
Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana, berkongsi pengalaman getir yang menguji maruah dan ketabahannya ketika ditahan oleh pihak berkuasa Isr4el dalam misi kemanusiaan baru-baru ini.
Dalam nada sebak namun tegas, Zizi menceritakan bagaimana setiap detik dalam tahanan itu meninggalkan parut emosi yang sukar dilupakan.
Zizi yang terkenal dengan keperibadian tegas dan lembut pada masa sama, tidak pernah menyangka dirinya akan berdepan penyeksaan fizikal dan mental di tangan pihak tentera hanya kerana membawa mesej keamanan.
Menerusi pertemuan bersama Ketua Editor Media Sosial Astro AWANI, Hilal Azmi, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Zizi Kirana berkongsi detik getir yang tidak akan dilupakan sepanjang ditahan dan diperlakukan secara biadab oleh tentera Israel sewaktu menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza.
Zizi yang menyertai misi kemanusiaan itu bukan sekadar sebagai selebriti, tetapi sebagai suara solidariti buat rakyat Palestin, tidak pernah menyangka dirinya bakal berdepan penyeksaan fizikal dan emosi yang begitu dahsyat.
“Saya pakai topi, dia suruh buka topi. Bila saya nak tenangkan diri, saya nak mengaji, dia ambil al-Quran saya, tarik dan tanya, ‘what is this?’
Saya jawab, ‘this is Quran, this is my Quran.’ Tapi dia terus rampas,” cerita Zizi, menahan sebak.
Namun penderitaan itu tidak terhenti di situ. Di pusat imigresen Israel, Zizi sekali lagi menjadi mangsa penghinaan yang melampaui batas kemanusiaan.
“Ketika dalam perjalanan menaiki bas, sekali lagi tudung saya ditarik,” katanya mengimbau kejadian yang berlaku di hadapan anggota tentera bersenjata. “Ketika itu saya cuba selamatkan sebaik mungkin, memandangkan anak tudung sudah tiada di kepala.”
Menurut Zizi, pakaian yang dikenakannya turut menjadi sasaran pemeriksaan tidak berperikemanusiaan.
“Baju di bahagian dalam juga digunting kerana mereka tidak mahu kami memakai dua lapisan pakaian. Mereka hanya mahu kami berbaju sehelai sahaja,” ujarnya.
“Sampai di penjara pun mereka tak bagi pakai hijab. Inner baju saya digunting, kasut ditarik, tudung saya direntap lagi sebelum naik bas ke penjara. Tapi saya tetap pegang sisa hijab saya yang tinggal,” ujar Zizi dalam temubual tersebut mengimbas keadaan getir yang dihadapinya itu.
Beliau menambah, kasut yang dipakai turut dibuka talinya dan stoking tidak dibenarkan, kononnya atas alasan keselamatan. Namun bagi Zizi, ia lebih kepada satu bentuk penghinaan yang sengaja dilakukan untuk menggugat maruah dan kekuatan mental tahanan wanita.
Keberanian Zizi ketika sesi intercept , saat mereka disoal siasat oleh pihak tentera menjadi bukti kekentalan semangatnya.
“Saya duduk berhadapan dengan mereka, tak tunduk, tak menangis. Saya tahu ini ujian iman. Saya orang terakhir diberi mental torture dan dijemur di tengah panas.”
Di tengah panas terik dan tekanan mental yang sengaja dicipta untuk melemahkan semangat, Zizi terus berdoa tanpa henti.
“Saya panjatkan doa agar Allah beri kekuatan untuk saya bertahan. Saya tahu, mereka boleh sakiti tubuh saya, tapi bukan iman saya.”
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara termasuk 23 rakyat Malaysia belayar menuju Gaza membawa bantuan kemanusiaan dan simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
Kini, kesemua aktivis Malaysia telah selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI