Sayu hati tatkala melihat ketabahan seorang wanita menguruskan ibu bapanya yang juga orang kurang upaya fizikal dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.Ketika sebahagian daripada anak-anak di negara ini mengambil jalan mudah dengan menghantar mak ayah ke rumah kebajikan, pujian harus diberikan kepada ibu tunggal, Intan Zulina Osman, 32, yang tetap cekal menguruskan kedua-dua orang tuanya yang uzur biar pun mereka hanya mampu mengesot dan terlantar di dalam bilik.
Bertubuh kecil selain kudrat wanita yang tidak seberapa, Intan Zulina tidak pernah mengeluh apabila menguruskan kedua-dua orang tuanya, Osman Jusoh, 78, dan Siti Zabedah Saidin, 70, termasuk perlu mengangkat bapanya yang semakin uzur setiap hari untuk ke bilik air.
Dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selaku peniaga nasi lemak selain bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Intan Zulina tidak sesekali sanggup menyerahkan mak dan ayahnya itu ke tangan orang lain biar pun dia perlu menanggung tiga anak berusia antara 8 hingga 13 tahun.
Tidak Mengeluh
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, di sini, Intan Zulina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata mengakui bakti dicurahkan itu tidak seberapa dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa membesarkannya dengan sempurna.
“Selagi mereka hidup dan kudrat saya kuat, saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak tanpa pernah sekelumit ada perasaan mengeluh kerana mereka yang melahirkan saya ke dunia ini,” katanya.
Menurutnya, cabaran memang ada apatah lagi dia perlu membesarkan tiga anaknya, Muhammad Akif Aidil Fikri, lapan, Muhammad Afiq Irfan, 11, dan Aiman Haikal, 13.
Ads
Dapat Perhatian Perdana Menteri
Katanya, kisah ibu bapanya pernah tular di media sosial hingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa melawat pasangan itu 19 Jun tahun lalu.
“Sejak itu kehidupan kami bertambah selesa, namun kini ayah semakin uzur apabila tidak mampu bergerak dan perlu dibantu mengurus keperluan harian,” katanya.
Intan Zulina berkata, sebelum ini, dia berniaga nasi lemak di kampung itu dengan pendapatan RM50 hingga RM80, namun sejak empat bulan lalu terpaksa berhenti berniaga kerana perlu memberi sepenuh tumpuan menjaga bapanya.
Ads
“Sebelum ini ayah boleh mengurus dirinya sendiri walaupun OKU dan turut menjaga emak, namun sejak empat bulan lalu kesihatannya semakin teruk apabila kedua-dua tangannya tidak kuat dan sering kebas.
“Ayah kini hanya terlantar dan saya menguruskan semuanya termasuk menyuap makan, memandikannya dan perlu mengangkatnya tiga kali sehari ke bilik mandi.
“Namun, selagi mereka hidup saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak,” katanya.
Katanya, itu rutin hariannya kini dan mencari alternatif lain dengan berniaga dalam talian menjual kek, roti dan tudung kerana tidak boleh meninggalkan orang tuanya terlalu lama.
“Hasil pemberian bantuan dan sumbangan orang ramai itu saya membeli ketuhar untuk memulakan perniagaan menjual kek dan roti.
“Walaupun pendapatannya tidak seberapa, namun cukup untuk saya sekeluarga meneruskan kehidupan kami,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 dan zakat RM450 sebulan yang meringankan beban mereka sekeluarga.
Ads
“Emak dan ayah adalah anugerah Allah dan selagi saya kuat dan sihat tidak sesekali akan mensia-siakan mereka kerana ini tugas sebagai anak membalas jasa mereka.
“Cuma saya bimbang apabila mereka kurang berselera makan akibat faktor usia. Emak masih boleh dikatakan sihat namun ayah yang nampak perubahannya,” katanya.
Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas kisah mereka tular tahun lalu dan menjadi kenangan terindah dilawati Perdana Menteri.
Keluarga Angkat JKKK
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kodiang Lama Luar, Ku Azlan Ku Mat berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga terbabit, malah menjadi keluarga angkat JKKK.
“Pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka melalui sumbangan Pejabat Daerah Kubang Pasu.
“Pelajaran anak Intan juga akan dibantu dan menyalurkan sumbangan melalui kelengkapan sekolah dan sebagainya,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat wanita ini kerana pengorbanannya yang cekal menjaga kedua orang tua yang uzur tanpa sedikit pun rasa mengeluh. Semoga ramai lagi anak-anak yang mencontohi cara wanita ini dalam membalas jasa kedua mak dan ayah.
Kurang muncul di kaca televisyen sebaliknya sibuk berniaga. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Faye Kusairi, pelakon wanita yang berasal dari Miri, Sarawak ini. Malah sejak mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Alif Azmi, kehidupan wanita berusia 32 tahun ini mula berkisar mengenai anak kesayangannya itu.
Faye Kusairi atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Binti Awang Kusairi memulakan kerjaya lakonan beliau melalui filem Cinderella arahan Ahmad Idham. Namanya mula dikenali ramai apabila membintangi drama bersiri Istikharah Cinta.
MW : Bagaimana dengan bidang seni, tidakkah Faye rindu untuk aktif semula dalam bidang seni?
FAYE: Rindu. Mestilah rindu. Saya ada sahaja melakukan penggambaran. Tetapi sikit-sikit sahaja berlakon. Tetapi pada bulan Disember 2019 ini saya akan mula melakukan penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2. Drama ini bakal ditayangkan pada bulan Ramadan 2020. Saya kembali dengan watak Syakila. Ini watak antagonis. Saya gembira walaupun diberi peluang melakonkan watak antagonis. Untuk membawakan watak antagonis sebegini tidak mudah. Saya perlu berdisiplin, fokus dan doa banyak-banyak agar watak yang dibawakan itu berkesan.
MW: Setelah memiliki seorang cahayamata, bagaimana kehidupan sebagai seorang ibu dan juga isteri. Apa cabaran yang dihadapi?
FAYE: Alhamdulillah. Walaupun agak mencabar dengan keadaan saya juga memulakan bisnes baru ini. Tetapi anak saya bukan cerewet malah sangat-sangat mudah untuk diuruskan. Lagipun suami saya turut memberi kerjasama yang tinggi untuk membantu menjaga anak kami bila saya outstation.
Cabaran yang saya hadapi apabila saya mula berlakon, berniaga, berlumba dan pada masa yang sama suami turut bekerja. Saya terpaksa membuat keputusan berulang-alik ke Miri untuk menghantar anak dan menjenguk anak. Saya minta tolong mama yang tinggal di Miri untuk menjaga anak saya.
Sejak kehadiran anak ini saya seronok jadi ibu sebab ada sahaja karenah dia yang perlu saya layan. Banyak yang saya belajar daripada anak saya ini. Banyak juga yang perlu saya ajar dia. Pendek kata hidup bertambah dengan aktiviti menarik dengan anak saya ini.
Faye Kusairi
MW: Apa yang Faye buat untuk mencari ketenangan. Apa aktiviti yang sering Faye lakukan dan kenapa pilih aktiviti tersebut?
FAYE: Macam selalu tenang sahaja saya rasa. Tetapi saya tidak nafikan yang saya memang banyak melakukan aktiviti. Saya sentiasa aktif dengan aktiviti sukan badminton dan permotoran.
MW: Kelihatannya Faye sibuk dengan bisnes menjual produk jamu. Mengapa pilih produk jamu?
FAYE: Memang saya sibuk dengan produk yang diusahakan bersama rakan kongsi. Produk kami diberi nama Aura Kasih Jamu Warisan. Rakan-rakan kongsi saya semuanya selebriti yang terdiri daripada Wan Sharmila, Nina Iskandar, dan Ezlyn Ariffin.
Kenapa pilih jamu? Secara tradisional dulu jamu adalah seperti supplement dan ia merupakan satu keperluan untuk setiap wanita. Tetapi memandangkan kami semua generasi baru, maka kami mengeluarkan produk jamu moden bukan sebab untuk wanita sahaja. Lelaki pun boleh mengamalkan pengambilan jamu ini.
Kami kategorikan produk ini sebagai jamu bukannya supplement sebab di dalamnya tidak ada bahan kimia atau ubat dalam ramuan bahan-bahan yang terdapat dalam produk kami ini.
Saya bersyukur sambutan yang diberikan kepada produk ini semenjak kami lancarkan pada bulan April 2019 hingga kini amat memberangsangkan, lagi-lagi di negara jiran.
Alhamdulillah kini produk ini baru hendak berkembang di negara kita.
MW: Apa amalan kecantikan dan kesihatan yang diamalkan oleh Faye?
FAYE: Tidak ada rahsia. Saya hanya melakukan rawatan wajah di Salun Abadi Indah dan Aura Kasih sahaja. Demi Allah.
MW: Faye pernah melalui kontroversi. Bagaimana Faye menghadapinya?
FAYE: Cliché. Tetapi saya laluinya dengan kepercayaan penuh kepada Allah SWT. Saya percaya Allah menduga saya dengan fitnah yang telah dilemparkan untuk saya ‘naik taraf’iman saya. And to make sure I grow maturely and wisely.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pelakon jelita yang berasal dari Singapura, Hannah Delisha, telah memuat naik gambar dirinya berhijab dengan kapsyen bertulis Bismillah dan mendapat pujian ramai, malah lebih 200,000 tanda suka oleh pengikutnya di laman sosial.
Mengakui telah berhijrah sejak empat hari lalu. Hannah menyatakan sudah berniat sekian lama dan akhirnya menjadi kenyataan.
Heroin pujaan ramai ini akui sudah berniat mahu memakai hijab sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan komitmen drama Cinta Sekali Lagi, niat berhijrah terpaksa ditangguhkan dahulu.
Bertambah seri selepas memakai hijab.
Jiwa Lebih Tenang
Penghijrahan itu membuatkan jiwanya kini lebih tenang.
“Saya hanya menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri. Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Insya-Allah.
“Saya juga bersyukur kerana keputusan dibuat pada saat tiada hutang penggambaran yang memerlukannya tidak bertudung,” katanya seperti mana yang dipetik Berita Harian Online.
Bukan Sebab Kahwin
Hannah juga menerangkan keputusan dibuat selepas terdengar gosip mendakwa bakal mendirikan rumah tangga, Hannah menafikannya.
“Tidak… Saya bertudung bukan sebab mahu kahwin,” katanya.
Hannah juga turut menerima ucapan dari rakan artis dan peminat:
Sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan
Sumber Foto:Instagram hannahdelisha
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cas air suam RM2, rezeki peniaga viral berakhir. Lesen perniagaan tak diperbaharui MPPD. Ramai mempertikaikan tindakan peniaga di Port Dickson yang mengenakan bayaran air suam RM2 kepada pelanggan semalam.
Ternyata itu bukan kali pertama kerana sebenarnya sudah banyak aduan dibuat mengenai restoran ini. Dan selepas viral semalam, Majlis Perbandaran Port Dickson mengambil pendirian tegas kerana ia telah menjejaskan pantai peranginan ini yang menjual makanan mahal di mata masyarakat.
Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, tindakan itu diambil susulan aduan diterima sekali gus bagi mengelakkan perselisihan faham dengan peniaga lain yang mendakwa turut terkesan disebabkan tindakan caj makanan mahal dikenakan.
“Kita bagi tempoh sehingga Mac ini kepada peniaga tersebut untuk mengosongkan kedai dan kita terpaksa ambil tindakan ini kerana kedai itu sudah banyak kali tular.
“Ia menganggu perniagaan peniaga lain dan memberi imej negatif terhadap kawasan medan selera itu. Mungkin dia boleh berniaga di tempat lain selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Lesen Perniagaan Tak Diperbaharui MPPD
Ujarnya, beliau tidak menafikan dengan kos sara hidup dan harga barang mentah yang meningkat menjadi salah satu faktor peniaga mengenakan caj mahal.
Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dijadikan alasan semata-mata sehingga mengenakan harga yang tidak munasabah.
“Bila timbul cerita macam ini sedikit sebanyak timbul persepsi negatif kepada peniaga makanan lain di Port Dickson yang dicop mahal.
“Tapi ia mungkin berlaku kepada sebilangan kecil peniaga saja dan setakat pemerhatian saya harga makanan di Port Dickson masih berpatutan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah kedai makan mengenakan caj RM2 untuk air suam dan RM1 untuk air kosong.
Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan pada hantaran Facebooknya pada Selasa sehingga menjadi tular.
Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM102.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.
Kisah inspirasi tentang Shamsuri dan isterinya yang menerima cahaya mata ke-13, membuktikan bahawa rezeki anak ramai adalah anugerah penuh keberkatan. Ketabahan dan kasih sayang pasangan ini menjadikan keluarga besar mereka sumber kekuatan.