Sedar atau tidak ada waktunya kita menjadi terlalu cerewet dalam sesetengah perkara. Kalau cerewet itu membawa impak yang positif, mungkin ada baiknya ia perlu dikekalkan. Seandainya cerewet itu memberi kesan negatif, bukan saja pada diri anda sebaliknya merebak bak wabak kepada orang lain. Anda seharusnya lekas, meninggalkan habit itu.

IKLAN

Bersangka buruk, merasakan diri sentiasa benar dan segala yang negatif ada pada orang lain adalah tindakan tidak baik sama sekali. Kesempurnaan adalah perkara yang mustahil untuk kita dapat. Dalam situasi tertentu, mungkin sifat bertoleransi perlu ada di dalam diri dalam memastikan tidak ada percambahan aura negatif terbungkam di dalam hati. Berikut adalah 7 perkongsian mungkin boleh dijadikan panduan dalam menyingkirkan parasit dalam hati.

IKLAN
IKLAN
1. Tulis + catat : analisa
Mungkin anda boleh menyenaraikan perkara-perkara yang mengundang perasaan negatif di dalam diri anda. Misalnya anda rimas dengan kucing jiran sebelah yang sering meninggalkan sisa najisnya di hadapan pintu rumah anda. Tertekan dengan tugasan yang berterusan dari ketua jabatan anda, tanpa ada ruang untuk berehat ketika di rumah. Ataupun ada rakan kolej anda yang asyik mengulas mengenai pertambahan berat badan anda kini, dibandingkan dengan zaman belajar satu masa dahulu.
2. Cari jalan atasi rasa gundah, marah dan cerewet : bersangka baik
Perkara paling penting, adalah mustahil untuk kita menutup mulut manusia. Tidak seperti mulut tempayan yang dijual lengkap bersama penutup. Hipotesis ini sekadar perumpamaan menyemarakkan api positif di dalam hati. Siapa kita untuk menjaga dan memenangi hati semua orang. Jangan kusut memikirkan apa katanya orang. Berlapang dada dan bersangka baik adalah jalan terbaik.
3. Positif…positif
Sebaik kaki anda melangkah keluar dari pintu rumah, doakan tiap langkah anda itu membawa perkara dan aura positif bersama. Doakan rezeki mengalir sederasnya dan semua urusan anda dipermudahkan. Murahkan senyuman dan mulakan hari dengan semangat yang baru.
4. Baik-baik selalu
Kalau kita mahukan orang berbuat baik dengan kita, makanya kita perlu melemparkan ‘buah baik’ sentiasa. Kenangkan yang baik-baik, moga yang datang nanti pun baik-baik belaka. Mungkin ada masanya kita dah buat sebaik mungkin, tapi tetap juga yang buruk diulang cerita…sabarlah. Ada waktunya tanpa kita sedar, Allah kirimkan perkara yang baik-baik itu dari sudut yang tidak dijangka.
5. Kurangkan rungutan lebihkan kesyukuran
Ada kalanya perkara yang kecil berlaku, boleh menjejaskan emosi kita seharian. Perlukah kita larut dalam emosi amarah dan mulut asyik merungut menyebabkan muka penuh kerut. Tarik nafas, lepas dan cari perkara yang boleh menghiburkan hati yang rawan. Kadang kita rasakan masalah yang kita hadapi itu segala mega impaknya. Tetapi tahukah kita, dalam kita tak sedar ada insan lain yang terbeban dengan masalah yang lebih rumit dari kita. Konklusinya, hentikan rungutan lebihkan kesyukuran.
6. Jika perlu suarakan secara berhemah
Kejujuran itu penting. Mungkin terlalu memendam, ada waktunya ia boleh membuatkan hati bertambah parah. Jika ada perkara yang ingin dibincangkan, suarakan secara berhemah. Elakkan beremosi dan semoga dengan keberanian menyatakan pendapat anda, meredakan rasa panas di hati.
7. Berjanji dengan diri
Mahukan hati yang bersih dan aura positif, segalanya perlu dipupuk dari dalam. Berjanjilah dengan diri anda, untuk mengurangkan rungutan, bersangka buruk dan bertoleransi dengan perkara yang remeh. Jangan terlalu serius memikirkan perkara yang kecil, sedangkan banyak lagi isu lain yang memerlukan perhatian kita. Anda berhak hidup bahagia. Untuk merangkul bahagia… tanamkan benih positif, bajainya dengan rasa hormat dan semoga ia tumbuh dengan rimbunan aura bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI