Berita Sosial

Selepas Sejam Ismahalil Hamzah Cakap, Maknya Terus Demam

Share

Sebak mendengar luahan pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah tentang apa yang dikongsinya bersama ibu tersayang yang kini sudah uzur menggunakan kerusi roda, berusia 86 tahun.

Selepas Sejam Ismahalil Hamzah Cakap

Sebelum berdepan hukuman penjara selama 30 tahun, beliau sempat meluahkan rasa sebak selepas mendedahkan keputusan kes mahkamah yang bakal dihadapinya itu kepada ibu tercinta sehingga menyebabkan wanita itu jatuh sakit.

Menerusi hantaran video yang dikongsikan isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf, Ismahalil, 53, berkata pada awalnya dia berbelah bahagi sama ada mahu memberitahu perkara itu atau tidak, namun terpaksa berbuat sedemikian sebagai persediaan fizikal dan mental untuk keluarganya menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa tuan-tuan dan puan-puan fikir, apa yang saya cakapkan ini saya tak beritahu kepada mak saya? Saya beritahu kepada mak saya.

“Mula-mula mak tak tahu sebab saya tak cakap. Saya cuma balik jumpa dan minta dia doakan saya, serta bermanja dengannya.

“Saya belikan ikan cencaru dan minta dia masakkan sup ikan. Saya tak tahu sama ada saya dapat rasa lagi masakan mak atau tak,” katanya dalam hantaran video itu.

Maknya Terus Demam

Bagaimanapun, Ismahalil yang berkongsi perkara itu menerusi sesi siaran langsung terakhir di Bapakku FM, pada Rabu, berkata ibunya terus demam sejam selepas dia memaklumkan tentang keputusan yang bakal dihadapinya.

“Saya cakap, Mak, hari Jumaat ini jam 9 pagi keputusan mak. Kalau ada (rezeki), kita dapat jumpa lagi mak, kalau tak ada, kita tak dapat jumpa lagi.
“Bila mak tanya kenapa, baru saya cerita perkara sebenar. Selepas satu jam saya cakap, apa jadi pada mak? Mak terus demam. Saya jadi menyesal beritahu, tetapi kalau tak beritahu nanti susah. Sekurang-kurangnya kita dah berusaha dan bersiap sedia,”
katanya.
Menjelaskan situasi fizikal ibunya yang kini berkerusi roda dan uzur, Ismahalil tidak dapat menahan rasa sebak namun cuba memendam perasaan serta mengawal air matanya sewaktu berbicara dengan bersahaja bersama ibu tercintanya itu.
“Bila saya nak balik, mak peluk dan cium saya macam budak-budak. Saya peluk mak dari belakang ketika dia baring sebab mak sudah tidak larat nak bangun. Tubuh dia semakin lusuh dan makin kita beritahu, makin dia tidak larat dan demam.
“Mak kata, ‘mak tak larat. Betul-betul dah tua dan macam bayi. Siapa lagi tempat saya nak mengadu kalau bukan dengan mak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ismahalil turut memohon doa daripada orang ramai agar kesihatan ibunya kembali pulih dan tidak terus mengalami demam akibat kerisauan.
Menerusi siaran langsung yang diakhiri dengan permohonan maaf itu, Ismahalil turut menitipkan ucapan penghargaan kepada semua pendengar yang pernah menyokongnya sepanjang mengendalikan stesen radio Bapakku FM.
“Doakan saudara, semoga mak saya tidak demam lagi. Terima kasih anda semua yang pernah bersama di Radio Bapakku FM. Salah silap minta maaf banyak-banyak. Doakan,” ujarnya.
Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya atas kesalahan mengedar dadah pada September 2021.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.
Noorin dalam keputusan itu memaklumkan hukuman penjara 30 tahun berkenaan bermula pada hari yang sama iaitu 7 Ogos 2026.
Apa pun yang berlaku, kita doakan yang baik-baik buat keluarga Ismahalil, semoga Allah permudahkan urusannya sekeluarga.

 

Thread: Bapakkufm.tv

Published by
Nadia Mohamad