Roti kering jadi alas perut, pelajar Malaysia saksi tangisan anak kecil di kem pelarian Jordan. Saat anak-anak kita mungkin bermewah dengan makanan memenuhi meja, berbeza dengan apa dialami oleh anak-anak kecil Syria dan Palestin yang menjadi pelarian di bumi Jordan.
Sekali pun diuji dengan kekurangan namun saat tetamu datang bertandang ke khemah pelarian, adab menerima tetamu mereka masih masih menjemput untuk sama-sama merasai apa saja makanan yang ada, walau hanya roti kering menjadi alas perut menahan lapar.
Inilah pengalaman dilalui oleh Nur Siti Khadijah Hamzah, 21 tahun, penuntut Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan yang mengikuti program sukarelawan bersama pertubuhan antarabangsa YOSH MyFundAction. Dirinya membuktikan, menuntut ilmu di luar negara bukan sekadar mengejar segulung ijazah tapi dimanfaatkan kepada kebaikan akhirat jua.
Berkongsi pengalaman menjadi sukarelawan di bumi Jordan, dirinya menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri penderitaan dialami oleh warga bumi Anbia yang dihalau dari negara sendiri.
“Ketika kami edarkan pek makanan di tengah padang pasir yang luas dan tandus, adab menerima tetamu, mereka ajak kami ke khemah dan jamu dengan roti, air dan apa saja yang mereka ada. Mereka menghargai kami kerana menyantuni mereka,” cerita Khadijah yang berkongsi kenangan bersama Mingguan Wanita.
“Di sebalik sukarnya mendapat makanan, adab mereka masih tinggi. Masih berbudi bahasa walau hidup dalam kesukaran. Dalam suasana sederhana itulah meninggalkan kesan mendalam pada jiwa saya.
“Ada pelarian yang sudah duduk di situ lebih dari 10 tahun. Walau Syria dah merdeka tetapi masih ada sebahagian tidak pulang semula kje Syria kerana harta benda mereka sudah musnah termasuk kehilangan semua ahli keluarga,”katanya mengakui antara cabaran awal dihadapinya ialah dari segi bahasa.
“Agak kekok awalnya dengan bahasa dan budaya orang tempatan tapi dari mereka, saya belajar bahawa ilmu tidak hanya terhad di dalam kuliah bahkan di jalanan dan bersama masyarakat,” katanya.
Berkongsi pengalaman yang membekas di hatinya ketika memasuki kem pelarian Syria dan Palestin, Nur Siti Khadijah Hamzah berkata, kehidupan di khemah pelarian serba serbi kekurangan.
“Mereka yang tinggal di khemah pelarian ini tiada hidup serba kekurangan. Tiada akses perubatan, hospital dan keperluan asas yang mencukupi. Perjalanan menuju ke kem juga bukan perkara mudah.
“Kesukaran awalnya adalah untuk ke kem tu sendiri kerana kebanyakan kem ni jauh dari bandar dan terletak di tengah padang pasir. Jadi faktor muka bumi dan cuaca juga adalah satu cabaran ketika musim sejuk dan musim panas,” jelasnya.
Cuaca ekstrem, kedinginan yang menggigit tulang atau panas yang membakar kulit menjadi ujian tambahan bagi setiap langkah.
“Pengalaman itu memberi kesedaran mendalam tentang nilai kemanusiaan, tanggungjawab
sosial dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Aktiviti sukarelawan sebegini juga
mengajarnya untuk mengurus masa, mengutamakan disiplin, dan menghargai nikmat yang
sering diambil mudah,”tambahnya.
Bagi Khadijah, kegiatan sukarela tidak pernah mengganggu akademiknya. Malah, ia menjadikan dirinya lebih teratur, berdisiplin dan proaktif.
“Ilmu akan lebih bermakna apabila dikongsi dengan orang lain,” katanya penuh yakin.
Pengalaman di kem pelarian menyedarkan dirinya untuk lebih menghargai nikmat yang sering dianggap remeh serta menggunakan masa mudanya sebaik mungkin untuk memberi impak kepada orang lain.
“Bagi saya, usia muda ini harus di manfaatkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat memberi impak kepada orang lain bukan sekadar diri sendiri. Saya juga termotivasi dengan hadith; “sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat bagi orang lain”.
“Kita harus bijak mencari peluang, menggunakan apa sahaja skill serta kelebihan yang ada untuk membantu dan menginspirasi orang lain,”jelasnya yang menutup kata, saya selalu bertanya pada diri, kalau bukan saya siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?”
Baginya, program sukarelawan kemanusiaan diikutinya bukan saja bukan saja membawa ilmu tetapi juga jiwa yang ditempa oleh pengalaman di rantau orang.