
Penyanyi kecil molek, Elyana kembali mencuri perhatian apabila memuat naik sekeping foto yang memperlihatkan dirinya tanpa rambut. Namun, ramai yang terkejut dan keliru. Bukankah dia pernah disahkan bebas kanser?
Menjawab persoalan ramai, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, tampil menjelaskan bahawa foto yang dimuat naik di Instagram itu bukanlah gambar terkini, tetapi dirakam beberapa bulan lalu, sewaktu sedang menjalani rawatan kemoterapi.
“Kalau anda tengok gambar di media sosial tu, itu bukan foto semalam. Ia gambar lama, masa saya sedang jalani rawatan. Sekarang ni pun, saya masih teruskan kemoterapi,” ujar Elyana ketika ditemui di Majlis Amal KAWAN, yang menghimpunkan pesakit serta bekas pesakit kanser, semalam.
Walaupun tubuhnya diuji dan jiwanya diasak, Elyana kekal menjalani hidup seperti biasa. Ada suami di sisi, ada dua anak perempuan yang memahami dan ada semangat yang tak pernah mati.
“Saya dan suami saling membantu urus rumah dan anak-anak. Itulah manisnya rumah tangga – susah senang bersama,” luah Elyana yang dikurniakan dua cahaya mata, masing-masing berusia 14 dan 6 tahun.
Namun, walau kelihatan gagah di luar, dia tidak menafikan ada waktu rapuh yang hanya dia dan keluarganya yang tahu.

“Saya ini nampak macam Power Rangers di luar. Tapi sampai rumah, lembik juga. Itulah realiti. Sedih juga bila orang kata saya pura-pura sakit nakkan perhatian. Apa yang saya dapat kalau menipu?”
Bagi Elyana, pengalaman bertarung dengan kanser sejak 2010 bukanlah sesuatu yang ingin diratapi. Sebaliknya, ia menjadi ruang untuk memberi harapan kepada wanita lain yang mungkin sedang melalui perjalanan yang sama.
“Saya nak beri semangat pada mereka. Bila mereka tengok saya masih boleh tersenyum, mereka juga mungkin rasa mahu terus berjuang.”
Di majlis yang turut dihadiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Elyana tidak hanya hadir sebagai tetamu. Dia menghadiahkan lagu “Tak Tercapai Akalmu”, sebuah lagu lama yang kini mendapat makna baru—lagu untuk mereka yang sedang mencari kekuatan dalam derita.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI