Inspirasi

Ratu Pecut SUKMA Lunaskan ‘Dendam Lama’, Raih Pingat Emas Acara 100M Wanita

Share

Teruja melihat kehebatan ratu pecut Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026. Namun di sebalik kejayaan anak muda ini, tersimpan perjalanan panjang penuh cabaran buat Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang terpaksa melalui pelbagai episod jatuh bangun sebelum menjejak podium tertinggi.

Ratu Pecut SUKMA Lunaskan ‘Dendam Lama’

Pelari pecut Terengganu itu bukan sahaja perlu bangkit daripada kekecewaan selepas sekadar meraih pingat perak acara 100 meter (m) dan 200m pada SUKMA Sarawak 2024, malah diuji dengan kecederaan retak jari kaki serta cabaran membahagikan masa antara latihan dan pelajaran ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, segala dugaan itu tidak mematahkan semangat atlet berusia 18 tahun berkenaan yang menjadikan setiap cabaran sebagai motivasi sebelum akhirnya menunaikan impian memenangi emas SUKMA.

Semalam, Izzatul membuktikan penantian selama dua tahun itu berbaloi apabila muncul juara acara 100m wanita dengan catatan 11.73 saat (s), sekali gus menewaskan atlet tuan rumah, Lim Mei Yin yang meraih perak selepas merekodkan 11.96s.

Pingat gangsa pula menjadi milik Alvinia Aivie Jack dari Sarawak menerusi catatan 12.07s.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas dia hanya mampu berpuas hati di tempat kedua pada edisi 2024 ketika usianya baru 16 tahun, sekali gus melunaskan kekecewaan yang disimpan sejak dua tahun lalu.

Raih Pingat Emas Acara 100M Wanita

Menerusi Berita Harian, Izzatul meluahkan, “Alhamdulillah dengan pencapaian saya ini. Walaupun saya tidak dapat mencatatkan rekod peribadi terbaik (PB), saya tetap teruja kerana akhirnya dapat pingat emas dan menebus kembali apa yang berlaku pada edisi 2024.

“Walaupun hujan renyai dan angin turut mempengaruhi perlumbaan, mental saya hanya fokus untuk melintasi garisan penamat dan mendapatkan pingat emas,” katanya.

Izzatul mengakui perjalanan menuju kejayaan itu bukan mudah apabila terpaksa berdepan pelbagai ujian selepas SUKMA Sarawak, termasuk kecederaan yang sedikit sebanyak mengganggu persiapannya.

Katanya, kecederaan yang dialami ketika itu tidak dilihat sebagai penghalang, sebaliknya dijadikan motivasi untuk kembali lebih kuat.

Cabaran terbesar hadir pada 2025 apabila Izzatul perlu membahagikan fokus antara latihan olahraga dan tanggungjawab sebagai pelajar.
Dalam tempoh itu, dia perlu mengurus jadual padat sebagai atlet selain membuat persediaan menghadapi SPM, namun berjaya membuktikan kemampuan apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A.
Dalam bidang olahraga pula, Izzatul terus mencipta kejayaan apabila meraih empat pingat emas selain memecahkan empat rekod kejohanan pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2025.
Tahun ini menjadi detik penting dalam kariernya apabila mewakili negara pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Oregon, Amerika Syarikat, sebelum kembali memperkuatkan Terengganu di SUKMA.
Selepas melengkapkan misi emas 100m SUKMA, Izzatul kini mengintai cabaran lebih besar di pentas antarabangsa, termasuk peluang beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sekiranya terpilih.
“Kalau ada rezeki dapat pergi ke Sukan Asia, saya akan buat sehabis baik dan doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Izzatul berkata, dia berkemungkinan besar akan membantu skuad 4x100m negara bersama pelari seperti Azreen Nabila Alias, Nurul Wardatul Huwaida Mohd, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy.
Published by
Nadia Mohamad