Sayu kisah gadis terlantar koma di wad hospital ini. Selepas alami kemalangan, langsung dia tak sedarkan diri malah kecederaannya membuatkan tempurung kepala Siti Hanisa Binti Busu ini terpaksa dibuang.
Kata teman yang berkongsi cerita, Nurul Shifa, ini kisah kawannya. “Harap dapat tolong viralkan. Saya kasihan dengannya. Dia nak sambung belajar.”
Dan anak kepada seorang ibu tunggal, adik kepada seorang abang OKU ini masih lagi terlantar di atas katil dengan alat bantuan pernafasan.
Kemalangan Di Tengah Malam, Ini Yang Gadis Koma Terpaksa Lalui
Siti Hanisa, anak bongsu kepada seorang ibu tunggal yang tidak mampu bekerja. Faktor usia ibu menghalangnya untuk cergas bekerja.
Dia juga mempunyai seorang abang OKU. Walau usia masih muda, gadis ini mengambil alih tugasan mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan harian dan yuran pelajaran.
Besar impiannya mahu berjaya dalam bidang pelajaran. Dan semangat itu tak pernah luntur dalam dirinya.
Ads
Tanggal 19 Ogos 2018, jam 12.30 malam, Hanisa mengalami kemalangan di tempat kerjanya di Kuala Perlis.
Tempurung Kepala Terpaksa Dibuang
Rentetan daripada kemalangan itu, Hanisa alami kecederaan di bahagian kepala sehingga menyebabkan pendarahan yang serius.
Sebelah tempurung kepalanya juga terpaksa dibuang akibat keretakan serta patah tulang selangka di bahagian kiri.
Ads
Dikhabarlah sudah lebih 92 hari, Hanisa tak sedarkan diri. Hanya bergantung pada mesin bantuan pernafasan di Hospital Tengku Fauziah, Kangar, perlis.
Kecederaan dan koma itu membuatkan gadis ini memerlukan barang keperluan ini untuk keluarga menyempurnakan urusan hariannya.
Hanisa perlukan :
Bekalan susu (1 tin untuk sehari)
Lampin pakai buang
Alatan menyedut kahak
Tiub saluran susu
Dan lain-lain keperluan asas
Ibunya Tidak Mampu Dari Segi Wang Ringgit
Setiap bulan ibu cuma bergantung dengan pendapatan bulanan bersih yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM450. Untuk keperluan ibu tunggal ini dan bagi abang yang kurang upaya (OKU).
Ads
Jumlah itu, menjadi semakin teramat kecil selepas anak gadis ini terlantar sepenuhnya di atas katil hospital.
Sungguh, Hanisa tidak pernah minta untuk menjadi seperti ini.
Anda yang sudi menghulurkan bantuan dan sumbangan ikhlas, baik dalam bentuk kewangan ataupun keperluan asas boleh berbuat demikian dengan memberikan bantuan pada ibu atau boleh menghubungi kakak kandung beliau:
Pesanan buat para wanita, jangan mudah terpedaya dengan ayat-ayat cinta dan janji manis apatah lagi jika menjalin hubungan di alam maya. Ini kerana banyak kes yang berlaku wanita terjerat dengan cinta palsu, menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga mengakibatkan kerugian berpuluh malah beratus ribu ringgit.
Wanita kesunyian, berdepan masalah keluarga atau kematian suami yang meninggalkan harta menjadi sasaran mudah sindiket untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan identiti palsu.
Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk S Sasikala Devi, berkata pihak berkuasa menerima sekurang-kurangnya dua kes setiap hari membabitkan wanita berusia 30-an ke atas menjadi mangsa penipuan itu.
Katanya, ramai wanita yang sudah bersuami juga mudah terpikat dengan pujukan romantik mereka sehingga sanggup melakukan apa saja diarahkan termasuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan sindiket selepas terperangkap terbabit.
