Daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kembali. Kejadian lemas yang meragut nyawa tiga beradik sekaligus merupakan insiden yang cukup menyayat hati. Seluruh rakyat turut bersedih dengan kejadian yang menimpa tiga beradik ini, apatah lagi keluarga mereka.
Sebelum itu, tular salah seorang daripada tiga beradik ini baru sahaja selesai hafaz 30 juzuk Al-Quran pada Mac lalu. Malahan menurut ayah mangsa, mereka meminta untuk berpakaian sedondon dan minta dipeluk ketika bergambar bersama. Sesungguhnya dia tidak menyangka itulah permintaan terakhir mereka.
Mayat Terakhir Akhirnya Ditemui
Mayat kedua dan terakhir mangsa lemas tiga beradik di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini sudah ditemui.
Mayat Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemukan pasukan penyelamat tidak sampai dua jam selepas penemuan mayat pertama, Umar Iskandar Mohd, 21, pada jam 11.36 pagi.
Mayat pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang itu ditemukan kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang manakala mayat adiknya, Khalif Naim Mohd, 16, ditemukan hanya dalam tempoh sejam lebih selepas penemuan mayat kedua, iaitu pada jam 12.43 tengah hari tadi.
Khalif Naim Baru Tamat Hafaz Al-Quran
Kisah Khalif Naim yang juga pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuknya pada 10 Mac lalu menjadi perhatian dan tular di laman sosial selepas tragedi mereka diketahui umum sejak malam tadi.
Ads
Terdahulu, mayat abang mereka, Umar Iskandar ditemukan sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai, kira-kira empat meter dari tebing sungai, jam 9.50 pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, ketiga-tiga beradik tersebut, Khalif Naim Mohd, 16, Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Umar Iskandar Mohd, 21, dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di sini.
Bapa kepada tiga beradik dikhuatiri lemas tidak menyangka permintaan anak-anaknya supaya dibelikan baju Melayu setiap seorang untuk dipakai pada hari raya adalah permintaan terakhir sebelum ketiga-tiganya hilang dihanyutkan arus di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di sini semalam.
Minta Dipeluk & Meminta Baju Sedondon
Mohd Ismail, 64, yang juga seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia juga turut berasa pelik apabila anak-anaknya memintanya memeluk mereka ketika kesemua mereka yang memakai baju sedondon berwarna ungu bergambar pada pagi Syawal.
Ads
“Pada mulanya saya tidak menganggap permintaan itu suatu yang pelik kerana hubungan kami memang akrab tetapi sedikit janggal mereka minta saya peluk.
“Cuma saya tidak sangka yang saya kehilangan mereka bertiga dalam sekelip mata sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Mohd berkata, beliau yang ketika itu sedang membersihkan kawasan di sekitar masjid hanya mengetahui kejadian menimpa anak-anaknya kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan anak saudaranya yang meminta segera pulang ke rumah.
Ads
Luluh Hati Ketahui Hal Sebenar
Beliau berkata, sebelum ke masjid, tiga anaknya sedang membersihkan rumah sebelum didatangi sepupu mereka yang membawa lemang.
“Pada awalnya, semasa anak saudara datang meminta balik segera, saya sangkakan ada orang curi kelapa lagi kerana kejadian itu kerap berlaku tetapi saya dibawa ke tebing sungai dan ditunjukkan pakaian, selipar serta telefon bimbit anak-anak.
“Luluhnya hati saya ketika itu kerana sudah mengagak apa yang menimpa kepada ketiga-tiga anak saya walaupun tahu sebelum ini mereka memang jarang mandi di sungai berkenaan meskipun jarak dari rumah kami sangat dekat,” katanya dalam nada sebak. Bagaimanapun, beliau reda dengan kejadian itu.
MW: MW mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Semoga keluarga mangsa bersabar dengan ujian besar ini.
Sumber/ Foto: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sekitar April lalu, Kelantan diisytiharkan sebagai negeri zon hijau Covid-19. Bermakna, tiada kes aktif dikesan di negeri itu lebih sebulan. Hari ini, negeri itu kembali mencatat satu kes baru Covid-19 melibatkan wanita hamil yang pulang ke kampung halaman apabila dibenarkan rentas negeri baru-baru ini.
Daripada makluman yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, kes terbaru itu berlaku di Kuala Krai. Dan ketika ini, wanita mengandung dengan usia 32 minggu itu sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Wanita yang menetap di Ampang ini, pulang ke kampung kerana mahu bersalin di sana. Bagaimana pun buat masa ini, ahli keluarga wanita hamil berkenaan negatif, dia seorang saja yang positif. Tetapi, ahli keluarga wanita berkenaan tetap dikuarantinkan.
Sambung beliau, “Apa yang kita takutkan selama ini berhubung rentas negeri. Mangsa (pesakit) balik ke kampung apabila dibenarkan untuk rentas negeri baru-baru ini.”
Itulah kebimbangan yang ditakuti selama ini. Apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan, kes baru boleh kembali terjadi. Dan nampaknya ia benar-benar terjadi.
Permohonan rentas negeri membabitkan kebenaran terutama suami isteri yang tinggal berjauhan untuk berjumpa seminggu sekali juga mendapat lebih dari 8000 permohonan dari orang ramai.
Jadi mak ayah, apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan arahan PKPB yang melarang anda pulang beraya melibatkan rentas negeri, tentunya ia ada kewajaran yang munasabah.
Bila mana ada ibu yang sanggup berkorban menyalakan pelita raya sendirian tanpa kehadiran anak cucu Aidilfitri ini. Semuanya demi bimbangkan keselamatan mereka apabila pulang ke kampung.
Jadi, kenapa ada keluarga yang berdegil.. penting diri. Tidak jujur. Akhirnya, selepas menempuh kesesakan sekatan jalan raya yang panjang, diarahkan untuk berpatah balik.
Malah dilaporkan lebih 3,000 kenderaan diarahkan berpatah balik selepas cuba untuk pulang ke kampung halaman tanpa alasan munasabah.
Tidakkah itu satu kerugian?
MW : Bertahanlah sedikit lagi, jika kita dapat tempuhi dan lalui ujian ini tentunya kemenangan menjadi milik Malaysia.
Hidayah itu milik Allah dan Dia beri kepada seseorang itu dengan pelbagai cara. Siapa sangka dalam bulan yang penuh keberkatan ini, malahan dalam 10 hari terakhir Ramadan, seorang pemuda dari Sabah telah memeluk agama Islam. Beruntung, bila dia mengucapkan kalimah itu di hadapan Datuk Seri Dr Zulkifli itu sendiri.
Inilah antara perkongsian daripada Ustaz Dr. Khairuddin at-Takiri.
Beruntungnya seorang insan bernama Jackie Jamior Jepol atau nama Islamnya Afiq Iman.
Di bulan Ramadhan yang mulia ini menjadi saksi seorang lagi insan terpilih melafazkan dua kalimah syahadah.
Berumur 27 tahun dan berasal dari Penampang, Sabah, beliau melafazkan syahadah di hadapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabat beliau di Putrajaya sebentar tadi.
Turut sama hadir, wakil dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan JAWI. Bapa saudara Afiq Iman berjumpa dengan SUSK YB Menteri Dr. Khairuddin, Ust Radhi dan berpeluang berjumpa Dr. Zulkifli dan mengucap dua kalimah syahadah.
Dr. Zulkifli turut berpesan kepada Afiq Iman dan menerangkan kepadanya tentang Islam dan keindahannya serta dijelaskan bahawa Islam tidak sama sekali menghina agama lain.
MW: Moga Afiq Iman dipermudahkan dan menjadi seorang muslim yang sejati.
Sumber: Ust Dr. Khairuddin at-Takiri
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.