Di sebalik status sebagai isteri dan wanita matang, tidak semua mampu mengawal emosi bila dikhianati atau dilukai. Namun, ada batasnya bila kemarahan diterjemah dalam bentuk tindakan jenayah lebih-lebih lagi sesama wanita yang berkongsi suami.
Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/tak-puas-hati-video-seks-tersebar-cikgu-fadilah-buat-laporan-polis/
Seorang wanita berusia 53 tahun, yang juga merupakan ejen pelaburan, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka atas tiga pertuduhan melibatkan penyebaran, ugutan dan pemilikan gambar lucah madunya isteri kedua kepada suaminya.
Tertuduh, Herni Sofini Omar, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Cemburu Jadi Dendam?
Berdasarkan fakta kes, kejadian dipercayai berlaku antara bulan Mac dan Jun lalu. Dalam pertuduhan pertama, Herni didakwa mengaibkan kehormatan madunya, seorang guru berusia 45 tahun, dengan menghantar gambar-gambar lucah wanita itu melalui kiriman surat.
Bukan itu sahaja, bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengugut secara bertulis mangsa dengan niat menakutkan dan menyembunyikan identiti diri dalam surat berkenaan.
Lokasi kejadian dikatakan berlaku di sebuah kediaman di Taman Sayang Selasih, Melaka Tengah, sekitar jam 2 petang pada 27 Mac 2025.
Simpan Gambar Lucah Madu
Dalam pertuduhan ketiga, Herni didakwa menyimpan gambar-gambar lucah madunya dalam telefon bimbitnya yang ditemui ketika siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sekitar jam 3 pagi pada 2 Jun 2025.
Peguam bela memohon jumlah jaminan rendah, memaklumkan bahawa tertuduh kini tidak mempunyai pendapatan tetap, baru menjalani pembedahan kanser, dan lebih menyedihkan ditinggalkan suaminya akibat kes ini.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Ogos 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/terpalit-skandal-seks-guru-wanita-dan-abang-wiring-didenda-rm5000/
Kisah Sedih di Sebalik Dosa
Kisah ini seharusnya membuka mata para wanita bahawa rasa cemburu dan kecewa, jika tidak dikawal dengan kewarasan, boleh menghancurkan maruah, masa depan dan hubungan sesama manusia.
Sebagai wanita dan isteri, kita berhak untuk merasa terluka. Namun, menyakiti sesama wanita bukanlah jalan penyelesaian. Apatah lagi melibatkan penyebaran aib, yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang kemurkaan Tuhan.
Dalam rumah tangga poligami, bukan mudah untuk mengurus emosi tetapi yang diuji bukan hanya isteri kedua, bahkan isteri pertama turut bergelut dengan perasaan. Semoga kisah ini menjadi peringatan, dan ruang untuk muhasabah bersama.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE