Hubungan suami isteri perlu disemai sebaik mungkin. Jangan biarkan berlarutan jika anda melihat pasangan semakin jemu.
Semaikan dan suburkan ia dengan kasih sayang. Malah ada yang meluahkan selepas beberapa tahun mendirikan rumahtangga hendak sentuh atau pegang pasangan pun sudah tak rasa apa malah ada yang rimas.
Ikuti penerangan dari Pakar dalam Relationship and Intimacy Expert, Diyana Tahir untuk kembalikan rasa cinta pada pasangan anda.
“Ramai orang bila ada masalah mereka pilih untuk selesaikan hanya pada permukaan sahaja. Ibarat anda hanya memotong dahan dan membuang daun-daun pada sebatang pokok dan kemudian ianya akan tubuh semula.
Ads
“Begitu juga pada masalah anda, ianya akan berterusan jika tidak di selesaikan dari akarnya.
“Jadi perlu beberapa langkah yang betul untuk anda kembalikan semula rasa cinta dengan pasangan dan untuk anda merasai semula kehangatan asmara dengan pasangan.
Gambar sekadar hiasan
Langkah-Langkah Kembalikan Kehangatan Asmara
Yang pertama adalah ‘reboot’ hati. Sebelum nak buat apa-apa penting untuk pikat dari hati dulu. Kenali keegoan pasangan ni seperti apa. Ambil hati pasangan dengan ketahui apa kehendak hatinya. Berhenti untuk berteka-teka apa kemahuan suami. Sebab itu penting ada ilmu. Setiap orang adalah berbeza-beza. Tidak semestinya kita akan faham dia dan dia akan faham kita 100 peratus. Sebab itu penting untuk mengenali keegoan pasangan anda ini seperti apa. Sebab sebenarnya keegoan manusia ini ada tiga iaitu keegoaan ingin disukai, keegoaan ingin selamat dan keegoan ingin berkuasa.
Yang kedua adalah ‘reboot’ fikiran. Ketahui pasangan maskulin atau feminin. Kembalikan polarisasi feminin maskulin itu dalam hubungan. Sebenarnya untuk menjadikan hubungan itu menjadi lebih tertarik anda dan pasangan perlu ada polariti feminin dan maskulin. Dalam perhubungan perlu ada keseimbangan, kedua-duanya tidak boleh jadi feminin sahaja atau sebaliknya. Penting juga untuk mengenali samada pasangan anda itu feminin atau maskulin. Kenali ciri-ciri feminin dan maskulin itu bagaimana. Lelaki alaminya bersifat maskulin. Salah satu ciri maskulin adalah kekosongan. Dan untuk menarik perhatian maskulin perlu ada polariti (berlawanan) pada kekosongan iaitu keberlimpahan kehidupan (feminin).
Yang terakhir adalah reboot tubuh. Suburkan hormon cinta dengan diet sentuhan cinta. Punca hubungan dengan suami yang dah semakin hambar dan hilang rasa ghairah atau suami dah tak bernafsu adalah disebabkan kurangnya oxytocin dalam badan. Oxytocin ini ialah HORMON LOVE yang semakin berkurang kerana aktiviti seksual dan faktor cara hidup yang tak seimbang.
“Kalau dulu masa masih anak dara atau bujang, hormon ini melambak dalam badan kita sebab tu masa mula-mula kahwin jeling-jeling pun dah terasa kat hati, mesranya bukan main lagi kan?
“Tapi sekarang ni sentuh-sentuh atau pegang pasangan pun tak rasa apa dah malah ada yang rasa rimas.
“Jadi dengan mengamalkan Diet Sentuhan Cinta yang lebih efektif akan dapat membantu menguatkan semula hormon cinta dengan pasangan. Bukan sekadar merawat tetapi menjadi BOOSTER untuk hubungan cinta yang lebih hangat,” akhiri Diyana Tahir.
Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Realitinya, jadi orang perempuan memang tak suah tetapi segala yang berlaku dalam hidupnya akan dipersoalkan. Itulah nasib golongan mak-mak yang hidupnya tidak pernah sempurna.
Seperti yang ditulis oleh Puan Eleena Arif, nak jadi perempuan hatinya kena sado. Tak boleh biarkan kata-kata orang bunuh emosi kita. Bangkit dan terus melangkah.
Wanita Tabah
Tak pernah beranak, dihina mandul!
Gugur kali ke-2, dikatakan rahim lembik!
Czer kali ke-3, dicerca rahim cacat!
Anak hanya seorang, diumpat tak subur!
Beranak anak ke-5, diperli pula gelojoh!
Semua anak lelaki, asyik ditanya suami tak teringin ke anak perempuan?
Jadi orang perempuan ni bukan senang, semua yang berlaku pada kita akan dipertikaikan.
Lagi-lagi bab anak.
Everyone is having their own struggles in life.
Jaga Hati Orang
Janganlah ditambah dengan kata-kata kurang simpati dari anda. Jika tiada yang baik untuk diperkatakan, cukuplah sekadar bertanya khabar.
Wahai wanita yang tiada anak, jangan terus menangis.
Kamu bukan mandul, kamu itu istimewa kerana Allah mahukan masa kamu untuk Dia dan beri perhatian penuh pada suami, syurgamu.
