
“Tak terbayang perasaan saya ketika itu apabila melihat jasad suami terlentang dalam sawah.
“Saya jerit minta tolong dan pangku jasadnya sambil mengurut dada arwah,” kata Marliana Awang, 39 tahun, dengan nada sebak ketika mengimbau tragedi kematian di Jerlun yang menimpa keluarganya.
Tragedi Kematian Di Jerlun Gegar Kampung Pida 3
Marliana merupakan isteri kepada Allahyarham Nasir Md Nanyan, 45, yang ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan adiknya sendiri di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun malam tadi.

Menurutnya, sebelum kejadian tragis itu berlaku, dia sempat berbual dengan suaminya sekitar jam 6.50 petang apabila mendapati beberapa ekor kambing peliharaan mereka masih belum dibawa pulang.
“Waktu itu saya cakap kambing kita tak ambil lagi, lani (sekarang) dah dekat nak pukul 7 malam dah.
“Arwah pun terus keluar cari kambing, tetapi tidak pulang selepas itu menyebabkan saya risau.
“Tidak lama kemudian, ada orang kampung datang beritahu ada orang bergaduh dekat sawah tidak jauh dari rumah emak… ketika itu saya tak sedap hati dah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Isteri Reda, Dua Jam Riba Jasad Suami Tanpa Kepala
Marliana, yang mesra disapa Hawa, berkata dia segera ke lokasi selepas mendengar berita itu. Dengan hati berdebar, dia menunggang motosikal ke arah sawah tempat pergaduhan dilaporkan berlaku.
Namun setibanya di sana, hatinya luluh apabila mendapati suaminya terbaring di tengah sawah dalam keadaan tidak bernyawa. Katanya, dia hanya mampu menangis sambil memangku jasad suaminya selama hampir dua jam sebelum pihak polis tiba.
“Waktu itu lagi 10 minit azan Maghrib berkumandang dan saya tak dapat gambarkan perasaan ketika itu.
“Saya urut dada suami dan buang selut di badannya sambil meminta doa kepada Allah supaya segala urusannya dipermudahkan. Saya reda, tapi sangat terkejut melihat jasad suami tanpa kepala,” katanya sebak.

Kenangan Manis Bersama Arwah
Menurut Hawa, dia dan arwah dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia tujuh dan 12 tahun. Sepanjang perkahwinan, suaminya dikenali sebagai seorang yang penyayang, tenang, dan rajin bekerja.
“Pokok di halaman rumah semuanya dia yang tanam. Selain memelihara kambing, dia juga mengambil upah menabur padi.
“Setiap hari dialah yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah hinggakan anak-anak rapat dengannya,” ujarnya dengan linangan air mata.
Reda Dengan Takdir Allah
Walaupun berat menerima hakikat, Hawa reda dengan pemergian insan tersayang dan menganggap kejadian tragis itu sebagai ujian daripada Allah.
Jenazah Allahyarham kini masih di Jabatan Forensik HSB dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pida 3, Jerlun.
Siasatan Lanjut Kes Kematian Di Jerlun
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut dengan kepalanya terputus selepas ditetak adik iparnya dalam pergaduhan di kawasan sawah berkenaan.
Polis menemui beberapa kesan tetakan di badan mangsa serta kepala yang terpisah kira-kira satu meter dari tubuh. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan motif pergaduhan tersebut.
Tragedi kematian di Jerlun ini menjadi peringatan agar setiap pertikaian keluarga diselesaikan dengan penuh hikmah, supaya tiada lagi nyawa melayang akibat perasaan marah yang tidak terkawal.
Sumber: Berita Harian dan Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!














