Tiada yang lebih perit buat seorang ibu selain melepaskan anak pergi buat selama-lamanya. Namun bagi Che Nor Aida Suhana Mat, 45, dia memilih untuk menyemai kasih terakhir terhadap arwah anaknya, Anis Soffiya, dengan cara yang paling tenang iaitu menyedekahkan pakaian dan barangan milik arwah kepada mereka yang memerlukan.
Arwah Anis Soffiya merupakan antara 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, ketika dalam perjalanan pulang ke universiti.
Bagi Che Nor Aida, setiap helaian baju dan buku arwah bukan sekadar barang biasa. Ia sarat dengan memori, harapan, dan impian yang kini tidak sempat dikecapi.
Namun, beliau tidak mahu menyimpan semuanya hingga rosak dimakan waktu. Katanya:
“Bukan semua barang kami beri, hanya yang boleh dipakai dan dimanfaatkan. Yang muat, kawan-kawan arwah bolehlah ambil. Saya halalkan semuanya. Kalau disimpan dalam almari pun, lama-lama buruk…”
Beliau turut menawarkan buku-buku rujukan dan bahan pembelajaran arwah kepada pelajar lain, agar ilmu itu terus hidup dan memberi manfaat, walaupun jasad anak sudah tiada.
Che Nor Aida juga menjadikan tindakan ini sebagai satu bentuk amal jariah buat arwah, agar pahala terus mengalir untuk anak yang telah pergi. Malah katanya, sewaktu pemergian kedua ibu bapanya sebelum ini, dia juga melakukan perkara sama.
“Daripada simpan tapi tak guna, lebih baik disedekahkan… niat untuk arwah. Mudah-mudahan ada pahala yang mengalir.”
Pada pagi itu, beliau menerima kotak-kotak berisi barang milik arwah Anis yang dihantar oleh pihak pengurusan UPSI ke rumah mereka di Kampung Rahmat Felda Chalok.
“Ada barang yang saya belum buka lagi… tapi saya tahu, semuanya tinggal kenangan. Tapi biarlah kenangan itu hidup dalam kebaikan orang lain pula.”
Meskipun air mata masih belum kering, Che Nor Aida memilih untuk meredakan kehilangan dengan memberi semula kepada orang lain. Tindakannya itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan sebagai seorang ibu, tetapi juga menjadi inspirasi buat kita semua – bahawa dalam duka, masih ada ruang untuk menyemai kebaikan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE