“RM2 Juta Tak Boleh Beli Tiket Ke Syurga” – Wanita Pesakit Barah Tolak Tawaran Jadi Duta Produk

Share

“RM2 juta tak boleh beli tiket ke syurga” – wanita pesakit barah tolak tawaran jadi duta produk. Demi menjaga maruah dan prinsip hidup, seorang wanita yang pernah melalui detik perit melawan barah sanggup menolak tawaran bernilai RM2 juta daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mempergunakan dirinya sebagai duta produk.

“RM2 Juta Tak Boleh Beli Tiket Ke Syurga” – Wanita Pesakit Barah Tolak Tawaran Jadi Duta Produk

Sarlinawati Abdul Mues, 49, mendedahkan bahawa individu terbabit memintanya membuat pengakuan palsu seolah-olah dia pulih selepas menggunakan ubat dan makanan tambahan kononnya berkesan merawat barah.

Bekas pesakit barah payudara tahap empat itu, yang kini disahkan bebas daripada penyakit berkenaan sejak lebih empat tahun lalu, tegas menyatakan wang sebanyak itu tidak mampu membeli prinsipnya.

“Saya tanya balik kepada pihak yang menawarkan itu, duit RM2 juta boleh beli tiket masuk syurga ke? Bolehkah jamin saya masuk syurga dengan membohongi pesakit barah lain?

“Kalau tak boleh, saya tak mahu. Saya lebih rela hidup susah daripada hidup senang dengan cara menipu,” katanya.

Sarlinawati yang juga pengasas Himpunan Kanser Semalaya berkata, sepanjang tempoh rawatan dahulu, dia sering menjadi sasaran ejen produk yang cuba memaksanya memberi testimoni palsu.

Katanya, pesakit barah sering dipergunakan oleh pihak tertentu kerana ramai dalam kalangan mereka berada dalam keadaan terdesak dan mudah terpedaya.

“Mereka tahu pesakit barah ini ada yang terdesak. Jadi, mereka datang dengan janji palsu, kononnya ada produk ajaib boleh menyembuhkan,” jelasnya.

Selepas pulih, Sarlinawati memilih untuk memberi semangat kepada pesakit lain dengan menjelajah seluruh negara. Dengan menunggang motosikal secara solo, beliau telah menemui lebih 450 pejuang barah bagi memberikan sokongan moral.

“Sepanjang jelajah, saya jumpa ramai pesakit barah, ada yang hampir bunuh diri kerana tertekan dengan penyakit, beban kewangan dan ditinggalkan keluarga.

“Malah ada yang tunjukkan parut kelar di tangan kerana tidak tahan diuji,” katanya.

Sarlinawati turut menegaskan cabaran sebenar pesakit barah bukan hanya rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi, sebaliknya tekanan mental dan kewangan yang lebih menghimpit.

“Ramai yang saya jumpa, isteri ditinggalkan suami, suami ditinggalkan isteri, anak-anak ditinggalkan ibu bapa. Barah bukan sekadar penyakit, ia merosakkan institusi keluarga dan memusnahkan emosi jika tiada sokongan,” ujarnya.

Atas keprihatinan itu, beliau menubuhkan Himpunan Kanser Semalaya sebagai wadah untuk membantu pesakit barah, bukan sekadar melalui motivasi tetapi juga menyediakan keperluan harian hasil sumbangan orang ramai.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Foto Tular Di Media Sosial, Cubaan Fitnah Berniat Jahat, Peguam Ibu Zara Qairina Tak Akan Tunduk Sebarang Tekanan

Datuk Ram Singh Nafi Tunduk Pada Politik Tuduhan Ini Adalah Palsu Sama Sekali, Berniat Jahat

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has