Sembuh Dari Kanser Payudara Tahap 4, Nurhayati Sahak Nasihat Jangan Percaya Bomoh Untuk Rawatan

Share

Sembuh dari kanser payudara tahap 4, Nurhayati nasihat jangan percaya bomoh untuk rawatan. Di sebalik kisah sembuhnya seorang wanita dari kanser payudara tahap 4, tersimpan satu pesan penuh bermakna dari Nurhayati Sahak 46 tahun.

Nasihatnya, jangan sesekali memperjudikan nyawa dengan mempercayai bomoh.

“Ramai yang memilih jalan mudah. Menolak rawatan doktor kerana takut, ragu atau terpedaya dengan janji manis kononnya ada bomoh atau pengamal perubatan ada “ubat mujarab” untuk menyembuhkan kanser.

“Hakikatnya, kepercayaan itu hanya menjerumuskan pesakit ke kancah penderitaan yang lebih berat. Saya pernah lalui semua itu. Dari menerima rawatan doktor kemudian putus asa dan percaya bomoh boleh menyembuhkan kanser, hakikatnya semua itu salah,” kata penerima Anugerah Icon Kanser Cancer Survivor Malaysia 2022.

Nurhayati Sahak, kini 46 tahun pernah dinobatkan sebagai Ikon Cancer Survivor Malaysia pada 2022 di mana dari tahap 4,dirinya kemudian disahkan bebas dari penyakit ditakuti ini

Bagi Nurhayati, pengalaman hampir meragut nyawanya dengan mempercayai kanser boleh diubati dengan rawatan bomoh menjadikan dirinya lantang mengingatkan orang lain agar tidak tersilap membuat keputusan.

“Jangan biarkan penyakit ini membunuh  sebelum waktunya kerana kita silap memilih rasa  percaya itu berbanding menerima rawatan doktor,”katanya memulakan perbualan.

Berbicara bersama ibu kepada seorang anak meningkat remaja, Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser payudara tahap 4 yang dihidapinya.

“Tahun 2019, saya sering demam tapi tak kebah-kebah. Kadang ada rasa sakit di bahagian payudara. Rasa macam terbakar tapi saya abaikan. Sehinggalah satu hari bengkak di bawah payudara pecah. Keluar nanah. Bila ke hospital kerana sakit, doktor cadangkan buang saja sebelah.

“Lepas bincang dengan suami, kami ikut nasihat doktor. Hari ketiga selepas nanah tu pecah, saya buat pembedahan buang payudara sebelah kiri tanggal 5 September 2019. Dan selepas dibuang itu, bila  ujian makmal dilakukan, doktor sahkan saya mengidap kanser payudara tahap 4.

“Bukan saja di payudara tapi sel kanser dah merebak  ke tengkuk, pelvis, rusuk dan tulang belakang.  10 Oktober 2019, saya mula jalani kimoterapi. Awalnya enam kali tapi kemudian jadi 9 kali.

“Jujurnya tak mudah. Sakit, badan panas. Muntah. Tak larat bangun. Mulut rasa besi, tak boleh angkat tangan, rambut botak, kuku jadi hitam selain kulit di bawah ketiak melepuh akibat panas radioterapi semua saya lalui.  Tapi bila saya pandang muka anak, Hazim Wafri yang ketika itu berusia 8 tahun serta sokongan suami, saya bangkit. Saya bersyukur kerana masih ada keluarga yang beri sokongan. Walau rasa nak rebah tapi syukur saya mampu habiskan sembilan kali kitaran kimoterapi sebelum melalui radioterapi sebanyak 15 kali.

Suami, Mohammad Hamri Ibrahim yang banyak memberi sokongan buatnya dalam melalui ujian kanser dideritainya. Mereka kini banyak membantu CSM dalam memberi penajaan belon dan sebagainya untuk majlis2 CSM

Allah tak pernah tidur dan sentiasa memandang doa dari hamba-hambaNya.

Bagai tidak percaya, selepas lebih setahun melalui kimoterapi dan radioterapi, akhirnya berita paling manis diterimanya apabila disahkan bebas dari kanser payudaranya. Bukan payudara saja,  kanser di rusuk dan pelvis turut hilang,” kata Nurhayati berkongsi perjuangannya melawan kanser.

Menyedari ramai yang perlukan bantuan dan nasihat melawan kanser, Nurhayati menyertai persatuan Cancer Survivor Malaysia (CSM) sebagai sukarelawan demi membantu wanita lain. Jika dulu bermula sebagai ahli, dia kini merupakan insan penting menjaga negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kami beri mereka katil dan mesin oksigen. Kadang kami datang ke rumah ziarah. Beri nasihat buat pasangan yang adakalanya putus asa dengan ujian ini.Jujurnya bila diuji kanser tak mudah. Kesakitan bukan saja pada penyakit dialami tapi pada emosi dan jiwa. Sebab itulah kekuatan dan sokongan dari pasangan sangat diperlukan melawan penyakit ini.

Program ziarah dan bantuan diberikan oleh Nurhayati bersama CSM kepada mereka yang diuji kanser selepas dirinya bebas dari kanser

“Buat masa ini CSM di Kuala Lumpur dan Selangor ada 8 katil yang kami beri pinjam pada pesakit kanser. Tak perlu bayar apa pun. Andai pesakit dijemput Allah, katil ini akan diberi pinjam pada pesakit lain pula. Begitu juga mesin oksigen, kami ada tiga unit. Semuanya diberikan percuma kerana kami Ngo yang non profit,”katanya ketika kunjungan Nurhayati ke Mingguan Wanita.

Jika di awal 2021, dirinya disahkan bebas dari kanser payudara, ujian Allah semasa Covid melanda dunia pada 2022, sekali lagi Nurhayati diuji penyakit berbahaya ini.Kali ini bukan di payudara sebaliknya kanser dikesan pelvis, tulang belakang, pinggang serta paru-parunya.

“Saya ikut saja saranan doktor untuk buat kimoterapi termasuk disarankan membuang rahim. Bayaran perlu dibayar RM68,000. Ubat kali ini agak mahal tapi kami usahakan juga kerana saya mahu sihat. Sekali lagi saya perlu bertahan melalui kesakitan semasa kimoterapi dan radioterapi. Tapi demi untuk sihat, saya ikut semua saranan doktor.

“Sekarang ini kemajuan dalam dunia perubatan juga semakin memudahkan pesakit kanser. Hanya makan pil yang mana pesakit tak perlu duduk di hospital lagi untuk rawatan. Kesannya sama macam buat kimoterapi.

“Syukur alhamdulillah, bulan lapan tahun lalu doktor sahkan kanser yang ada pada saya sudah tiada. Rasa nak menangis bila mengenang perjuangan melawan kanser ini. Dan di tahun 2025 ini, saya hanya perlu memakan ubatan bagi mengekang kanser kembali menyerang.

“Kos ubatan saya sebulan mencecah RM3100 dan syukur ianya dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor. Rawatan juga saya terima di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam. Doakan saya terus sihat,” katanya yang mengakui antara memberi kesembuhan buat dirinya selain doa ialah sokongan dari suami dan ahli keluarga.

Program CSR dilakukan oleh Cancer Survivor Malaysia bagi membantu pesakit kanser menikmati kehidupan

“Sebab tu saya sertai CSM. Bila bertemu orang ramai yang diuji sama, kita boleh sama-sama faham tentang penyakit ini. Kata orang saling membantu satu sama lain,” katanya memaklumkan dengan bantuan suami, Mohammad Hamri Ibrahim mereka sering menjadi penjaga bagi projek-projek CSM seperti penyediaan belon dan sebagainya.

“Ini salah satu kegembiraan saya. Buat perkara yang mampu bahagiakan orang lain juga,”katanya yang mengharapkan mereka yang diuji dengan kanser terus kuat melawan penyakit ini.

Hari ini juga, wakil  CSM Kl/ Selangor telah menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada kepada Tabung Pesakit Hospital Ampang.

Pagi ini wakil CSM Selangor, Melissa Tan, Amnah Salleh, Wafri Hamri Wafri Yaty telah mengadakan kunjung hormat kepada Dr Kasuadi bin Hussin Pengarah Hospital Ampang dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM 10, 000.

CANCER SURVIVORS MALAYSIA mengambil kira ramai pesakit Kanser Darah dari seluruh Malaysia perlu ke Hospital Ampang untuk menjalani Rawatan Pemindahan Stem Cell
Ramai juga pesakit kanser darah seperti, Limfoma, Leukimia, LCH yang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Ampang.

Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.

Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros