Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli ‘bawah karpet’-“Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan.” Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.
Rita Rudaini Dedah Sekolah Sorok Kes Buli ‘Bawah Karpet’-“Pelajar Senior Pukul, Ikat Pelajar Di Pokok Sampai Tak Boleh Berjalan”
Menurut Rita, insiden itu berlaku ketika anak sulungnya berada di Tingkatan Satu. Pada waktu itu, seorang pelajar junior dipanggil oleh pelajar senior dalam sesi ‘roll call’ sebelum dipukul dan diikat pada sebatang pokok sehingga tidak mampu berjalan.
“Bukan di tempat tertutup tetapi di kawasan terbuka.
“Bila ibu pelajar itu buat laporan polis, sekolah memujuk supaya menarik balik laporan dan akhirnya kes disimpan bawah karpet,” katanya dalam ruangan komen di hantaran Instagram Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi bahawa sejak awal beliau diberi amanah sebagai Pengerusi MARA, banyak maklum balas diterima daripada ibu bapa serta pelajar institusi pendidikan Mara (IPMA).
Ada pihak yang enggan mendedahkan kes buli kerana bimbang merosakkan imej sekolah dan menjejaskan peluang meraih pengiktirafan. Namun, beliau menegaskan sebarang maklumat yang sampai kepadanya pasti akan diambil tindakan tegas terhadap pihak pengurusan, termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Ads
Rita turut menambah, pelajar yang berani mengadu kepada ibu bapa apabila menjadi mangsa buli berisiko menerima layanan lebih buruk.
“Siapa mengadu pada ibu bapa kena lagi teruk, kena palau (dipulaukan) dan menjadi sasaran dengan pelajar lain, warden dan cikgu-cikgu.
“Anak saya mereka tak berani sentuh kerana mereka tahu akan masuk surat khabar,” katanya lagi.
Beliau berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma pada anaknya, sehingga menyamakan suasana di sekolah berasrama tersebut seperti penjara, walaupun ia berstatus sekolah agama. Lebih mengejutkan, Rita turut mendakwa ada guru yang bertindak kasar dengan menghantukkan kepala seorang pelajar ke papan tanda di depan mata anaknya.
Sehubungan itu, Rita menyeru ibu bapa supaya tidak takut untuk membuat laporan sekiranya anak terlibat dalam kes buli.
Ads
“Sekarang saya dedahkan, saya tahu bila saya buka mulut, pasti ada yang mengecam. Tetapi ada saya peduli? Kalau ada cerita, tolong laporkan sebelum benda jadi lagi teruk,” tegasnya.
Ramai mula ‘benci’ dengan lagu “Justice For Zara”? Ada yang kata patut sedekah Al-Fatihah saja. Kes melibatkan pelajar Tingkatan Satu dari Sabah, Allahyarham Zara Qairina terus mencuri perhatian rakyat Malaysia. Malah, orang ramai juga berkumpul dalam himpunan solidariti demi menuntut keadilan buat arwah.
Menariknya, seorang individu telah menghasilkan sebuah lagu berjudul “Justice For Zara” dengan memanfaatkan teknologi AI sebagai penyanyi utama. Lagu itu kini semakin mendapat tempat, bukan sahaja di media sosial malah turut dimainkan di corong radio.
Namun begitu, di sebalik sambutan yang menggalakkan, ada juga suara kurang senang. Beberapa individu meluahkan rasa tidak selesa dengan lagu berkenaan dan menyifatkannya sebagai kurang sesuai.
Menurut mereka, “lagu tersebut terlalu menjengkelkan dan membuatkan mereka mula berasa benci.”
Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa tanda solidariti sebenar lebih bermakna jika masyarakat mendoakan kesejahteraan arwah. Bagi mereka, mengalunkan doa atau membaca Al-Fatihah jauh lebih bermanfaat, bukan sahaja untuk Allahyarhamah tetapi juga memberi ganjaran pahala kepada yang mendengar.
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang meruntun jiwa. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis.
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Erma Fatima nasihat kes Anna dan ibu. Segala jasa dan pengorbanan ibu begitu mudah dinafikan sehinggakan ada ibu yang berendam air mata dek kerana kelakuan anak-anak.
Terbaru heboh di media sosial apabila ibu kepada pelakon popular Anna Jobling, Ariz Arop yang kecewa selepas menerima perintah injunksi bahkan menyifatkan anaknya sudah semakin lupa diri.
Menerusi perkongsian di Instagram, Erma Fatima memberikan nasihat tentang kes tersebut.
“Isu dalam kain bkn utk perkongsian social media. Ini punca cyber buli. Kita mengundang berbagai spekulasi masyarakat. Dan akhirnya akan terbitnya KENDURI KENCAMAN. Sapa yg akn jd mangsa?
“Netizen akn kupas isu luaran tanpa memahami apa terselindung di sebaliknya. Perbalahan emak dan anak itu biasa tapi kalau perlakuannya luarbiasa pasti ada sesuatu yg luarbiasa juga berlaku. Bak kata org..pokok tk goyang takde angin kalau bkn tangan kita sendiri menggoyangkannya.
“Byk cerita yg aku dengar sebelum ini isu mak ayah dgn anak bila anak dah jd HEBAT..POPULAR…Tapi ada jgk cerita yg aku dengar tak semua tu salah anak. Kdg2 ada juga emak ayah yg lbh sudu dari kuah. Bkn anak yg kena kejutan budaya..mak ayah yg culture shock. Tupun ada..jd kes Anna ni sapa kita utk menghukum?
“Hanya mereka sahaja yg tahu kebenarannya. Wallahualam. Jadi Korang tk pyhlh menyebok campur tambah garam gula lagi. Aku simbah cuka nanti baru tahu.
“Mak aku sekarang terkena kejutan LIVE tiktok. Dia lg popular dr aku,” luah Erma Fatima.
Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun mendiami mahligai serba mewah, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya membuat keputusan besar rumah agamnya bakal dicat semula sepenuhnya buat pertama kali!