Berita

“Saya Sempat Naik Ke Tebing Tapi Anak Tenggelam…, Ibu Kongsi Detik Duka Anak Lemas Depan Mata Di Jeram Toi

Share

“Saya sempat naik ke tebing tapi anak tenggelam, ibu kongsi detik duka anak lemas depan mata di Jeram Toi. Hanya rasa ralat menguasai diri seorang ibu, Ana Salwa apabila gagal menyelamatkan anak kesayangannya, Umairah Shahurin, 10 tahun yang tergelincir ketika mandi manda di Taman Eko Rimba Jeram Toi di Jelebu, Negeri Sembilan.

Biar redha dengan takdir yang tertulis, namun pastinya naluri seorang ibu mahu melindungi anak sampai ke akhir hayat. Namun sekuat mana pun manusia itu merancang, Allah menentukan segalanya.

“Anak lemas tapi saya sempat naik ke tebing…

Berkongsi detik diuji anak lemas di depan mata dalam kejadian Sabtu petang di kawasan reakrasi air terjun itu, Ana Salwa berusia 54 tahun berkata, awalnya dia tergelincir dari tebing di tepi kolam buatan berkenaan diikuti arwah yang turut terjatuh sama.

Ibu kongsi detik duka anak lemas depan mata di Jeram Toi, Ana Salwa akui ralat tak dapat selamatkan anak selepas masing-masing tergelincir dari tebing kolam buatan ini.

“Sampai ke detik ini, saya berasa ralat disebabkan gagal menyelamatkan anak yang terjatuh ke dalam kolam akibat tergelincir namun pada masa sama reda dengan ketentuan Allah.

“Saya sendiri tidak menyangka anak turut tergelincir bersama saya.

“Saya sempat naik ke tebing manakala anak tenggelam ke dasar kolam,” kata Ana Salwa Rosdi, 54, ibu kepada Umairah Shahurin, 10.

Umairah gagal diselamatkan dan ditemui di bawah dasar kolam mandi buatan di pusat reakrasi berkenaan

Umairah anak bongsu daripada lima beradik disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu, di sini selepas lemas di kolam buatan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, petang semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Ana Salwa berkata, sebelum kejadian, dia dan bersama tiga anak datang ke Jeram Toi bagi melihat kawasan jeram menjadi lokasi program perkhemahan anak ketiganya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban.

Katanya, sebelum kejadian, Allahyarham menjadi pendiam, tidak seperti kebiasaan ‘riuh’ dan banyak bercakap.

“Saya perasan perubahan itu apabila dia bertanya kepada saya apa perancangan masa cuti sempena Hari Pekerja, apatah lagi saya cuti selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini.

“Bila saya tanya kenapa, dia terus senyap dan diam padahal sebelum itu banyak bercakap dan ‘riuh’.

“Tengah hari semalam ketika dalam perjalanan dari Port Dickson menuju ke Jeram Toi, sepanjang perjalanan dia senyap dan tidur,” katanya yang juga kakitangan swasta di Port Dickson.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka boleh tergelincir ketika melalui tebing berhampiran kolam namun langsung tidak menyedari Allahyarham turut sama jatuh.

Katanya, dalam keadaan panik, dia sempat ke tebing sebelum anak keempat datang membantu.

“Anak ketiga masuk ke dalam kolam bagi menyelamatkan adiknya bersama pengunjung lain yang menyedari kejadian sebelum si abang tersentuh jasad Allahyarham di dasar kolam. Allahyarham segera dibawa naik sebelum beberapa individu memberi pertolongan cemas termasuk bantuan CPR,” katanya.

Arwah dilihat lebih banyak mendiamkan diri dan tertidur ketika perjalanan ke hutan reakrasi ini sebelum ditemui lemas

Ana Salwa berkata, anaknya dibawa ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya, tragedi itu menyebabkan dia kehilangan anak yang menjadi penyeri keluarga.

“Dia seorang yang ‘riuh’, mesra dengan abang dan kakak. Sebagai anak bongsu, saya bersyukur kerana Allah memberi ‘pinjaman’ kepada saya bagi tempoh 10 tahun,” katanya.

Hanya tinggal kenangan, moga anak ini terus bermain-main di taman syurga

Sementara itu, abang Allahyarham, Imam Syafie, 16, berkata, dia segera terjun ke dalam kolam bersama sebatang kayu sebaik menyedari adiknya tergelincir.

“Kaki saya tersentuh jasad Umairah ketika berjalan dalam kolam sebelum saya meminta bantuan orang ramai membawa adik naik ke tebing,” katanya.

Kawasan perkelahan itu sebelum ini ditutup kepada orang ramai selepas banjir besar yang melanda Jelebu pada Disember 2021.

Ia dibuka semula kepada pengunjung pada 29 Ogos tahun lalu. Kolam buatan itu dipercayai mempunyai kedalaman sehingga 1.5 meter.

Published by
Almaswa Haji Che Ros