
Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus membuka helaian demi helaian cerita yang mengundang sebak. Selepas beberapa minggu tragedi pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa salah seorang rakannya, yang dirujuk sebagai pelajar A, telah berpindah sekolah.
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan oleh Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika menjawab soalan peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, dalam prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pagi ini.

Azhari mengesahkan perpindahan pelajar berkenaan, namun mengakui tidak mengetahui alasan atau sebab sebenar mengapa pelajar itu berpindah walaupun ketika itu Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan membekukan proses perpindahan pelajar.
“Ya, pelajar A sudah pindah sekolah… tapi saya tidak tahu apa alasannya,” jelas Azhari.
Rakan-Rakan Yang Masih Tinggal
Dalam keterangannya, Azhari turut mengesahkan bahawa empat lagi pelajar yang dikenali sebagai B, C, D dan E masih menuntut di sekolah sama. Mereka antara individu yang berada dalam pertemuan bersama arwah Zara pada 15 Julai lalu ketika isu kehilangan dompet dibangkitkan.
Menurut Azhari, tindakan pihak sekolah selepas kejadian itu hanyalah mengambil keterangan daripada pelajar terbabit serta memberikan sesi kaunseling.
Namun, bagi pelajar E yang juga ketua bilik, insiden tersebut meninggalkan trauma yang mendalam. Dia dilaporkan tidak lagi tinggal di bilik yang sama selepas kejadian, malah tidak lagi memegang jawatan sebagai ketua bilik.
“Sekarang pelajar E bukan lagi ketua bilik. Dia sendiri beritahu tidak sanggup menginap di bilik itu kerana trauma,” kata Azhari.
Hanya pelajar B, C dan D yang masih menghuni bilik asrama berkenaan.
Pendedahan mengenai perpindahan pelajar A dan trauma yang dialami oleh pelajar E sekali lagi mengingatkan betapa besarnya impak tragedi yang menimpa arwah Zara Qairina. Bukan hanya keluarga yang berduka, tetapi rakan-rakan sebayanya juga membawa luka tersendiri.
Secara keseluruhan, ada 60 saksi lagi akan dipanggil setelah lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang 10 hari inkues sehingga hari ini.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI