
Rina Khan terkesima keperibadian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, “hampir 19 tahun tak jumpa, dirinya masih ingat saya.
Bekas penyanyi dan kini aktif sebagai penulis buku, Rina Khan berkongsi detik menyentuh hati apabila Dato’ Sri Siti Nurhaliza masih mengenalinya walaupun hampir 19 tahun tidak bertemu.
Menurut Rina, kekagumannya terhadap Siti bermula sejak penyanyi itu muncul dengan lagu Jerat Percintaan yang ketika itu meledak dalam industri muzik tempatan. Walaupun berada dalam industri yang sama, mereka jarang berpeluang bertemu.
Pertemuan pertama di KLCC
Rina Khan atau nama sebenarnya Sharifah Bibi Sarina Sidek Khan pernah aktif dalam industri seni sekitar awal 1990-an sebelum beralih menjadi penulis skrip dan terkini sebagai penulis buku. Dirinya pernah merakam dua album dan dikenali pengacara rancangan permainan TV3, Pop Kuiz bersama Aznil Nawawi berkata, kali terakhir dirinya Biduanita negara itu sekitar awal tahun 2000-an, di mana dirinya pernah terserempak dengan Dato Siti di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ketika penyanyi itu berada di sebuah butik bersama pasukannya.
“Orang ramai sudah mula mengerumuni beliau. Saya pula jenis yang segan nak menambah sesak suasana, jadi saya batalkan niat dan masuk ke butik lain.
“Beberapa minit kemudian, apabila saya keluar dan melintas di hadapan sebuah butik lain, saya nampak beliau di dalam butik itu pula. Kebetulan beliau sedang memandang ke arah saya tapi saya hanya senyum sekilas dan terus berjalan. Segan nak tegur.
“Apa yang saya langsung tak sangka. Tiba-tiba beliau bergegas keluar dari butik, datang menegur dan bersalam dengan saya. Siap cium tangan lagi! (masa tu saya rasa macam nak pengsan pun ada, bhahaha).
“Bayangkan perasaan saya waktu itu. Terkejut, terpaku, dan benar-benar terkesima. Kata Dato Siti, dirinya menegur kerana menghormati saya sebagai senior dalam industri. Sedangkan pada saya. Saya ini tak ada apa-apa pun kalau nak dibandingkan dengan beliau. Tapi sikapnya yang begitu merendah diri itulah yang membuatkan saya rasa macam mengalami satu perkara yang orang selalu sebut. Jatuh cinta pandang pertama. Bhahaha.

Peluang menulis lagu untuk Siti
Beberapa tahun kemudian, Rina diberi peluang menulis lirik untuk Siti menerusi lagu Ku Mahu yang dimuatkan dalam album Hadiah Daripada Hati pada tahun 2007.
Setahun selepas itu, beliau sekali lagi berpeluang menulis lirik untuk lagu Pada Cintanya. Namun selepas pelancaran album tersebut, mereka tidak lagi bertemu selama bertahun-tahun.
“Dari 2007 hingga hari ini — 2026, saya tidak pernah lagi terserempak atau bertemu beliau di mana-mana. Sehinggalah malam tadi.

Pertemuan semula selepas hampir dua dekad
“Saya berbuka puasa di KLGCC atas undangan seorang kawan. Ketika sedang berbual, tiba-tiba saya nampak Siti Nurhaliza masuk dewan bersama keluarganya.
“Kali ini saya tak mahu mengulangi situasi dulu. Saya tak mahu beliau pula yang datang kepada saya. Jadi saya terus bangun, berjalan ke arah beliau dan menyapa.
Saya minta izin untuk bergambar. Dan kemudian… sekali lagi saya terkesima.
“Beliau memandang saya seketika dan terus kata, “Eh, Kak Rina…”
Ya Allah. Beliau masih mengenali saya! Bayangkan… hampir 18 atau 19 tahun sejak kali terakhir kami bertemu. Saya pula bukanlah orang yang selalu muncul di majalah atau media. Wajah saya hari ini pun tentu sudah jauh berbeza daripada dulu. Tetapi beliau tetap mengenali saya. Saya!
Allahuakbar. Sungguh… saya terkesima.
MasyaAllah. Indah sungguh budi dan peribadi wanita bernama Siti Nurhaliza ini. Ada orang jatuh cinta pandang pertama. Saya pula… jatuh hati setiap kali memandang wanita yang sama.
Sekadar info untuk generasi muda hari ini, Rina Khan memulakan langkah dalam industri hiburan sebagai model catwalk pada usia 18 tahun sebelum bakatnya dikesan oleh eksekutif Polygram Records ketika itu, Billy Tan. Di bawah bimbingan penyanyi terkenal Aris Ariwatan, Rina kemudian merakamkan dua album studio solo iaitu Rina Khan Vol. 1 (1991) dan Rina Khan Vol. 2 (1992). Antara lagu yang pernah dipopularkannya termasuk Hentikan dan Dee Jay.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




