Kemenangan Pakatan Harapan pada PRU kali ini sekali gus mencatatkan sejarah baharu dalam sistem pemerintahan negara apabila berjaya menewaskan parti Barisan Nasional yang sentiasa dominan dalam menerajui pentadbiran politik negara Malaysia selama enam dekad.
Dengan emosi era baru, sebagai rakyat marhaen mungkin hati kaum wanita juga terselit rasa bahagia apabila mengimbas balik manifesto Pakatan Harapan. Salah satunya menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
Haaa… agak-agak apa perasaan mak-mak apabila keluar membeli barang dapur tanpa perlu membayar GST. Lagi best, Pakatan Harapan juga akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
Untungnya Kaum Wanita
Bagi wanita yang bekerja pula, pastinya bab gaji menjadi fokus apabila Pakatan Harapan mahu menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum. Lepas ini mak-mak tak adalah nak mengeluh pasal gaji yang tak seberapa ya. Dalam 100 hari, kita doakan moga semuanya dipermudahkan.
Apa yang menarik, Pakatan Harapan juga akan melaksanakan beberapa perkara lain menyasarkan hutang yang ditanggung peneroka dan lepasan universiti dan perlindungan untuk suri rumah dan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40). Dan antara lain manifesto lain yang menarik, mak-mak boleh semak sini:
Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.
Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Ads
Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
Mewujudkan skim kredit mikro untuk usahawan wanita.
Memberi insentif untuk penyediaan kemudahan penjagaan anak.
Membanyakkan program kesedaran awal pencegahan kanser serviks dan payudara.
Ads
Menjalankan program pemeriksaan mamogram dan pap smear.
Perancangan bandar mengambil kira faktor keselamatan wanita.
Skim KWSP untuk wanita dicarum oleh suami pada kadar 2%.
Mewajibkan latihan menghapuskan gangguan seksual kepada majikan.
Ads
Menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan Undang-undang Keluarga.
Memperkenalkan Rang Undang-undang Gangguan Seksual.
Menubuhkan Institut Latihan Politik dan Kempipinan Wanita Malaysia.
Memastikan 30 peratus pembuat dasar wanita.
Apa pun yang berlaku, menang tak megah dan kalah tak rebah. Bersyukur lah kita dibawah pemimpin yang baru, perubahan yang baru. Moga Allah pelihara MALAYSIA tanah air tercinta.
Ya Allah peliharalah Malaysia,satukanlah hati kami,jauhkan kami dari segala perpecahan,dari segala kebencian. Aamiinn.
“JAGA ALLAH, ALLAH JAGA KITA”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Shila Amzah dan suami Haris Idraki Elias terpilih menjadi penghias cover Mingguan Wanita Isu Mei, Volume 2 yang kini telah berada dipasaran. Banyak cerita-cerita menarik yang dikongsikan seperti keunikan pada majlis perkahwinan penyanyi berbakat besar ini serta perasaan dan perancangan selepas bergelar isteri. Berikut antara temubual eksklusif bersama wartawan Shahrina Azlin Abdullah.
Lima bulan mengikat tali pertunangan akhirnya pada tanggal 19 April 2018 menyaksikan penyatuan dua hati, antara pelantun lagu Patah Seribu, Nur Shahila Amir Amzah, 28, atau lebih dikenali dengan nama Shila Amzah dengan jejaka pilihan hati Haris Idraki Elias, 28.
Dengan sekali lafaz, Shila selamat diijabkabulkan oleh ayahnya ND Lala dan disaksikan oleh Ustaz Helmi Saadon dari Jabatan Agama Islam Selangor. Shila menerima mas kahwin berjumlah RM888 daripada pihak lelaki dengan jumlah hantaran yang dipersetujui keluarga tidak didedahkan. Pasangan ini telah disatukan dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di kediaman Shila Amzah itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai.
Bercerita tentang persiapan perkahwinan mereka berdua, menurut Shila, segala perancangan dibuat dalam masa dua bulan kerana jadual kerjanya yang padat. Namun Shila beruntung kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami selain pembantu peribadi yang banyak menyumbangkan tenaga dalam menjayakan majlis pernikahan dia dan Haris.
“Jadual kerja saya memang padat, jadi perancangan untuk majlis-majlis kami berdua di buat dalam masa dua bulan. Dari awal memang saya dah impikan bagaimana majlis perkahwinan saya nanti dan dibantu sepenuhnya oleh kawan baik merangkap pembantu peribadi saya, Aini. Untuk melancarkan majlis ini saya telah melantik perancang majlis iaitu ANH Events. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun sejujurnya tidak seperti yang saya harapkan sepenuhnya, tapi secara keseluruhan saya gembira kerana ia berjalan dengan lancar. Bagi saya itu semua dugaan biasa nak mendirikan rumah tangga itu pasti ada,” ulas Shila lagi.
Dalam lima majlis yang berlangsung, Shila telah menggunakan perkhidmatan Azura Couture untuk majlis Khatam Al-Quran, Majlis bertandang, Majlis berinai dan juga Majlis resepsi, manakala untuk Majlis pernikahannya pula, rekaan Nurita Harith menjadi pilihan raja sehari ini. Shila turut menggayakan rekaan Melinda Looi untuk persalinan selepas upacara pernikahan pada 19 April yang lalu.
“Bermula dengan majlis khatam Al-Quran, Azura sendiri yang pilih warna merah jambu lembut tapi dalam masa yang sama saya ada juga bagi idea untuk persalinan majlis saya itu. Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan baju-baju yang telah direka untuk saya oleh Azura Couture,” tambah Shila puas hati.
“Saya memang inginkan persalinan nikah rekaan Nurita Harith kerana saya rasa sentuhannya dapat menepati cita rasa saya. Lebih moden dan anggun. Syukur apa yang saya inginkan direalisasikan oleh Nurita Harith. Saya suka dan selesa dengan persalinan pernikahan saya itu.
“Saya memang suka berfesyen jadi saya mahu majlis perkahwinan saya direalisasikan dengan busana-busana idea saya dan juga pereka itu sendiri. kebanyakan rekaan baju saya pada kesemua majlis adalah hasil idea saya sendiri tapi dibantu dan diolah oleh pereka, begitu juga untuk dekorasi.”
Menjawab persoalan kenapa memilih warna hitam sebagai busana untuk majlis resepsi yang diadakan di Marriot, Putrajaya, jelas Shila
“Saya rasa warna hitam sangat ‘rare’ dan unik. Saya telah pun memakai pakaian berwarna putih sewaktu majlis akad nikah. Sebab saya memilih untuk memakai baju sanding berwarna hitam ialah kerana saya mahu kelihatan elegan dan saya seorang yang suka lari daripada kebiasaan. Kalau nak diikutkan mak saya pun tak suka dengan warna busana yang saya pilih untuk resepsi tersebut, lagi pula saya bukanlah penggemar warna-warna pastel, saya pun dah pakai 3 warna pastel dalam majlis sebelum ini, jadi untuk majlis resepsi yang terakhir saya pilih untuk memenuhi impian saya untuk memakai warna hitam. Saya nak nampak anggun, misteri, dan different untuk majlis saya itu,” terang Shila.
Shila menerima kejutan istimewa pada malam tersebut apabila kumpulan Ruffedge membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu Bila Rindu. Wajah Shila jelas kelihatan terkejut dan terharu melihat persembahan daripada Ruffedge yang didendangkan khas untuk majlisnya.Lebih istimewa lagi pada malam itu Shila Amzah turut menghadiahkan sebuah lagu baru dalam bahasa Mandarin yang dicipta khas untuk suaminya.
Saat diajukan perancangan berbulan madu kedua pasangan ini, menurut Shila dan Haris kedua mereka masih belum mempunyai perancangan kerana kekangan waktu dan masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
“ Sebenarnya saya dan Haris masih belum berbincang tentang bulan madu kerana kedua kami masing-masing sibuk. Tapi Insya-Allah selepas kami selesai pindah rumah perkara itu akan difikirkan bersama ke mana destinasi bulan madu kami,” ujarnya.
Tambah Shila lagi, selepas selesai semua urusan di Malaysia, dia akan mengikut Haris pulang dan tinggal bersama di London.
“Kami berdua tak mahu tinggal berjauhan lagi, sejak bertunang memang kami jarang sangat jumpa. Jadi saya ambil keputusan untuk tinggal bersama suami di London. Memang tak dinafikan kerjaya Shila memerlukan Shila sering berulang ke China, tapi Alhamdulillah suami Shila sangat menyokong. Dia tak kisah jika Shila perlu ke tempat lain untuk bekerja asalkan Shila kembali ke pangkuannya selepas selesai tugas Shila,” tambahnya tersenyum manis.
Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang gadis, bila mana sudah bergelar seorang isteri kepada jejaka yang berjaya mencuri hati. Begitu juga dengan Shila Amzah, dirinya kini terasa sudah sempurna dengan kehadiran suami di sisi.
“Saya rasa sangat happy dan bahagia. Saya rasa hidup saya dah sempurna. Pencarian saya sudah tamat dalam mencari cinta sejati yang akhirnya saya bertemu. Tak ada perkataan yang boleh saya gambarkan cuma apa yang boleh saya katakan saya bahagia dengan kehidupan baru saya ini,” ulas Shila.
Sebelum mengakhiri perbualan, Shila sempat memberi komen tentang perancangan keluarga atau lebih tepat lagi kesediaannya untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat,
“Sejujurnya saya dan suami tak pernah bincang secara mendalam sangat, tapi saya dan Haris bersetuju untuk rileks dahulu dan menjalani kehidupan suami isteri terlebih dahulu. we just want to spend a lil bit more time antara satu lain terlebih dahulu. Dengan perjalanan karier masing-masing yang sibuk tapi kalau ada rezeki kami mahu sepasang anak,” akhiri Shila.
Tahniah diucapkan buat Shila dan Haris, semoga ikatan perkahwinan yang terbina kekal hingga hujung nyawa.Selamat menjalani kehidupan baru. Jadi jangan lupa dapatkan majalah ini dipasaran. Banyak lagi cerita-cerita menarik lain yang dikongsikan.
Malang tidak berbau, itulah nasib yang menimpa pasangan bakal pengantin dari Zimbabwe ini.Dalam menanti saat bahagia disatukan sebagai suami isteri, kejadian tragis diserang buaya mengubah segalanya.
Pasangan ini diserang buaya hingga mengakibatkan pengantin perempuan kudung pada tangan kanannya dan mengalami kecederaan pada tangan kirinya. Namun pasangan ini tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah hospital di Zimbabwe walaupun baru 5 hari kejadian tersebut berlaku.Memang hebat dan berhati kental.
“Dalam tempoh seminggu, ‘mimpi ngeri’ itu bertukar menjadi pengalaman luar biasa dan menakjubkan,” kata warga Britain, Jamie Fox, 27.
Pada 30 April lalu, Fox bersama tunangnya, bekas pemain tenis, Zenele Ndlovu sedang berkanu di Sungai Zambezi yang juga merupakan antara sungai terpanjang di Afrika dan mereka diserang buaya secara tiba-tiba.
“Saya hanya mampu menjerit dan cuba untuk menyelamatkannya. Dia langsung tidak mengadu sakit selepas berjaya ditarik keluar dari sungai itu dalam keadaan berlumuran darah, mungkin kerana dia masih terkejut.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih hidup dan dapat meneruskan hari bersejarah kami walaupun lokasi bersejarah terpaksa ditukar kerana Ndlovu masih dirawat di hospital,” katanya.
Jelasnya lagi, dia melamar wanita bertuah itu pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama kira-kira 18 bulan.
“Kami berharap dapat menetap di Britain dan saya telah menguruskan visanya. Selepas segala urusan itu selesai, kami akan fikirkan pula tentang lokasi bulan madu,” ujarnya.
Apa-apa pun tahniah dan selamat pengantin baru buat pasangan ini. Tahniah juga buat pengantin lelaki yang tetap setia dan meneruskan perkahwinan ini walaupun, tunangnya telah kudung dan menjadi orang kurang upaya.
Setiap kali menjelang Ramadan ramai yang mencari peluang untuk berniaga, begitu juga dengan penyanyi terkenal yang kini muncul dengan single terbarunya Jutaan Purnama, Datin Alyah. Alyah menjelaskan sepanjang Ramadan ini dia begitu aktif berniaga dan setakat ini hanya sempat berbuka di rumah bersama suami pada hari pertama Ramadan.
“Hari pertama saja saya sempat berbuka di rumah, kemudian di Singapura kerana terlibat dalam festival jualan dan selebihnya saya berbuka di booth jualan bertempat di Festival Ramadan Putrajaya 2018. Memandangkan suami (Datuk Ramli MS) pun sibuk dengan persediaan konsert yang bakal diadakan di Singapura jadi kami jarang dapat berbuka bersama-sama.
“Bagi Ramadan tahun ini saya memang mahu memberi fokus sepenuhnya pada perniagaan barangan kosmetik dan contact lens. Barangan kosmetik seperti lipstick, serum, foundation, body suit dan barang-barang yang di endorse termasuk produk saya. Malah saya juga merupakan pengguna produk Limeshots dan membantu rakan iaitu Datin Yulia dalam menjual produk ini. Saya sangat teruja berniaga di bulan Ramadan. Walaupun berpuasa di samping rutin harian yang sangat sibuk, tetapi saya tetap diberikan peluang berniaga. Saya sesuaikan diri menjaga masa sebaik mungkin dan saya akan berada di Putrajaya selagi ada waktu lapang. Hampir setiap malam. Saya jenis yang tak kisah berada di booth dan jumpa dengan pelanggan. Berniaga dah lima tahun jadi mereka yang berurusan akan tahu komitmen saya. Saya sangat hargai perniagaan saya.
“Alhamdulillah sambutan orang ramai, amat memberangsangkan dan tidak dijangka. Hari-hari saya pergi booth dan lihat ramai orang. Boleh tengok kuasa pembeli memang tinggi. Berniaga di bulan Ramadan, lebih meriah. Di Putrajaya ini, sebelah bazar barangan, ada bazar makanan, ada 400 gerai, jadi sebelum orang beli makanan, mereka akan singgah.
“Saya juga ingin terima kasih kepada pihak penganjur kerana beri peluang pada saya berniaga ‘on ground’. Kerana kalau berniaga Online boleh buat di rumah atau di mana-mana, tetapi ini ‘offline’, dan inilah peluang yang baik diberikan pihak penganjur. Peluang yang saya inginkan kerana beri pengalaman pada diri untuk berniaga,” terang Alyah yang ditemui baru-baru ini semasa menghadiri majlis berbuka puasa anjuran produk Limeshots bertempat di Flora Terrace. Selain dirinya,
Ezlynn, turut sama hadir memeriahkan majlis ialah penyanyi Fynn Jamal, Datin Alyah dan pelakon, Riz Amin. Limeshots merupakan sebuah produk detox berkualiti yang diformulasi dari Belgium dan sudah pun berada di pasaran sejak beberapa bulan lalu. Ia turut berfungsi dengan baik untuk mengurangkan masalah sembelit, menaikkan seri wajah dan menurunkan berat badan.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, Alyah menjelaskan dia dan suami akan beraya di ibu kota.
“Tahun ini saya dan suami akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Memandangkan tahun ini kakak-kakak saya beraya di rumah suami jadi saya akan bawa mak datang ke sini dan beraya bersama kami,” terang Alyah.
Menyentuh tentang juadah hari raya kegemaran suaminya, Alyah menjelaskan Datuk Ramli merupakan seorang yang sangat simple.
“Datuk tak macam orang lain, memang dia simple sangat. Juadah raya dia masak Asam Pedas. Paling istimewa dia sendiri akan masak menu tersebut. Dia jenis yang tak kisah ada ketupat ke tidak. Saya pula dari kecil memang keluarga wajib ada ketupat dan rendang. Masa mula-mula kahwin memang rasa pelik tapi lepas lima tahun saya dah terbiasa dengan menu raya suami.
“Jadi antara menu wajib yang perlu ada selain juadah hari raya semestinya masak Asam Pedas. Pada suami yang penting bila hari raya ahli keluarga dapat berkumpul bersama,” sambung Alyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang wanita di India meninggal dunia akibat komplikasi selepas bersalin di rumah dengan bantuan suaminya yang dipercayai mengikuti panduan video YouTube.