Malah, ada juga wanita dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ kepada sindiket terbabit yang sebilangannya dikenali melalui media sosial terperangkap dengan ‘ayat cinta’ bagi mengumpan mangsa sehingga akhirnya terpaksa kerugian beratus ribu ringgit.
“Akaun berkenaan pula dipercayai milik keldai akaun terdiri daripada individu tempatan yang dijual atau disewa kepada sindiket serendah RM200 sebulan disebabkan kesempitan hidup.
Kes terbaru membabitkan seorang wanita dari Hong Kong, berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95 juta selepas memasukkan wang ke dalam satu akaun milik orang tempatan di negara ini yang dipercayai akaun keldai.
“Dalang sebenar tidak akan menggunakan akaun mereka sendiri untuk mengelak ditangkap, manakala keldai akaun pula tidak memegang kad bank berkenaan kerana sudah diberikan kepada sindiket.
“Apabila dalang ditahan, mangsa gagal mengenal pasti penjenayah semasa sesi pengecaman kerana gambar yang dilihat dalam internet sebelum ini berbeza daripada yang ada di depan mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bertajuk ‘Krisis Digital Bagi Generasi Baharu, Menumpukan Wanita Sebagai Ibu’ sempena Forum Keseimbangan Kehidupan Kerja 2018 Antarabangsa (IWLBF 2018), di sini, baru-baru ini.
Dua ahli panel lain turut membincangkan tajuk berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi Talent Department, Prasana Sailanathan dan Pejuang Hak Asasi Kanak-Kanak, Nurul Eeman Mansor.Yang turut hadir, Pengasas ADLA Group, Datuk Hasnorliza Hassan.
Sasikala Devi percaya tumpuan sindiket adalah dalam kalangan wanita pelbagai lapisan usia yang menjadikan alam maya sebagai perangkap ‘cinta’.
“Penjenayah siber lazimnya akan menyamar menggunakan gambar berwajah ‘Mat Salleh’ yang kacak, tetapi sebenarnya ‘Pak Hitam’ yang menggunakan kata-kata romantik untuk memerangkap wanita sebagai sasaran,” katanya.
Justeru, bagi mengekang isu ini, anak juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat apa yang dilakukan ibu mereka sekiranya sering dilihat banyak menghabiskan masa melayari internet.
“Kalau ibu anda selalu bersendirian di dalam bilik dengan telefon atau komputer, pastikan dengan siapa dia bersosial kerana kita bimbang mereka mudah terpedaya dengan sindiket penipuan di dalam internet,” katanya.
Selalunya, ibu atau bapa yang kerap memantau anak kerana risau apabila anak obses melayari internet, sebaliknya peranan sama perlu dimainkan mereka untuk kebaikan bersama.
“Bukan saja ibu bapa yang perlu risau dengan jenayah siber membabitkan anak, tetapi anak juga perlu mengambil tahu aktiviti dilakukan orang tua mereka di internet,” katanya.
Beliau menasihatkan wanita supaya tidak mudah terperangkap dengan janji manis atau terpedaya dengan helah sindiket yang memang licik menggunakan pelbagai kelemahan individu.Wanita juga seharusnya menyiasat latar belakang lelaki bagi mengelak sebarang penipuan sehingga merugikan diri sendiri dan wang ringgit.
Sementara itu, Nurul Eeman Mansor, berkata krisis digital lebih cenderung membabitkan remaja di bandar berbanding di luar bandar.
“Teknologi digital tidak dinafikan banyak membantu memudahkan kehidupan seharian, tetapi masyarakat tidak boleh membiarkan robot mengambil alih peranan manusia.
“Kanak-kanak dan remaja mudah dijadikan mangsa buli siber sehingga mengakibatkan mereka murung, tetapi masalah berterusan kerana tiada tindakan tegas daripada ibu bapa untuk mengawal penggunaan teknologi ini,” katanya.
• Januari hingga Ogos 2018 – 1,301 kes
* Kerugian RM83.6 juta di seluruh negara .
• Sepanjang 2017 – 1,652 kes
* Kerugian RM61.9 juta di seluruh negara.
MW: Semoga para wanita mengambil pengajaran dan iktibar daripada perkongsian ini. Jangan mudah terjebak ‘cinta’ di alam maya. Siasat dulu latar belakang serta tidak mudah percaya dengan kata-kata manis, apatah lagi apabila melibatkan wang ringgit!
Alhamdulillah, pelakon dan pengacara wanita, Nurdiyana Amir Hashim atau lebih dikenali sebagai Diana Amir,32 telah selamat melahirkan cahayamata yang ketiga baru-baru ini.Diana telah melahirkan bayi lelaki seberat 3.12 kilogram pada jam 2.16 pagi pada 10 November 2018 lalu.
Ia merupakan anak lelaki pertama setelah dikurniakan dua orang puteri Khawlah Al Azwar, 3 dan Khadijah Azzehra, 1 tahun 4 bulan, sebelum ini.
SubhanAllah alhamdulillah, diana terharu dengan doa-doa daripada semua, daripa awal pregnancy sampailah selamat melahirkan pagi tadi (10 November)..Terima kasih banyak-banyak, semoga Allah pulangkan kebaikan kepada awak-awak semua.
Ikutkan due date ari isnin tapi Allah nak bagi anugerah awal and actually, memang diana doa untuk sakit contraction yang amat sangat, then akan cepat je dapat lahirkan baby.. After 5 mins masuk labour room baby dah keluar ❤. Thanks sayang bekerjasama dengan mummy tadi.
Thanks juga dekat doktor-doktor and nurses yang comel-comel and baik-baik dekat @hospitalumra. My 3rd baby dekat hosp umra dan sentiasa boleh bergantung pada professionalism and friendliness mereka ❤️❤️
Diana doakan yang belum dikurniakan zuriat , akan memperoleh rezeki yang terbaik dariNya, pengikat kasih sayang suami isteri dan mampu menjadi saham di akhirat kelak, Amin!
Kepada yang bakal melahirkan, u can do it!!!!! Pasti Allah tidak sia-siakan kesabaran menanggung kesakitan. Syukur diberi peluang untuk menghapus dosa-dosa dengan cara yang indah.
Doakan baby boy Diana sihat, soleh, handsome, disayangi @khawlah_khadija ? diorang belum jumpa lagi adik dioramg ni hahahaaa! #mummynervous .
Yayy!! Alhamdulillah part paling scary (bersalin) dah settle, now panda eye and pantang mode on!
MW: Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan ini. Semoga bayi membesar dengan sihat dan sempurna, dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah dalam keluarga. Selamat Berpantang!
Pada bulan April 2018 lalu masyarakat telah dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa penceramah agama ustaz Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman bersama isterinya ustazah Shadiya Abbas dan dua orang anak mereka, Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya.
Mengimbas kembali kemalangan tersebut, ustaz MK Azman berkata musibah itu berlaku pada pagi Rabu, 11 April 2018.
“ Malam sebelumnya selepas kuliah di Gombak, saya mengambil kereta di bengkel yang terletak di Rawang. Lebih kurang pukul 2.00 pagi kami bergerak balik ke Kedah. Keadaan dari segi fizikal masa itu saya memang tidak cukup rehat. Tetapi kami mengejar masa untuk balik ke kampung mengambil emak yang mahu mengerjakan umrah.
“Kami singgah sebentar di Tg Malim untuk berhenti minum dan makan. Isteri mencadangkan agar saya tidur terlebih dahulu jika tidak larat. Tetapi saya tidak mahu. Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di Hentian Rawat dan Rehat Tapah, kami berhenti minum. Saya tidur seketika dan bangun semula untuk solat subuh.
“ Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan lori-lori. Dua kali terserempak dengan lori dan hampir-hampir jugalah kemalangan. Entah bagaimana pada kali ketiga, ketika saya hendak memotong sebuah lori itu, lori itu masuk ke arah kanan. Tidak sempat saya hendak brek, terus terlanggar belakang lori. Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi,” ujar ustaz MK Azman.