Wahai wanita yang keguguran, jangan terus menangis.
Tidak semua anak-anak di muka bumi ini yang lahirnya Islam dapat mati dalam iman.
Tetapi Allah dah jaga Keislaman anak-anak kamu
sebagai pasakan pasti seorang anak syurga di sana kelak.
Wanita yang bersalin czer, jangan terus menangis. Kalau zaman dahulu, saat komplikasi yang kamu hadapi pasti anak-anak kamu meninggal dalam perut.
Tetapi dengan kurniaan teknologi, anak-anak kamu selamat. Kamulah wira yang sanggup dilapah demi menyelamatkan anak-anak, bukan sekadar melahirkan.
Wanita yang tak ramai anak, jangan terus berasa kesal. Anak yang satu sudah mencukupi dari mana-mana berlian didunia ini.
Yang satu sudah lebih dari mencukupi jika dijaga kualiti didikan Islamnya, contohilah Rasulullah SAW si anak tunggal.
Wanita beranak ramai, janganlah mengeluh. Ikhlas dan yakinlah zuriat kamu yang ramai itu bekalan di alam barzakh kelak. Susah kamu hanya di dunia, mewah kamu pastinya di sana.
Mahalnya doa anak yang soleh dan solehah.
Wanita yang anaknya semua lelaki, jangan kecewa. Beruntungnya kamu memiliki pelindung dari dunia sampai ke syurga. Kamu dikelilingi oleh lelaki-lelaki yang sanggup mati untukmu.
Hidup kamu juga kurang drama dan air mata.
Jangan Bersedih, Terus Kuat
Kepada semua wanita di luar sana, Stand up!
Stand out!
Be proud of who you are.
Ada anak atau tidak, normal atau czer, ramai atau tidak.
Belajar mensyukuri nikmat yang ada dan belajar untuk abaikan kata-kata hina serta umpatan mereka.
Mengapa perlu bersedih dengan kata-kata durjana sedangkan banyak rahmat Allah terbentang luas di depan mata yang kita boleh syukuri?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak payah terlalu baik hati sangat, isteri perlu benarkan suami laksana tanggungjawab nafkah sebaiknya. Gunakan keseluruhan pendapatan suami terlebih dahulu selepas ditolak keperluan ulang alik bekerja.
Jika masih tak cukup, barulah isteri membantu. Bukannya macam kebanyakan perkongsian yang diamalkan dengan prinsip bahagi dua sama rata.
Tak Salah Isteri Bantu Tapi Biar Berpada
Bukan mengajar isteri berkira, hanya sebagai menjaga kepentingan dan kebajikan isteri sahaja. Masalahnya isteri takkan sedar dan faham selagi tak diuji. Bila dah kantoi suami ada orang ketiga, barulah nak ungkit segala benda hatta belikan seluar dalam kat suami pun heboh satu dunia!
Isteri yang kononnya membantu suami tapi realitinya sedang membenarkan suami lalai melaksanakan tanggungjawab yang patut dan perlu sebagai seorang suami dan bapa. Tanggungjawab tersebut ialah menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak yang munasabah dengan kehidupan harian dan tidak melanggar syarak.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Boleh memanjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, dan pelbagai tindakan lain selagi manja tersebut tak melanggar dua syarat utama iaitu pertama; tidak mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami dan kedua; tidak mencabuli hak anda sebagai seorang isteri.
Peranan Dan Tanggung jawab Seorang Suami
Islam tentukan seorang suami wajib dihormati tanpa pengecualian disebabkan si suami diberikan dua peranan yang besar terhadap isteri dan anak-anak iaitu menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak serta mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang Allah redhai.
Malangnya dalam dunia serba moden dan maju, tanggungjawab ini tidak lagi menjadi perkara perlu dilaksanakan. Suami terlupa, buat-buat lupa malah terus melupakan status dan tanggungjawab dengan bantuan isteri sendiri hingga mencari ‘kawan’ buat isteri.
Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep bahagi sama rata atau kongsi dua; dah macam teman serumah tapi tidur sekatil. Bukan tidak boleh berkongsi tetapi anda sengaja membiarkan suami anda gagal melaksanakan tanggungjawabnya yang patut yang Allah SWT tentukan kepadanya sebagai seorang suami dan seorang bapa jika mempunyai anak-anak. Jika betul mampu, tidak mengapalah. Sewajarnya pun isteri membantu.
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuan yang sebenar. Sebagai contoh sampai kena berhutang hanya sebab nak penuhkan kehendak isteri yang melampau atau bekerja tanpa rehat sampai tak leka bab ibadat. Itu salah ya…
Kalau isteri berkemampuan dan suka bermewah, isteri boleh gunakan wang sendiri untuk puaskan hati. Tapi ingat ya, masih dengan syarat tidak gagal menghormati suami. Kena juga maklumkan dulu kepada suami sebelum berbelanja.
“Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” – surah al-Talaq ayat 7.
Wanita, jangan ambil alih peranan suami dalam perbelanjaan keperluan anda, anak-anak dan rumah tangga. Andai benar sayang pada suami, pastikan suami melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...