
Semakin ramai pelajar sekolah layan sesawang lucah, maka banyaklah kerisauan dalam diri kita untuk mendidik anak-anak. Realitinya inilah salah satu cabaran mak ayah hari zaman teknologi, bukan senang nak kawal anak-anak walau mereka ada depan mata sebab semua benda boleh dapat di hujung jari. Apa yang mak ayah perlu sedar dan macam mana nak berdepan dengan masalah anak-anak yang suka layan pornografi, baca perkongsian cikgu Mohd Fadli Salleh ini…
Kajian ini menyeramkan. Sangat menyeramkan bilamana data menunjukkan pelajar sekolah paling ramai melayan sesawang lucah.
20.9 jam seminggu satu angka yang sangat mengejutkan. Bermakna hampir 3 jam sehari pelajar meluang masa buka laman web porno. 3 jam sehari tuan tuan. Solat 5 waktu pun tak sampai 5 jam sehari tahu tak?
Apa punca?
Punca utama adalah gadjet dan telefon pintar. Hampir semua pelajar dari usia 10 tahun hingga 17 tahun punyai telefon pintar sendiri.
Nak kawal penggunaan telefon pintar anak-anak ini adalah misi mustahil. Mustahil!
Budak-budak ini lebih hebat dari orang dewasa kalau bab teknologi. Ini zaman mereka beb. Zaman kita zaman public phone. Kita dulu curi line telefon guna public phone hebat lah. Tapi bab teknologi terkini, anak-anak kita lebih hebat.
Kau check setiap hari telefon anak kau pun belum pasti dapat jamin dia bebas dari terjebak dengan hal ini. Browsing history nampak cun, gallery pun begitu juga. Tiada gambar lucah, tiada video porno.
Rupanya mereka pandai sorok rahsia. Macam-macam apps mereka ada untuk sorok video dan gambar porno. Browsing web pun begitu juga. Ada banyak apps tidak dapat kita kesan apa laman yang anak kita layari.
Ah, tak payah cerita pasal apps yang mampu sorok history dan tidak dapat dikesanlah. Cukup mereka buka pakai incognito tab kat chrome. Dah kau tak boleh kesan dah.
Teknologi ini tidak boleh disekat. Tidak boleh!
Melainkan kau kurung anak dalam gua di dalam hutan yang tebal tanpa apa-apa akses.
Eh, orang asli dalam hutan pun pandai layan porno tahu tak? Asal ada line internet dan gadjet sahaja, tiada apa yang mampu menyekat teknologi.
Jadi bagaimana harus kita bendung hal ini?
Pada aku hanya ada satu cara yang paling berkesan.
HUBUNGAN IBUBAPA DAN ANAK YANG ERAT.
Dekati anak-anak kau sebagaimana kawan dia. Ya, berkawanlah dengan anak remaja. Berborak dan bercerita apa sahaja sehingga dia tidak berahsia dengan kau.
Perlahan-lahan la kau masuk jarum. Terangkan bab nafsu yang tidak dapat dibendung. Cerita pula keburukan melayan laman porno. Bagi cara nak cegah dan keluar dari ketagihan jika mereka telah pun terjebak.
Dan bagi anak-anak yang masih dibangku sekolah rendah, tak payah beri telefon bimbit lah pada mereka. Belum sesuai dengan umur mereka.
Namun jika kau beri juga, pantaulah. Telefon itu kau pegang, bagi mereka masa untuk main telefon mereka. Contohnya setiap hari dari jam 4 petang hingga 9 malam sahaja. Lepas tu kau simpan. Jangan biarkan anak-anak kecil tidur bersama telefon mereka.
Kita tidak tahu laman apa yang mereka layani, kita tidak tahu dengan siapa mereka tengah berhubung. Entah-entah ditipu buaya yang sentiasa kelaparan ingin meratah daging muda.
Manjakan anak pun ada had. Jangan sampai mereka pulang dengan perut besar tanpa kenal siapa punya zuriat.
Jangan sampai tahap itu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Ada 8 Tanda Ini, Suami Sebenarnya Lebihkan GAME Dari Anak Isteri

Iinilah realiti yang dikongsikan Akhtar Syamir tentang suami-suami kaki game; jasad suami ada di depan mata anak isteri tapi bagaikan tak bernyawa.
Para suami yang terjebak dengan ketagihan ini, eloklah segera sedarkan diri. Agar tidak berlebih-lebihan bila menghadap telefon bimbit anda melayan game.
Ambil perhatian, dan jaga-jaga bila suami ada 8 tanda ini. Hakikatnya, anda sedang melebihkan GAME itu dari anak isteri.
Suami Ketagihan Game
Saya pernah jadi seperti ini. Telefon sentiasa di tangan. Masa sentiasa tidak cukup. Semua benda atau perkara lain adalah gangguan.
Whatsapp dari isteri dirasakan leceh. Apatah lagi video call. Hati rasa benda itu sangat mengganggu. Nak tak nak terpaksa jugak jawab. Bila jawab dengan keadaan sebegini, perbualan selalunya akan menjadi ringkas dan tidak berkualiti. Selalu juga akan berakhir dengan ketidakpuasan si isteri atau pergaduhan kecil.
Kadang – kala isteri call untuk bertanya khabar, bermanja atau sekadar melepaskan kerinduan serta kebosanan di rumah. Tetapi dibalas dengan dingin. Ditanya sepatah, jawab pun sepatah. Mana taknya, hati dah panas kerana permainan terganggu.
Bila di rumah pula, anak – anak perlukan perhatian, bantuan kerja sekolah atau sekadar bermanja, anda menjadi rimas dan terganggu. Semuanya kalau boleh tangguhkan, “nanti – nantilah ayah tengok, ayah sibuk ni”. Padahal sibuk dengan game.
Berhenti membohongi diri anda. Memang ini yang anda rasa. Inilah realitinya dan kenapa ianya adalah satu penyakit yang semakin merebak dan membahayakan rumahtangga.
Kenapa Kaki Game Mengeluh Tak Cukup Masa
Game is fun. Permainan itu suatu yang menyeronokkan. Ianya menjadi satu kepuasan apabila kita berjaya di dalam objektif game itu sama ada, mendapat chicken dinner di dalam PUBG, memenangi perlawanan di dalam Mobile Legends atau karektor yang semakin kuat dan hebat di dalam game MMORPG (massively multiplayer online, Role Playing Game) seperti Lineage 2, AxE dan lain – lain.
Game itu sendiri secara dasarnya tidak salah. Tetapi apabila ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk bermain, di sini datangnya masalah itu.
Kita semua ada 24 jam di dalam sehari. Seorang yang normal memerlukan 8 jam untuk mendapat tidur yang cukup. Baki 16 jam akan ditolak lagi sebanyak 9 bekerja dan 1 jam perjalanan pergi balik ke tempat kerja (lebih kurang). Pada penghujung hari, tinggallah 6 jam untuk membuat perkara lain dan bersama keluarga.
Di sini datangnya masalah. Masa yang tinggal itu akan direbut dan ditagih oleh ahli keluarga. Tetapi bagaimana pula kalau masa itu juga dihabiskan dengan bermain game?
Seringkali penggemar game akan sentiasa mengeluh tentang tiadanya masa yang cukup untuk diri sendiri. Mereka juga akan menegaskan yang mereka juga ada hobi dan bermain game inilah hobi mereka. Jadi, isteri dan anak – anak wajib faham dan beri ruang yang secukupnya.
Apalah Gunanya Jasad Depan Mata, Tapi Tak Bernyawa
Tak sedar lagi? Baca semula perenggan di atas dan sedarlah yang anda dah letak game itu lebih tinggi dari keluarga. Masa dengan keluarga tidak akan kembali. Jika anda terlepas masa itu, jangan harap anda akan dapatkannya semula.
Berhenti gunakan ayat, “mujurlah abang tak melepak sana sini, main perempuan dan lain – lain, sekurang – kurangnya abang sentiasa ada kat rumah”. Ayat ni teramat tidak cerdik. Apalah gunanya jasad di depan mata tetapi tidak bernyawa? Tiada gunanya. Percayalah.
Isteri anda akan rasa tidak dihargai, diabaikan, dirasakan tidak penting, tidak dihormati, tidak disayangi dan tidak dipedulikan.
Jika anda rasa melampau si isteri rasa macam tu, anda sebenarnya dah terlalu jauh mengabaikan isteri anda untuk tidak lagi memahami perasaan isteri.
