Remaja 17 tahun tikam ibu dan abang kandung hingga maut, tekanan belajar, sering dimarahi dikenal pasti jadi punca. Tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai punca seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lelaki menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, di sini pada awal pagi Khamis.
Insiden berlaku kira-kira jam 5 pagi, apabila remaja tersebut dikatakan masuk ke bilik ibunya yang juga seorang guru dan ibu tunggal, dan menyerangnya menggunakan pisau lipat. Mangsa, wanita berusia 51 tahun itu, maut di tempat kejadian akibat beberapa tikaman.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata ketika kejadian, anak sulung wanita itu yang berusia 21 tahun cuba campur tangan selepas menyedari kekecohan berlaku, namun turut menjadi mangsa tikaman sehingga menemui ajal. Mayat kedua-duanya ditemukan di ruang tamu rumah teres setingkat tersebut.
Seorang lagi anak lelaki mangsa, berusia 13 tahun, turut ditikam oleh suspek dan mengalami kecederaan serius. Mangsa kini sedang dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil di Hospital Melaka.
Menurut Dzulkhairi, siasatan awal menunjukkan suspek bertindak atas faktor tekanan emosi, rasa dendam dan perasaan terpendam kerana sering dimarahi oleh ibu dan abangnya. Tiada motif jenayah lain dikenal pasti buat masa ini.
“Tiada unsur lain selain tekanan perasaan. Ini lebih kepada masalah dalaman keluarga yang berlarutan. Suspek mendakwa sering dimarahi, dan tekanan itu akhirnya memuncak dalam bentuk tragedi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Susulan pembunuhan itu, suspek dipercayai cuba menyembunyikan senjata yang digunakan dengan memasukkannya ke dalam beg sekolah. Pakaian yang dipakai semasa kejadian dan dipercayai berdarah turut dibuang di kawasan semak berhampiran.
Ketika polis tiba di lokasi kejadian, remaja tersebut ditemui sedang duduk termenung di luar rumah, dipercayai dalam keadaan keliru dan tidak sedar sepenuhnya terhadap tindakan yang dilakukannya.
Maklumat jiran-jiran turut menyokong dakwaan berlaku ketegangan dalam rumah berkenaan, termasuk insiden pertengkaran yang kerap antara suspek dengan ibu dan abangnya. Rakaman CCTV milik jiran menunjukkan tiada orang luar memasuki rumah ketika kejadian berlaku.
Remaja terbabit telah ditahan pihak berkuasa dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kejadian yang menyayat hati melibatkan seorang ibu dan anak lelakinya yang ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah. Sementara itu, anak bongsu mereka pula ditemui berlumuran darah di kawasan garaj rumah tersebut.
Sehingga jam 9 pagi, pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi, diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, Timbalan Ketua Polis Melaka dan Asisten Komisioner Leow Kian Heong, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka.
Sumber: Sinar Harian 1 dan Sinar Harian 2
Baca artikel lain juga: Isteri Maut Dikelar Suami, Suspek Cuba Bakar Rumah Ibu Mentua
Pengasuh Didakwa Bunuh Anak Jagaan 3 Tahun, Menangis Teresak Ketika Dibawa Ke Mahkamah
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE