Rezeki Anak Sulung. Hadiah Istimewa Porsche 718 Cayman Untuk Ammar Ahyan

Share

Demi memudahkan urusan seharian anak sulungnya, usahawan terkenal Datin Seri Shahida bersama suaminya Datuk Seri Aliff Syukri menghadiahkan sebuah kereta mewah Porsche 718 Cayman berwarna hitam kepada anak lelaki mereka, Ammar Ahyan.

Menurut Shahida, 40, pemberian bernilai kira-kira RM350,000 itu bukan sekadar hadiah mewah, tetapi juga satu kemudahan penting untuk kegunaan harian Ammar, khususnya bagi memudahkan perjalanan ke kolej. Katanya, niat mereka hanyalah untuk memudahkan urusan anak sulung itu dalam menempuh fasa dewasa.

Kejutan Porsche 718 Cayman Buat Ammar Ahyan

“Mama dan papa dah lama sebenarnya nak belikan kereta untuk Ammar. Dia pun dah besar dan ada lesen memandu. Senang nak pergi kolej. Ammar ini tak meminta pun, dia cuma kata janji ada kereta dah cukup,” ujar Shahida menerusi video di TikTok yang kini tular.

Beliau turut berkongsi momen manis ketika mengejutkan Ammar dengan kehadiran Porsche 718 Cayman tersebut. Reaksi teruja anak sulungnya itu jelas terpancar sebaik melihat kereta idaman itu berada di hadapan mata.

Hadiah Mewah Disertai Pesanan Bermakna

“Patutnya kereta ini sampai awal, tapi ada sedikit ‘delay’. Kami rahsiakan sebab nak buat kejutan. Nampak dia terkejut dan gembira bila nampak kereta baharu itu. Insya-Allah, rezeki akan datang juga untuk anak-anak mama yang lain bila tiba masanya,” katanya penuh kasih.

Namun di sebalik hadiah mewah itu, Datin Seri Shahida tidak lupa menitipkan pesanan bermakna buat Ammar agar tidak hanyut dengan kemewahan dunia.

“Untuk Ammar Ahyan, mama dengan papa nak pesan. dah ada kereta jangan lupa diri. Solat jangan tinggal, jangan riak, dan sentiasa tunduk ke bumi. Ingat, Allah boleh tarik bila-bila masa kalau kita tak bersyukur.”

Reaksi Ammar Ahyan Dan Sokongan Keluarga

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Ammar dilihat begitu teruja memandu Porsche 718 Cayman miliknya di pekarangan rumah mereka. Ramai warganet turut mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga Ammar terus berjaya dan menjadi anak yang soleh.

Selain Ammar, pasangan usahawan ini turut dikurniakan lima lagi cahaya mata iaitu Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. Mereka sering menjadi perhatian ramai kerana keakraban serta kasih sayang yang jelas terpancar dalam keluarga ini.

Hadiah Porsche 718 Cayman ini bukan sekadar simbol kemewahan, tetapi tanda kasih dan kepercayaan ibu bapa terhadap anak sulung yang kini melangkah ke alam dewasa dengan penuh tanggungjawab.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu