Berita yang dinanti orang ramai, akhirnya pendaki wanita,
Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Ipoh, Perak sejak 15 hari lalu ditemui selamat petang ini.
Sedang Menikmati Mi Segera
Penyelaras sukarelawan Orang Asli, Chew Ho Beng memberitahu mangsa ditemui penduduk kampung di kawasan perkampungan Orang Asli Lubuk Baharu.
Bagaimanapun butiran lanjut belum diperoleh. Namun berdasarkan foto dikongsi, Jaslinda kelihatan sihat sambil menikmati mi segera di sebuah pondok milik penduduk Orang Asli.
Jaslinda Saludin Ditemui Selamat!


Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu, namun tidak mengulas lanjut.
Untuk info, Jaslinda dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.