Sebuah lagi drama yang sarat dengan emosi kini menghiasi kaca televisyen. Rumah Tanpa Luka, terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios, mula bersiaran di Astro Ria sejak 1 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.
Apa yang membezakan drama ini daripada karya lain adalah keberanian produksinya mengangkat tema anak istimewa seorang kanak-kanak Down Syndrome yang kelahirannya tidak diinginkan oleh ibu bapa sendiri. Ia bukan sekadar sebuah kisah, tetapi cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat.
Kisah Anak Istimewa Yang Dipinggirkan
Watak Rose Ameena, lakonan kanak-kanak istimewa Naura Arissa, hadir sebagai nadi cerita. Dia dianggap beban, malah dilabel sial oleh keluarganya, sedangkan jiwanya penuh kasih dan cita-cita. Rose sering dibuli di sekolah, namun tetap tabah bersama seorang teman baik, Dewi.
Melihat lakonannya, penonton tidak hanya tersentuh, tetapi juga belajar bahawa cinta seorang anak tidak pernah berkurang meski ditolak.
Dua Lelaki, Dua Sisi Emosi
Drama arahan Nur Ain Sharif ini turut mengangkat kisah dua lelaki dengan sifat berlawanan.
Ads
Shukri Yahya membawakan watak Qiuzi (Q), seorang mekanik yang dalam diam memiliki lima bengkel kereta. Dia lelaki green flag mudah didekati, setia, merendah diri, malah tidak pandai bermain cinta. Karakter sebegini jarang hadir di layar drama, namun menjadi dambaan setiap wanita.
“Qiuzi seorang yang easy going dan down to earth. Dia humble, setia, malah tak pandai mengorat. Dia lelaki impian ramai, tapi entah wujud atau tidak di dunia nyata,” ujar Shukri.
Sementara itu, Nadhir Nasar memegang watak Hayden Hayyan, karakter red flag yang penuh kontradiksi. Ada sisi antagonis yang meresahkan penonton, tetapi dalam diam dia seorang anak lelaki yang bertanggungjawab kepada keluarga.
Ads
“Paling mencabar buat saya adalah kawalan emosi Hayden. Ada masa dia terlalu marah, ada ketika dia tenang. Ia roller coaster yang tidak boleh dibaca,” jelas Nadhir.
Pengalaman Bersama Anak Istimewa
Baik Shukri mahupun Nadhir, keduanya sepakat bahawa pengalaman berlakon bersama Naura Arissa adalah sebuah keberkatan.
“Sangat mudah bekerja dengan adik Naura. Dia memberi, dia faham rentak ‘action’ dan ‘cut’. Cuma kita perlu jaga hati dia agar tidak terkejut atau takut. Seronok sekali,” kongsi Shukri.
“Saya luangkan masa bersamanya di set. Bila dia sudah kenal, dia faham bila kita berlakon. Ia bukan cabaran, malah satu rezeki untuk kami,” tambah Nadhir.
Ads
Menurut Nadhir, judul drama ini sendiri adalah sebuah metafora.
“Setiap rumah pasti ada luka. Kalau terlalu bahagia pun, pasti ada sedikit calarnya. Drama ini akan membuka mata tentang luka yang jarang kita nampak.”
Drama ini bukan sekadar hiburan. Ia sebuah cerminan: tentang anak yang dipinggirkan, tentang tanggungjawab anak perempuan sulung, tentang lelaki red flag dan green flag, serta tentang keberanian wanita menanggung luka demi keluarga.
Drama ini boleh ditonton di Astro Ria serta distrim di Astro One dan Sooka.
Dalam hidup seorang wanita, bahagia sering kali menjadi sesuatu yang dikejar, tetapi jarang benar-benar dimengerti. Kita dibesarkan untuk percaya bahawa kebahagiaan itu datang bila orang lain menyayangi kita, bila suami memahami, bila keluarga sempurna.
Namun drama Mutiara Dalam Debuan Kabus membawa kita menyelami hakikat yang lebih dalam, bahawa bahagia sebenar itu bukan tentang siapa di sisi kita, tetapi tentang siapa kita di dalam diri.
Kadangkala, untuk menemukan diri yang sebenar, takdir menuntut kita untuk kehilangan segalanya terlebih dahulu. Ingatan, cinta, bahkan nama sendiri. Begitulah nasib seorang wanita bernama Airina, yang hidupnya berubah sekelip mata selepas satu kemalangan tragis.
Segalanya Hilang Sekelip Mata
Apabila dia membuka mata di katil hospital, segalanya kosong. Tiada kenangan, tiada identiti, hanya kekeliruan yang menyelubungi mindanya. Dunia memperkenalkannya sebagai Aslin, isteri kepada lelaki bernama Uzzam Zulkarnain seorang suami yang berjaya namun dingin, dan ibu kepada seorang anak kecil yang hampir tidak mengenalinya.
Namun kehidupan yang ditempuh sebagai Aslin bukan seperti kisah bahagia yang dijangka. Rumah tangganya penuh retak, kasih yang sepatutnya menjadi penyembuh kini bertukar menjadi luka. Dia dituduh curang, dihina sebagai isteri yang tidak tahu menghargai, dan dicemuh kerana gagal menjadi ibu yang sempurna.
Tetapi di tengah kepedihan itu, Airina memilih untuk melihat kehilangannya sebagai peluang. Dia ingin menjadi isteri dan ibu yang lebih baik. Dia mahu menebus segala kekhilafan yang dia sendiri tidak mengingatinya. Dia mahu mencipta bahagia, walaupun dia tidak tahu siapa dirinya yang sebenar.
Namun takdir sekali lagi datang menguji. Rahsia demi rahsia terbongkar. Airina akhirnya mengetahui bahawa dia bukan Aslin, dan Uzzam bukan suaminya yang sah. Hidupnya yang baharu rupanya hanyalah sandiwara yang diatur oleh tangan-tangan tersembunyi. Lebih menyayat hati, ada mata yang sentiasa memerhati, menunggu masa untuk menyingkirkannya.
Di saat dunia seakan runtuh, Airina belajar sesuatu yang sangat besar iaitu bahagia tidak pernah ditentukan oleh siapa kita bersama, tetapi oleh siapa kita pilih untuk jadi.
Dia boleh terus hidup dalam penipuan, berpura-pura menjadi seseorang yang bukan dirinya. Atau dia boleh bangkit, berani menuntut kebenaran, dan mengenali semula dirinya yang sebenar. Dan itulah yang dia lakukan. Dengan hati yang luka tetapi tabah, Airina memilih jalan yang penuh bahaya . Semata-mata untuk mencari makna sebenar hidup dan cinta.
Kerana bahagia bukan milik mereka yang disayangi, tetapi milik mereka yang berani menyayangi diri sendiri.Bahagia itu pilihan kita, bukan orang lain. Konflik yang ditonjolkan dalam Mutiara Dalam Debuan Kabus mungkin dikatakan klise tetapi ini adalah realiti sebenar yang dihadapi dalam masyarakat kita.
Dan kadangkala, untuk menemukan kebenaran itu, kita perlu kehilangan segalanya dahulu termasuk siapa diri kita yang kita sangka kita kenal.
Jangan lupa menyaksikan konflik demi konflik menerusi Mutiara Dalam Debuan Kabus setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot MegaDRAMA pukul 10 malam di saluran Astro RIA.
Saban pagi, aroma roti canai yang harum dan menyelerakan sering menjadi tarikan utama di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar. Di situ, pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi gigih berniaga, menawarkan keenakan roti canai buatan tangan mereka kepada pelanggan, pada harga hanya RM1.20 sekeping.
Namun kini, tiada lagi senyuman ramah Azim dan Hidayah. Tiada lagi tangan cekap menebar roti canai yang menjadi kegemaran ramai. Seluruh negara tersentak dengan berita duka apabila pasangan ini bersama empat anak mereka ditemukan lemas di dalam Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, Jitra, Kedah.
Di sebalik keenakan roti canai jenama Nuruzem Roti Canai, tersimpan kisah perjuangan dua insan yang tidak pernah berhenti berusaha demi menyara keluarga. Azim bekerja sebagai pengawal keselamatan, sementara Hidayah menguruskan gerai makanan mereka. Kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama. Bukan untuk kaya, tetapi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Orang meniaga ini ada dua jenis. Satu nak kaya, satu lagi cuma nak sambung kehidupan. Kami yang kedua. Janji dapat teruskan hidup,” luah Hidayah dalam satu video TikTok yang pernah tular pada April tahun lalu.
Mereka memahami situasi pelanggan, terutamanya staf hospital dan orang awam, sebab itu harga roti canai kekal murah. “Sewa sini pun murah,” kata Hidayah, menjelaskan prinsip mereka berniaga dengan hati.
Warga Maya Tersentuh
Video lama pasangan ini kini kembali tular, dengan ramai netizen meluahkan rasa sedih dan sebak mengenangkan nasib mereka.
“Goosebump tengok video ni. Al-Fatihah. Semoga Allah kurniakan syurga tanpa hisap buat kalian,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Arwah kata meniaga untuk teruskan hidup. Allah… semoga mereka semua ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tambah yang lain.
Tragedi yang Meragut Segalanya
Insiden malang itu meragut nyawa enam sekeluarga. Azim, 32; Hidayah, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan. Identiti kesemua mangsa disahkan oleh ahli keluarga di lokasi kejadian, menyentak hati seluruh rakyat Malaysia.
Tragedi ini bukan sekadar kehilangan satu keluarga. Ia adalah kehilangan kepada komuniti kecil yang pernah mengenali keikhlasan dan kecekalan mereka. Semoga kisah cinta dan perjuangan pasangan ini menjadi inspirasi buat kita semua dalam menempuh liku kehidupan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tragedi yang meragut nyawa adik Zara Qairina Mahathir, 13, terus mendapat perhatian apabila lima remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, kesemua tertuduh yang berusia bawah 18 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu, di sebuah sekolah di Papar.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menggunakan perkataan yang boleh mengganggu perasaan arwah, antara jam 10 hingga 11 malam. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan kepada media bahawa setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin tempatan. Beliau turut menegaskan, hanya perkara itu boleh didedahkan kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan berhubung butiran lain dalam prosiding.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Nor Azizah bersama Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan, manakala barisan peguam bela terdiri daripada nama-nama berpengalaman termasuk Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 September dan 16 Oktober, manakala pendengaran kes dijadualkan bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember depan.
Salah seorang daripada tiga bayi kembar perempuan dilahirkan pramatang di Hospital Melaka berada dalam keadaan membimbangkan. Ketahui perkembangan terkini bayi kembar tiga pramatang kepada pasangan Mohd Fikry Amri dan Sabrina Hakiem.