Air mata menitis lagi di Mahkamah Koroner hari ini apabila seorang saksi kanak-kanak tampil memberi keterangan tentang detik-detik akhir Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, sebelum remaja itu ditemui tidak bernyawa.
Menurut saksi yang merupakan pelajar sekolah sama, dia terlihat empat pelajar senior memasuki bilik Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu. Zara dikatakan tiba terlebih dahulu di bilik tersebut sekitar jam 10.20 malam.
Ads
Peguam Joan Goh memberitahu, saksi itu sempat melihat seorang pelajar senior berbual dengan Zara sebelum beberapa lagi pelajar masuk menyusul.
“Saksi memaklumkan, ada senior yang marah Zara sambil menengking kuat-kuat malah terlepas kata-kata kesat ‘sial’. Seorang lagi senior hanya menegur Zara,” katanya.
Lebih memilukan, saksi itu juga memberitahu rakan sebilik Zara ketika itu sempat membuka almari dan menemui sehelai bendera milik pelajar senior, dipercayai punca Zara dimarahi pada malam kejadian.
Ditanya mengenai perwatakan Zara, saksi menggambarkan arwah sebagai seorang gadis yang ceria dan disenangi, meskipun mereka tidak rapat kerana berlainan kelas. Namun dia tidak dapat mengesahkan sama ada Zara pernah menjadi mangsa buli atau dera di asrama.
Ads
Prosiding inkues ini diteruskan dengan keterangan saksi ke-16 yang juga kanak-kanak, menjadikan ia saksi kelapan daripada kalangan pelajar sendiri.
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan senyuman adalah kebahagiaan terbesar. Namun, bagaimana jika senyuman itu diganti dengan tangisan dalam diam, luka di hati, malah torehan di pergelangan tangan?
Itulah yang dilalui oleh Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, seorang suri rumah yang kini berperang dengan keresahan selepas anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan trauma akibat buli.
Anaknya berpindah ke sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor, pada Julai lalu dengan harapan baharu. Tetapi seawal hari kedua, dunia si gadis kecil ini sudah mula suram. Diejek, dipulaukan, dijadikan bahan ejekan berulang kali.
Aduan demi aduan dibuat kepada guru disiplin, namun kisah itu tidak pernah berhenti. kemuncaknya berlaku pada 12 September, apabila anaknya sekali lagi diejek hingga pulang ke rumah dengan jiwa yang semakin luka.
“Saya mula perasan keadaannya semakin teruk bila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” cerita ibunya dengan nada sebak.
Lukisan itu bukan sembarangan. Ada imej gelap, simbol tekanan, bahkan tulisan yang menggambarkan keinginan untuk menamatkan hidup: “Saya stress, penat dan serabut.” Lebih memilukan, si anak mengaku menoreh tangannya sendiri.
Dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), remaja itu kini menjalani rawatan pakar psikiatri. Pemeriksaan mendapati skor emosinya sangat tinggi, dengan simptom kemurungan yang membimbangkan, berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.
Menurut Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, mangsa jelas menjadi mangsa buli berterusan: ejekan verbal, fitnah dan pengasingan sosial. Semua itu menghakis keyakinan diri seorang remaja yang baru belajar memahami dunia.
Kisah tragis ini bukan satu-satunya. Seorang lagi murid Tingkatan Dua di Mantin, Negeri Sembilan turut menjadi mangsa buli sehingga trauma untuk ke sekolah.
Adiknya dituduh cuba “merampas” kawan dan teman lelaki pelajar lain, lalu dihukum dengan kejam. Ditendang, tudung ditarik sehingga menampakkan rambut dan leher, wajahnya dipukul dengan botol kaca.
Namun lebih mengejutkan, kes itu hanya “diselesaikan” di bilik kaunseling dengan permintaan maaf dari pembuli, tanpa pengetahuan ibu bapa mahupun pengetua.
Di Cheras, seorang bapa, Mohd Izham Zakri Mohd Desa, meluahkan kekecewaan yang tidak terungkap. Anak lelakinya, pelajar Tingkatan Tiga yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah hingga ke peringkat negeri, rupa-rupanya menjadi mangsa buli sejak tahun 2023.
Lebih memilukan, penderitaan itu disembunyikan, bukan hanya oleh pelajar lain, bahkan wujud dakwaan melibatkan guru yang menekan emosi si anak.
Sebagai seorang ayah, tiada yang lebih menyakitkan daripada mengetahui penderitaan anak disembunyikan.
“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya dengan nada kecewa.
Bagi Izham, perbuatan ini bagaikan menikam dari belakang. Bagaimana mungkin sebuah institusi yang sepatutnya melindungi, sanggup menutup mata dan menutup mulut anaknya sendiri?
Menurutnya lagi, anaknya bukan sahaja ditampar oleh rakan, malah menjadi mangsa buli siber yang didakwa turut melibatkan beberapa guru.
Lebih mengejutkan, ketika si ayah bersuara, ada pula guru yang membuat laporan polis terhadap dirinya seolah-olah keberanian seorang bapa membela anak dianggap ‘campur tangan hal sekolah’.
Aduan telah dibuat melalui laporan polis dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Apa yang diharapkan hanyalah keadilan untuk anak, dan tindakan tegas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kerana bagi seorang ayah, tiada luka yang lebih perit daripada melihat anaknya berjuang seorang diri dalam senyap, dikhianati oleh sistem yang sepatutnya menjaga.
Buli bukan sekadar masalah disiplin. Ia adalah luka jiwa yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Kisah dua remaja ini membuktikan betapa seriusnya isu yang sering dipandang ringan.
Setiap anak berhak berasa selamat di sekolah, bukannya dihantui rasa takut, dipulaukan atau dicederakan. Dan setiap ibu bapa berhak mengetahui apa yang benar-benar berlaku kepada anak mereka.
Kerana pada akhirnya, yang kita lindungi bukan sekadar fizikal mereka, tetapi hati, jiwa dan masa depan yang masih panjang terbentang.
Isu rumah tangga pelakon popular Fattah Amin kini dibawa ke muka pengadilan apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan sepasang suami isteri menurunkan semua hantaran di aplikasi Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.
Pasangan itu, Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan suaminya Mohd. Hafizzuddin Hamri, masing-masing berusia 29 tahun, dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan Fattah pada 26 Ogos lalu.
Hakim Datuk Anand Ponnudurai membenarkan permohonan injunksi ad-interim (sementara) yang dipohon Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36 tahun.
Menurut peguamnya, Mohd. Faiz Iskandar Hamzah, defendan bukan sahaja diarahkan memadam semua hantaran tersebut, malah turut dihalang daripada menerbitkan sebarang kenyataan baharu yang mengaitkan Fattah dengan dakwaan curang.
Prosiding pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 25 September ini.
Dalam pernyataan tuntutan, Fattah mendakwa kenyataan fitnah yang dibuat defendan di Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos lalu telah diterbitkan, ditonton serta dikongsi secara meluas, malah diangkat pula oleh beberapa portal hiburan.
“Defendan-defendan secara bersama menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya. Mereka berbuat demikian dengan tujuan utama untuk mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi, memalukan saya di mata masyarakat umum serta dalam bidang profesional saya.
Fattah menegaskan hantaran tersebut telah mengundang reaksi negatif, mencemar nama baik, serta menjatuhkan reputasi dirinya sebagai artis dan individu.
Akibatnya, beliau mendakwa mengalami gangguan emosi, penghinaan, serta pengaiban umum (public humiliation). Justeru, Fattah memohon:
Injunksi untuk menghalang sebarang kenyataan fitnah baharu,
Kenyataan maaf tidak bersyarat daripada defendan di akaun media sosial mereka,
Ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta.
Kisah pemergian tragis Zara Qairina Mahathir, remaja berusia 13 tahun yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu, terus mendapat perhatian ramai. Namun, dalam kehangatan prosiding inkues, timbul pula kontroversi apabila barisan peguam yang mewakili empat pelajar terlibat mengecam kenyataan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menurut mereka, kenyataan Mohd Shafie yang melabelkan kes itu sebagai “pembunuhan” dan mempersoalkan siasatan polis serta pakar patologi adalah tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan serta penghinaan kepada pentadbiran keadilan.
Dalam satu kenyataan bersama malam tadi, peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan menegaskan bahawa tindakan ahli politik membawa naratif sendiri hanya membakar sentimen masyarakat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami. Ini cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik,” ujar mereka.
Menurut barisan peguam tersebut, kenyataan sedemikian bukan sahaja merendahkan martabat seorang pemimpin, malah mengganggu prinsip undang-undang bahawa setiap yang dituduh harus dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.
Peguam juga menegaskan bahawa kenyataan pramatang itu mengabaikan rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina yang masih berduka.
“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputar belit dalam ucapan politik atau media sosial,” tambah mereka lagi.
Sebelum ini, sebuah klip video memaparkan Mohd Shafie mempersoalkan tempoh panjang inkues tular di media sosial, sekali gus mengundang kritikan pihak yang terlibat dalam prosiding.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di sekolahnya sekitar jam 4 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian di hospital. Pemergiannya pada usia begitu muda meruntun hati banyak pihak dan sejak itu, inkues dijalankan untuk merungkai punca sebenar.
Namun di sebalik siasatan yang sedang berjalan, apa yang diharapkan oleh masyarakat ialah keadilan yang sebenar, bukan polemik politik yang menambah luka.