Hentaman itu menyebabkan Ustaz MK Azman dan keluarga yang terdiri daripada Ustazah Shadiya Abbas dan kedua anak mereka iaitu Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya tidak sedarkan diri.
“ Selepas perlanggaran saya tidak sedar tetapi saya mendengar panggilan daripada anggota Bomba yang datang menolong. Masa itu keadaan saya itu pejam mata tetapi mampu mendengar suara-suara di sekeliling. Ada yang beri salam dan suruh kami bersabar.
“ Saya jawab salam. Anggota Bomba itu tanya hendak telefon siapa ini. Saya minta dia telefon mak mentua saya kerana telefon isteri saya tidak dikunci. Anak saya yang berumur 7 tahun berada di bahagian belakang kereta manakala anak yang berumur setahun lebih berada di pangkuan isteri. Anak sedang menyusu ketika kemalangan berlaku.
Alhamdulillah setakat ini anak-anak kami itu tidak mengalami sebarang kesan daripada kemalangan yang telah berlaku. Anak saya sedar selepas kemalangan dan beritahu saya pemandu lori yang menolong dia keluar daripada kereta,” sambungnya lagi.
Akibat kemalangan itu juga telah menyebabkan ustaz MK Azman patah Sembilan tulang rusuknya. Dia juga mengalami pendarahan di kepala. Nasib baik tidak serius pendarahan tersebut. Manakala isterinya ustazah Shadiya cedera teruk di wajah dan lengan tangan kanannya patah. Keluarga mereka ini telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Bainon, Ipoh, Perak.
“ Saya masuk hospital pukul 3.00 pagi dan kemudian ditidurkan di ICU. Isteri juga di ICU. Kami berada dalam keadaan separa kritikal. Anak-anak pula selepas kemalangan itu telah dimandikan oleh jururawat. Mereka berdua kemudian telah ditidurkan,” tambah Ustaz MK Azman lagi.
Daripada penceritaan anggota Bomba, ustazah Shadiya dan anak yang dipangku berada dalam kedudukan terperosok di bawah ketika mahu menyelamatkan mereka. Anggota Bomba terpaksa memotong kereta untuk mengeluarkan mereka. ustazah Shadiya tersepit manakala anaknya tidak.
Menurut ustazah Shadiya keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana ketika kemalangan itu dia sedang menyusukan anaknya. Dia bersyukur dengan keadaan tersebut.
“ Saya bersyukur kerana ketika kemalangan itu saya memakai tali pinggang keledar. Akibat hentakan saya menggelongsor ke bawah. Anak saya ikut sekali menggelongsor. Dalam keadaan tersebut saya tidak dengar bunyi tangisan bayi. Saya Cuma dengar orang bagi salam. Selepas itu dia suruh sabar. Masa itu saya hanya mampu panggil suami. Saya dengar respons dia. Dia hanya mampu jawab ‘huuh’. Dua kali saya tanya dua kali dia jawab begitu.
“ Semasa kemalangan itu saya tidak begitu yakin yang kami sedang telah mengalami kemalangan. Tidak rasa sakit Cuma rasa tangan tidak boleh bergerak. Ketika itu saya dalam keadaan tertanya-tanya apa yang berlaku. Masa minda dalam keadaan bercelaru itu terlintas satu doa dalam fikiran. Saya hanya ingat doa Asmaul Husna.
“ Saya teringat kalau sesiapa baca doa ini Allah akan makbulkan doa mereka walaupun hanya terlintas dalam hati. Saya baca doa dan minta pada Allah agar semua dalam kereta ini hidup selamat. Selesai baca doa, terus pandangan saya gelap. Saya tidak sedar apa-apa,” imbaunya lagi.
Akibat kemalangan lengan kanannya patah. Mukanya koyak. Hidungnya terbelah. Urat darah hidung putus. Daging bibir sudah tanggal. Doktor telah melakukan pembedahan plastik memperbaiki wajahnya. Kini sesiapa sahaja yang bertemu dengan dirinya sudah pasti akan dapat melihat parut pada wajahnya.
Cerita ustazah Shadiya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia dan suaminya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Anggota polis berkata sewaktu mereka menerima panggilan pertolongan ketika kemalangan itu ingat keluarga ini telah meninggal dunia.
“ Polis berkata lokasi kejadian kemalangan itu adalah lokasi kejadian berdarah. Di situ jugalah di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia. Jadi bila mengetahui kami hidup mereka terkejut sebab dua hari sebelum kejadian kemalangan kami itu, telah ada kemalangan lain yang melibatkan kematian.
“ Saya masih ingat lagi sebaik sedar daripada kemalangan saya perasaan tubuh kami telah diselaputi kaca. Persamaan kami ketika itu adalah kami terpaksa menelan serbuk kaca. Sewaktu di hospital apabila jururawat tanya bagaimana keadaan, saya tidak boleh kata apa-apa. Cuma pada masa itu saya rasa fikiran ini agak lapang sahaja. Saya sudah reda.
“ Masa itu saya sudah sedar yang saya telah mengalami kemalangan. Saya bertanya pada doktor adakah suami dan anak-anak selamat. Anak-anak saya hidup tak? Doktor risau kerana saya asyik bertanya soalan-soalan sama. Selepas itu jururawat memberitahu bahawa suami saya sedang dirawat di bilik sebelah. Manakala anak-anak telah dimandikan dan sedang tidur.
“ Terus saya senyap mendengar penjelasan jururawat. Doktor pula asyik bertanya nama saya siapa dan sebagainya. Dia bertanya begitu untuk melihat sama ada saya berada dalam keadaan waras. Daripada situasi itu saya banyak dapat pengajaran.
“ Semasa dibawa masuk ke hospital saya berada dalam keadaan Nampak dan tak Nampak sahaja. Semasa berada di ICU saya Nampak cahaya putih sahaja. Saya Nampak orang dalam bentuk bayang-bayang. Mujurlah walaupun kaca penuh di muka, kaca itu tidak masuk ke mata. Itu yang membuatkan doktor hairan,” jelasnya.
Sehingga sekarang, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya masih menjalani proses penyembuhan. Pembedahan plastik memperbaiki wajah membuatkan ustazah Shadiya menerima 100 jahitan pada muka.
Parut di mukanya jelas kelihatan dan mengambil masa untuk sembuh. ustazah Shadiya berharap bengkak pada mukanya akan surut dan kembali seperti biasa.
“ Kami berdua kena reda sepanjang tempoh penyembuhan. Sekarang ini saya perlu melakukan rawatan fisio untuk tangan kanan yang patah. Saya yakin semua yang berlaku ini ada kebaikannya. Ujian ini datang daripada Allah.
“ Saya tidak rasa dukacita atau murung. Kita yakin benda itu berlaku sebab Allah hendak beri satu benda yang lebih baik. Saya yakin selain daripada itu faktor doa daripada orang lain sangat penting. Doa mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan doa orang yang mendapat manfaat daripada kita.
“ Doa orang yang mengenali kita tetapi kita tidak mengenali mereka. Doa sebab mereka berasa kasihan pada kita. Doa-doa ini sangat penting dalam hidup kita. Nasihat saya pada semua buatlah baik pada semua orang sebab kita tidak akan tahu siapa yang akan menyantuni kita,” pesannya.
Akhir kata, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya menasihatkan semua umat Islam agar mengamalkan doa membaca naik kenderaan setiap kali keluar rumah.
“ Kalau kelalaian itu daripada kita atau daripada faktor ketiga yang tidak disangka, doa itu penting. Sebagai orang Islam doa itu senjata kita kerana ia mampu menghalang benda yang kita tidak boleh kawal,” akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Ustazah Shadiya Abbas
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dr Sheikh Muszaphar homesick anak jadi perhatian apabila beliau berkongsi cara menenangkan anak di asrama ketika Ramadan. Kisah ini menyentuh hati ramai ibu bapa.