleh melahirkan generasi yang mewarisi trauma.
Rumah yang sepatutnya menjadi syurga, berubah menjadi ruang penuh bisu, marah, dan air mata. Lantas, drama ini mengingatkan kita. Meluah itu perlu, tetapi biarlah di ruang yang tepat.
Diam itu emas, tetapi ada waktunya suara kita harus sampai ke telinga yang benar-benar mampu menyembuhkan, bukan sekadar bergema di ruangan maya tanpa sempadan.
Akhirnya, wanita tetap menjadi nadi keluarga. Meski sering memendam, merekalah penjaga jiwa dan penyembuh luka.
Ketabahan, empati, dan kasih sayang mereka menjadi cahaya. Namun, jangan sampai ketabahan itu menjerut.
Jangan pernah merasa bersalah jika hati itu rapuh. Menangis bukan tanda kelemahan, meluah bukan tanda kalah.
Tetapi pilihlah dengan bijaksana tempat untuk meletakkan luka. Jika media sosial hanya menambah pedih, carilah pelukan sahabat, suara ibu, atau ruang doa yang menenangkan.
Ingatlah, seorang wanita tidak dicipta hanya untuk menampung luka orang lain. Anda juga layak dirawat, dipulih, dan dicintai tanpa syarat.
JomUsha Rumah Tanpa Luka setiap Isnin hingga Khamis hanya dengan Astro One atau aplikasi sooka.
Nama Gula Cakery kian harum sebagai jenama F&B tempatan, seiring dengan perjalanan luar biasa pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal . Dari sekadar simpanan kecil dan oven di rumah keluarga, beliau kini berdiri megah mengemudi sebuah empayar pencuci mulut dengan jualan mencecah RM4 juta sebulan.
Baru-baru ini, usaha gigih itu turut mendapat perhatian dan pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Katanya, Gula Cakery adalah bukti nyata bagaimana impian, disulami kerja keras dan konsistensi, mampu mencipta keajaiban.
“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,” kongsi Arieni, penuh rendah hati.
Kisah Gula Cakery bermula dengan modal RM20,000, hasil simpanan sendiri. Setiap keuntungan disimpan semula untuk membuka cawangan baharu, malah Arieni berani menyertai pertandingan demi meraih modal tambahan dan peluang bimbingan.
Apa yang membuatnya kekal relevan hingga hari ini? Rahsianya terletak pada inovasi berterusan, keberanian mendengar maklum balas pelanggan, serta pasukan yang konsisten.
“Prinsip saya mudah, never stop learning. Saya belajar resipi baharu, operasi dan kepimpinan. Mindset ini buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” jelasnya.
Mengemudi perniagaan F&B bukan jalan mudah. Industri yang kompetitif menuntut Gula Cakery sentiasa mencipta kelainan, menjaga kualiti, dan memperbaiki pengalaman pelanggan.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.
Baginya, kejayaan bukan sekadar soal resipi sedap, tetapi misi yang jelas untuk membawa nama jenama tempatan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.
Arieni juga menitipkan nasihat buat anak muda yang masih ragu-ragu memulakan langkah dalam dunia bisnes.
“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. Passion itu penting tetapi tak cukup, perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan. Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya penuh semangat.
Walau kini bergelar usahawan berjaya, prinsip yang dipegang Arieni tetap utuh. Jujur dan menjaga kualiti.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” katanya.
Melihat ke hadapan, Arieni mahu menjadikan Gula Cakery sebagai jenama F&B tempatan terbaik dan pusat sehenti untuk kek, makanan serta pencuci mulut.
“Kami mahu membuka lebih banyak outlet di setiap negeri. Biar bila orang fikir tentang sambutan atau perayaan, nama Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” katanya penuh keyakinan.
Tidak lengkap kejayaan seorang wanita tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga sebagai penguat semangat untuk berjaya. Bagi ibu kepada tiga cahayamata ini, keluarga adalah tunggak utama yang mendorong kejayaannya ini.
“Mereka kata, sokongan terbaik dalam hidup datang daripada keluarga. Dan itulah yang saya rasakan setiap hari. Sejak mula melangkah dalam dunia perniagaan, ibu adalah insan pertama yang menjadi tulang belakang.
Beliau sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, malah pernah menjadi “washer” saya pada hari-hari awal ketika saya membakar tanpa henti. Hari-hari memasak, hari-hari juga ibu yang mencuci periuk dan kuali.
Ayah pula, meskipun bekerja jauh di luar negara dan terkenal dengan sikap tegasnya, tidak pernah sekali pun berkata “tidak”. Diam-diam beliau sentiasa menyokong, menjadi contoh teladan sebenar buat saya.
Dan tentunya, insan paling istimewa, suami yang paling menyokong dalam setiap langkah. Tidak perlu lagi diperkenalkan. Sikapnya yang berlawanan dengan saya menjadikan kami saling melengkapi. Sentiasa ada di sisi, memberi sorakan dan semangat dalam setiap pengembaraan baharu.
Sungguh, tanpa keluarga, tidak mungkin saya mampu berdiri seteguh hari ini. Kerana di sebalik setiap kejayaan seorang wanita, ada doa, kasih, dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus,”ujar Arieni mengakhiri bicara.
Astro melangkah setapak lebih jauh dalam cara mendekatkan drama dengan penonton, kali ini menerusi siri popular Thariq Ridzuwan: His Treasure (TRHT). Bukan sekadar tontonan, peminat kini berpeluang merasai sendiri debaran, berinteraksi dengan karakter, bahkan menjadi sebahagian daripada dunia cinta dan perjuangan Thariq serta Radwa.
Buat julung kalinya, Astro memperkenalkan iklan gamifikasi interaktif di laman web MBNS dan NI. Penonton dibawa masuk ke dalam misi menyelamatkan Radwa yang penuh emosi dan mendebarkan. Di sini, mereka boleh membuat pilihan, berinteraksi dengan karakter, dan merasai tekanan sama seperti Thariq yang bergelut antara cinta dan pengorbanan. Menariknya, peminat juga boleh menghantar surat khas kepada barisan pelakon TRHT di laman janjiuntukradwa.astro.com.my seakan meluahkan isi hati terus ke dalam dunia drama.
Satu lagi pendekatan segar ialah Janji 1 Minit di mana ia menampilkan acara eksklusif yang memberi peluang peminat bersemuka dengan pelakon utama TRHT dalam karakter masing-masing. Bayangkan, lapan minit yang penuh makna, satu minit untuk setiap pelakon! Dalam tempoh sesingkat itu, setiap tatapan dan setiap senyuman menjadi janji kecil yang menyentuh hati, seolah-olah penonton sendiri berada di sisi Thariq dan Radwa.
Bertempat di ibu negara baru-baru ini, 15 orang peminat bertuah telahpun dipilih untuk terlibat dalam acara yang dinamakan sebagai ‘Janji Satu Minit’ di mana mereka dapat bersemuka bersama lapan orang pelakon TRHT selama lapan minit; satu minit dengan setiap pelakon. Momen berharga untuk die hard fans Thariq Ridzuwan: His Treasure !
Kedua-dua inisiatif ini mengukuhkan tema utama drama, janji. Sama ada janji berbisik dalam pertemuan seminit, atau janji dalam misi getir menyelamatkan Radwa, segalanya mengingatkan kita bahawa janji adalah bahasa cinta yang paling tulus.
Astro bukan sahaja menayangkan drama, tetapi mencipta pengalaman yang hidup dalam ingatan peminat.
Bagi seorang wanita, janji bukan sekadar kata-kata manis yang terucap di bibir. Janji adalah tulang belakang kesetiaan, doa yang diikat pada setiap langkah, dan pengorbanan yang sering tidak terlihat.
Kita berjanji untuk menjaga keluarga walau penat menjemput senja. Kita berjanji untuk tetap tabah walau hati dilukai. Dan kita berjanji pada diri sendiri untuk terus kuat, meskipun dunia meragukan kemampuan kita.
Drama ini mengingatkan kita bahawa dalam cinta, pekerjaan, mahupun kehidupan seharian, janji yang dijaga adalah simbol kekuatan seorang wanita. Ia bukan hanya soal menunggu, tetapi juga tentang keberanian untuk memberi sepenuh hati.
Drama Thariq Ridzuwan: His Treasure boleh ditonton di Astro One dan sooka, setiap hari Rabu dan Khamis pada jam 9 malam. Saksikan minggu akhir Thariq Ridzuwan: His Treasure hanya di Astro One dan sooka. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan janji, cinta, dan rahsia yang mampu mengubah segalanya.
Sebuah rumah perlindungan wanita, Baitus Solehah mendedahkan kes gadis mengandung tanpa nikah yang agak luar biasa.Bukan sekali tapi lapan kali dan hampir kesemua kehamilannya melibatkan lelaki berbeza selepas individu berkenaan mendapatkan perlindungan ketika kehamilan kelapannya.