Isteri Perhatikan Ini Tanda-tanda Suami Anda Ketagihan Game
“Ahhh, aku main game nie suka – suka je, bukan ketagih pun.” Jom kita tengok tanda – tanda suami ketagihan game.
√ Bila suami nampak lebih gembira bermain game berbanding menghabiskan masa dengan orang lain atau ahli keluarga.
√ Bila suami sangat keberatan untuk keluar berjumpa ahli keluarga lain atau saudara mara dan lebih suka tidak keluar dari rumah untuk bermain game.
√ Bila suami menghabiskan masa berjam – jam dengan bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan sentiasa tidak mengendahkan kerja – kerja di rumah.
√ Bila suami secara konsisten akan bermain game setiap petang atau malam.
√ Prestasi kerja suami semakin menurun. Mereka sering lewat ke tempat kerja, sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur akibat bermain game.
√ Suami tidak lagi berminat untuk bersukan atau ke taman berjalan bersama anak dan isteri.
√ Sahabat handai dan saudara mara terdekat seringkali bercakap mengenai betapa suami sering bermain game.
√ Suami sering menipu mengenai berapa lama mereka bermain game dan sentiasa berjanji yang ianya tidak akan lama dan seringkali bertukar kepada berjam – jam lamanya.
Jika anda atau suami ada tanda – tanda seperti di atas, berhentilah menipu diri sendiri dan mengakulah yang anda adalah seorang penagih game.
Sebelum Parah, Bantu Suami Dengan..
Bagaimana nak mengatasi masalah ini?
1. Jangan terjebak sekali dengan masalah suami dengan bermain game bersama. Mungkin anda akan rasa anda meluangkan masa berdua, sebenarnya tidak dan ianya menjadi bertambah buruk jika pasangan sudah mempunyai anak.
2. Mengabaikan masalah tu atau membiarkan suami dengan ketagihan game hanya akan memburukkan lagi masalah. Jangan abaikan, teruskan menasihati. Teruskan cuba mencuri masanya. Jangan putus asa sehinggalah dia sedar yang game itu tidak akan membantu apa – apa.
3. Katakan pada suami yang anda mencintainya, anda risaukan ketagihan gamenya, anda rindukan masa bersama, terangkan yang ketagihan itu telah membuatkan suasana yang tidak baik di rumah dan akhirnya, berterus teranglah kepada suami yang ketagihan game dia bakal membuatkan rumahtangga anda retak.
4. Jangan sekali – kali letakkan diri di bawah game ataupun kurang penting dari game. Anda lebih penting, anda lebih utama. Dapatkan semula suami anda ! Jangan biarkan suami utamakan game dari anda dan anak – anak.
5. Jika suami tetap tidak mahu berubah, cadangkan untuk bertemu dengan pakar kaunseling rumah tangga.
6. Dan di pengakhirannya, berikan kata dua, game atau anak dan isteri?
Suami Fikirlah! Game Lebih Berbaloi Ke.. Anak Isteri
Kepada suami, fikirkan semula, berbaloi ke? Berbaloi ke lebihkan game berbanding kehidupan yang dipenuhi kegembiraan yang benar dan nyata? Insaflah. Bila sudah berkeluarga ini, masa sepatutnya dihabiskan bersama mereka kerana apabila kita terlantar di katil hospital nanti, bukan game yang akan menjaga kita, bukan game yang akan menyuapkan nasi ketika kita sudah tidak mampu makan sendiri, bukan game juga yang akan duduk di tepi katil berdoa dan memberi semangat apabila nyawa kita berada di penghujungnya nanti.
Buanglah ketagihan itu. Kembalilah kepada keluarga. Anak dan isteri anda sangat merindui anda.
Kepada si isteri, terimalah kenyataan yang suami anda mempunyai masalah. Bantulah dia, kembalikan matanya kepada anda dan keluarga.
Sebelum saya terlupa, berhenti mengungkit tentang pengorbanan anda sebagai seorang ayah atau suami setiap kali ditegur pasal game. Itu bukan alasan untuk menghadap telefon berjam – jam dan bukan anda seorang sahaja yang berkorban untuk keluarga.
Game itu menyeronokkan. Tetapi ketagihan game itu adalah masalah yang boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.
Kepada yang belum berkahwin, bawak – bawaklah berhenti bermain game. Nanti sedar tak sedar anda dah 30an dan masih tinggal seorang diri. Berhentilah dari membuang masa.
Semoga bermanfaat.
Silakan kongsi penulisan ini supaya ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai permasalahan ini.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa. BroOhsem.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cinta Luar BIASA Tak Mampu Kenyangkan PERUT, Lelaki Kena BELAJAR Tanggungjawab

Hidup ni tak boleh disandarkan pada cinta semata. Cinta luar biasa sekali pun tidak mampu membahagiakan rumah tangga jika pasangan terutamanya suami tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya.
Sebaiknya sebelum berumah tangga, lelaki kena belajar tanggungjawab kerana cinta luar biasa tak mampu kenyangkan perut isteri dan anak-anak. Bukannya berkahwin dengan mempertaruhkan cinta, sebaliknya ambil tahu dahulu tanggungjawab sebenar seorang suami atau ketua keluarga.
Ikuti perkongsian Jiha Shuib dan hadam baik-baik :
Cuba baca lirik lagu, Cinta Luar Biasa oleh (Andmesh Kamaleng) ni.
Waktu pertama kali
Kulihat diri mu hadir
Rasa hati ini inginkan diri mu
Hati tenang mendengar
Suara indah menyapa
Geloranya hati ini tak ku sangka
Rasa ini tak tertahan
Hati ini selalu untuk mu
Terimalah lagu ini
Dari orang biasa
Tapi cintaku pada mu luar biasa
Aku tak punya bunga
Aku tak punya harta
Yang ku punya hanyalah hati yang setia
Tulus pada mu
Hari-hari berganti
Kini cinta pun hadir
Melihat mu, memandang mu bagai bidadari
Lentik indah mata mu
Manis senyum bibir mu
Hitam panjang rambut mu anggun terikat
Rasa ini tak tertahan
Hati ini selalu untuk mu
Terimalah lagu ini
Dari orang biasa
Tapi cintaku padamu luar biasa
Aku tak punya bunga
Aku tak punya harta
Yang ku punya hanyalah hati yang setia…
Romantik Sungguh Cinta Luar Biasa
Romantik bukan? Bait bahasanya menyentuh hati, bukan main syahdu boleh buat hati cair.
Aku bukan nak kritik lirik lagu ini secara khusus, ini hanya sebagai salah satu contoh. Contoh sahaja ya.
Contoh bahawa lirik lagu atau ayat power yang membawa gambaran salah tentang kehidupan sebenar.
Dekat sinilah tanggungjawab kita sebagai orang dewasa sama ada sebagai ibu atau bapa untuk memberi kesedaran kepada anak kita tentang tanggungjawab.
Tak kira anak lelaki atau perempuan, bila sampai dia sudah akil baligh memang tak dapat elak dari ada perasaan untuk berpasangan. Itu fitrah. Ianya perasaan semulajadi yang Allah beri kepada makhluk.
Cinta Luar Biasa Tak Dapat Kenyangkan Perut
Cuma perlu diingatkan cinta luar biasa tak dapat mengenyangkan perut. Hanya makanan dapat mengenyangkan perut, jadi anak-anak kena faham dia perlu ada duit untuk berpasangan. Itu wajib, jangan biarkan mereka lalai dengan perasaan cinta mengatasi segala-galanya.
Anak lelaki kena tahu perempuan yang dia suka mengharapkan dia mampu sekurang-kurangnya membayar harga makanan tengahari, makan malam. Kalau air sirap pun takkan mamak tu bagi percuma punya, kena bayar.
Jadi sejak kecil perlu sedar bab ini, jangan sampai ke tua mengharapkan perempuan yang baik dan solehah sudi berkongsi susah senang tak kisah hidup susah serta bayar semua sewa rumah, barang dapur, duit anak, bil-bil sehinggalah kereta dan motor si perempuan beli dan si lelaki kerjanya hanya memberi kasih sayang yang luar biasa.
Cinta Luar Biasa Hanya Tiket Untuk Hambakan Isteri
Anak perempuan wajib tahu cinta luar biasa si lelaki adalah sekadar tiket untuk dia menjadikan kamu hamba seumur hidupnya.
Melainkan kamu rela dibelai dengan pujukan memuja bermodalkan air liur, duit sekupang tak payah keluar apatah lagi tanggungjawab lain seperti mendidik, membimbing, melindungi, mengasihani, dan sebagainya.
