
Selepas 11 tahun menyandang status ibu tunggal, primadona Erra Fazira akhirnya memilih untuk kembali melangkah ke alam perkahwinan. Namun keputusan itu, menurut Erra, bukan dibuat kerana kesunyian atau keperluan untuk bergantung pada sesiapa, sebaliknya kerana Allah.

“Saya berkahwin kerana Allah. Bukan sebab nak ada orang jaga,” ujar Erra Fazira ketika ditanya mengenai keputusannya menamatkan zaman janda dan membina rumah tangga buat kali ketiga.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, sebagai seorang ibu tunggal, persoalan tentang kesediaan diri dan ketepatan keputusan itu sering menghantui fikirannya. Malah, dia mengakui memahami sepenuhnya perasaan takut dan serik yang dialami ramai wanita senasib dengannya.
“Saya faham kenapa ibu-ibu tunggal di luar sana rasa takut untuk berkahwin lagi. Sejujurnya saya sendiri banyak kali bertanya kepada diri sama ada saya sudah bersedia,”ujarnya jujur.
View this post on Instagram
Tidak menafikan wujud sisa trauma daripada pengalaman lalu, Erra mengakui perasaannya bercampur-baur.
“Nak mengaku saya ada trauma atau fobia, mungkin 40 peratus saya mengaku. Sebab sebelum menerima lamaran ini, saya fikir banyak kali. Sehingga ke saat akhir pun saya masih bertanya kepada orang sekeliling, betul ke aku nak kahwin ni. Beberapa minit sebelum akad pun saya masih bertanya,” luahnya.

Namun akhirnya, Erra memilih untuk berserah dan meluruskan niat.
“Ini semua aturan Allah. Saya pasang niat yang baik—Ya Allah, aku nak berkahwin kerana-Mu. Saya rasa kalau kita jaga niat, Insya-Allah. Bukan niat berkahwin sebab nak ada orang jaga. Itu semua belum tentu,” katanya penuh makna.
Apabila ditanya tentang perasaannya menerima doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk rakan selebriti, Erra tidak dapat menahan sebak. Baginya, kasih sayang yang diterima itu sangat besar ertinya.

“Bila bercakap tentang perkara ini saja saya rasa sedih. Saya bersyukur sebab saya menerima begitu banyak kasih sayang dan doa. Walaupun saya datang daripada keluarga yang kecil, saya rasa hidup saya besar dengan kasih sayang semua orang. Saya bukan manusia yang sempurna,” ujarnya dengan suara bergetar.

Terdahulu, Erra Fazira sah bergelar isteri kepada usahawan, Ezwan Zain, 44, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang pada pukul 9.19 pagi tadi.
Lebih istimewa, Erra menerima kejutan mas kahwin berupa 24 keping dinar emas yang disusun indah dalam bentuk bunga emas, simbol cinta, penghargaan dan permulaan baharu yang penuh harapan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




