Selera

Resipi Bihun Sup Tumis Darat, Guna Daging Korban Lagi Sedap!

Share

Bila tiba musim raya Aidiladha, selain menu rendang dan sup tulang, ramai juga mencari idea hidangan berkuah yang lebih ringan tetapi tetap mengenyangkan. Antara menu yang semakin ramai suka ialah bihun sup tumis darat.

Ramai yang kata, rasa bihun sup tumis darat memang lebih sedap dan beraroma berbanding sup biasa.

Rahsianya terletak pada teknik tumis darat iaitu bawang dan rempah ditumis secara berasingan sebelum dimasukkan ke dalam sup yang telah siap dimasak.

Bila digabungkan pula dengan daging korban yang segar dan empuk, memang bertambah mantap rasanya.

Apa Itu Tumis Darat?

Bagi yang pertama kali mendengar istilah ini, tumis darat sebenarnya teknik tradisional dalam masakan Melayu.

Selepas sup siap dimasak, bawang merah, bawang putih dan rempah akan digoreng hingga naik bau dan garing sebelum dicampurkan ke dalam sup.

Teknik ini membuatkan kuah bihun sup jadi lebih wangi, berlemak dan mempunyai rasa yang lebih “deep”.

Sebab itu ramai penggemar masakan kampung lebih suka versi tumis darat kerana aroma bawangnya memang lain macam.

Bahan Untuk Sup

Untuk menghasilkan bihun sup yang sedap, bahan asas sup sangat penting terutama jika menggunakan daging korban.

Antara bahan diperlukan ialah:

  • 1 kilogram daging dipotong besar
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 3 biji bawang merah dimayang
  • 10 biji bawang putih dimayang
  • 1 rempah bunjut sup tulang
  • Air secukupnya

Bahan Tumis Darat

  • 3 biji bawang merah dimayang
  • 1 labu bawang putih dimayang
  • Rempah empat sekawan
  • Minyak masak secukupnya

Cara Buat Sup Daging

Langkah pertama, masukkan semua bahan sup ke dalam periuk bersama air secukupnya.

Kemudian biarkan ia mendidih perlahan sehingga daging menjadi empuk.

Petua penting untuk mendapatkan kuah bihun sup yang sedap adalah menggunakan api perlahan supaya rasa manis daging keluar secara semula jadi.

Selepas daging empuk, masukkan garam, sedikit perasa jika suka dan asam keping bagi menaikkan lagi rasa kuah.

Daging yang dipotong besar tadi juga boleh dihiris nipis sebelum dihidangkan supaya lebih mudah dimakan.

Rahsia Sedap Tumis Darat

Sementara sup sedang direnih, panaskan minyak untuk menyediakan tumis darat.

Masukkan bawang merah, bawang putih dan rempah empat sekawan.

Boleh juga gunakan rempah daripada bunjut sup yang dimasak tadi untuk menaikkan aroma.

Goreng sehingga bawang bertukar warna perang keemasan dan naik bau.

Kemudian terus masukkan tumisan tersebut ke dalam periuk sup.

Ketika inilah aroma bihun sup tumis darat mula memenuhi dapur dan membuatkan ramai tak sabar nak makan.

Cara Sediakan Bihun

Untuk bihun pula, panaskan air dan letakkan sedikit kunyit supaya warna bihun nampak lebih cantik.

Celur bihun sehingga lembut kemudian toskan.

Selain itu, jangan lupa sediakan sambal kicap sebagai pelengkap utama bihun sup.

Caranya mudah sahaja. Goreng cili padi, bawang merah dan bawang putih sebelum dikisar bersama kicap, sedikit cuka, garam dan gula.

Gabungan kuah sup panas bersama sambal kicap pedas memang buat ramai tambah berkali-kali.

Lagi Sedap Dengan Bawang Goreng

Sebelum dihidangkan, taburkan bawang goreng, daun bawang dan tauge jika suka.

Ada juga yang suka menambah hirisan daun sup dan limau nipis untuk rasa lebih segar.

Resipi bihun sup tumis darat ini memang sesuai dimakan waktu hujan, ketika berkumpul bersama keluarga atau dijadikan menu rumah terbuka Aidiladha.

Paling penting, penggunaan daging korban membuatkan rasa kuah jadi lebih asli dan berlemak manis.

Tak hairanlah ramai yang kata sekali cuba memang akan ulang buat lagi selepas ini.

Selamat mencuba!

Sumber: Teratak Eja

Published by
Farhana Syahirah