Jaga-jaga dengan perangkap jantan tak guna yang terlalu ramai di pasaran sekarang. Percayalah, lelaki yang soleh dan beriman sangat kurang.
Yang ramai adalah spesies Ustaz Madi dalam Drama Nur, atau pun jenis jantan penderma sperma yang menjadikan isteri tempat melepas nafsu tanpa tanggungjawab terhadap isteri apatah lagi-lagi anak yang dikandung si isteri.
Belanja masa mengandung pun isteri, kos bersalin pun si isteri yang tanggung apatah lagi semua duit ringgit dalam membesarkan anak-anak.
Baca Juga Di Sini:
Tanda-Tanda Suami Rasa Diri Tak Lagi Dicintai, Isteri Kena Take Note!
Sibuk Abdikan Diri Untuk Keluarga, Harus Ada Ruang SAYANGI Diri Sendiri
Info Menarik, klik di sini.
Bila Suami Dengan Cinta Luar Biasa Akan Muncul?
Hampa tunggu sat, lelaki tak guna yang macam ini, dia hanya akan tuntut hak dia sebagai ayah bila anak-anak yang dididik dan dibesarkan oleh si isteri dengan susah-payah bila mereka dah besar-besar nanti.
Dia nanti tiba-tiba muncul dengan megahnya ‘claim’ balik sperma dia abaikan dan tak pernah sara langsung tu sebab dihujung nama mereka ada nama dia. Kalau mengharapkan nasi yang bapaknya belikan, sudah mati kebuluran dan anak-anak tu.
Dan nak tunggu bapaknya sampai belikan sebatang pensil, daftarkan ke sekolah wajiblah anak-anak tu sudah merempat bawah kolong sebab keciciran. Tak rasa ajaib ke, macam manalah budak-budak tu dapat membesar dan jadi seseorang? Tak malu pula ya mengaku ada anak, yang dulu jenguk pun tidak.
Eh, nama pun CINTA LUAR BIASA
Beringat ya, ini hanya perangkap kehidupan malang dan penderitaan.
Dalam Islam, LELAKI yang tak mampu dari segi kewangan dan tanggungjawab untuk memberi nafkah zahir dan batin (bukan salah satu) dia hendaklah berpuasa. Bukan layan porno, mengurat sana-sini.
Dah ada niat nak berkahwin, silalah pergi mengaji dan menuntut ilmu tentang tanggungjawab. Paling koman pun betulkan dan perbaiki solat, insyallah nanti boleh bimbing isteri dan anak-anak.
Lepas itu ingat, masjid bukan tempat singgah berak kencing, tapi kat masjid itu tempat solat dan belajar ilmu agama. Kalau tak tahu tak apa, asalkan mahu belajar dan berubah.
Wanita Turut Berubah Dengan Cinta Luar Biasa
Perempuan yang asalnya dididik dengan baik oleh ibu bapanya, boleh berubah kerana pengaruh luar. Perempuan itu fitrahnya penuh emosi, jadi kalau terjumpa lelaki yang dia cinta luar biasa maka dia pun akan menjadi sebahagian seperti lelaki itu.
Boleh jadi terlanjur, boleh jadi hanyut jugak. Sedar-sedar anak dan berderet, hidup makin hari makin susah, bukan makin senang. Si lelaki sudah selesa duduk saja, gaji dia hanya untuk diri sendiri, gaji si isteri wajib untuk keluarga.
Si isteri jadilah perempuan selekeh, duit tak pernah cukup, muka pucat, badan gemuk tak terurus sebab sibuk siang dan malam kerja tak habis-habis.
Hampa mau jadi macam tu? Bila dah letih, suami boleh buat alasan si isteri tak layan dia maka dia kenalah cari orang lain yang cantik molek untuk layan dia siang malam kan. Habis dah ke CINTA LUAR BIASA tu?
Iyalah, berkorbanlah selagi boleh. Dasar jantan tak guna ni ramai ya.
Kalau Sama-Sama Berkongsi Tidak Ada Masalah
Kalau sama-sama berkongsi, kerja rumah pun buat sama-sama gaji pun bahagi elok-elok tak ada masalah. Siapa yang bernasib baik, tak payah komen kata dia bertuah begitu begini.
Biadap namanya, sebab aku tahu kat sekeliling aku ramai yang menderita hidup dengan jantan tak guna ni. Cukuplah kalau boleh beri kata semangat buat mereka.
Yang penting, didik anak-anak kita tu. Tolonglah ikut ajaran islam yang sebenar di mana kita ada panduan dalam hidup berkeluarga. Senang cakap ikut ajaran Rasulullah, kalau kewangan terhad sama-sama lah susah.
Buatlah kerja rumah sama-sama, masak bergilir, urus kain baju bergilir, berjaga malam jaga anak sama-sama, anak sakit bergilir-gilir jaga bukan si lelaki berdengkur si perempuan yang sampai jatuh sakit tak cukup rehat.
Bahagiakan Isteri Barulah Cinta Luar Biasa
Kalau sudah kaya tak payah cakap lah, digalakkan cari pembantu untuk urusan rumah tangga. Pembantu tak semestinya manusia.
Suami belikanlah mesin basuh siap dengan pengering, belikan penyedut sampah jenis robot atau siap bermop tu, seterika turbo dengan steam atau pun gajet dapur macam Thermomix yang boleh dengan senang dan mudah tu.
Itu contohlah, contoh kalau nak bantu isteri. Kata CINTA LUAR BIASA kan, duit pun banyak apa salahnya bahagiakan isteri. Itu ada dalam ajaran islam tau, aku pun belajar takat tingkatan 5 saja bab Fekah ni.
Pokoknya nak tekankan bukan sekadar mengaku Islam tapi tak pernah mengamalkan Islam langsung.
Ah, Panjangnya bebel. Aku trigger dengan cerita To’Ki ni hampa tau, trigger lagi tambah pulak bila dengar lagu mendayu-dayu yang indah khabar dari rupa. Namun catatan aku tak ada kena mengena dengan siapa, aku cikgu dah 12 tahun dan dah terlalu banyak kisah suka duka kehidupan sebenar yang ‘terpaksa’ aku ambil tahu atas dasar tugas.
So I am here to share.
#catatanjihasaiful #cikgulamatakpisekolah #maafkancikgu
MW: Hidup ini tak seindah lagu, bersumpah hidup setia hingga ke hujung nyawa. Realiti kehidupan selepas berumah tangga tak sebahagia seperti di dalam lirik lagu. Jadi, renung-renungkan lah.
Sumber: Jiha Shuib
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini 7 Hak Yang Boleh Tuntut Di Mahkamah Selepas Perceraian Berlaku, Wanita Sila Take Note!

Pastinya tiada seorang pun yang inginkan perceraian berlaku dalam ikatan perkahwinan yang dibina. Namun andai jodoh tidak berpanjangan dan ini adalah sebaik-baik jalan penyelesaian, sebenarnya ada 7 hak yang seseorang wanita boleh tuntut di Mahkamah selepas berlakunya perceraian.
ini kerana sungguhpun ikatan pernikahan putus akibat penceraian, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung antara satu sama lain. Matlamat ini bagi memastikan hak dan kepentingan bekas suami, bekas isteri dan anak dilindungi.
7 Hak yang boleh dituntut di mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:
1.Nafkah Iddah:
Nafkah Iddah adalah nafkah yang wajib disediakan kepada bekas isteri semasa dalam tempoh iddah talak raji’e. Mengikut hukum syarak, seorang isteri yang taat berhak mendapat nafkah daripada suaminya.
Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki sama ada suami atau lelaki lain yang tertentu seperti anaknya yang berkemampuan membayar nafkah kepada seseorang isteri.
2.Mut`ah:
Mutaah adalah satu bayaran sagu hati atau pemberian yang wajib ke atas suami diberi kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak. Kadar mut`ah boleh ditentukan menerusi persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut`ah itu.
3.Harta Sepencarian:
Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
4.Hak Jagaan Anak (Hadhanah):
Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil (di bawah umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak itu sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
5.Nafkah Anak:
Nafkah anak adalah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.
6.Tunggakan Nafkah:
Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.
7.Hak Tempat Tinggal:
Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal ketika dia dalam perkahwinan selama iddah. Suami adalah berkewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah untuk isterinya sama ada secara menyewa atau milik suami itu sendiri.Isteri juga boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah sekiranya suami tidak menyediakan keperluan tersebut.
Semoga bermanfaat, kongsikan ilmu syariah dan undang-undang ini buat wanita lain juga.
Sumber: Info Syariah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI