Selalunya bila mak-mak potong rambut di kedai, apa yang mak-mak buat dengan lebihan rambut yang sudah dipotong itu? Paling tidak kita biarkan tukang gunting uruskan.. betul tak?
Apatah lagi rambut itu sendiri adalah aurat bagi wanita. Yang mana ia ialah bahagian wajib yang perlu dipelihara daripada dilihat oleh mereka yang bukan mahram.
Namun, bagaimana cara yang sesuai malah terbaik untuk membuang atau melupuskan rambut yang telah dipotong supaya aurat wanita ini tak dilihat oleh sesiapa pun.
Ads
Hukum Memotong Rambut Bagi Wanita
Memotong rambut bagi wanita asalnya adalah diharuskan oleh syarak. Tetapi mestilah tidak menyerupai lelaki, meniru orang kafir dan selainnya.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim yang mana Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut mereka.
Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan hukum rambut wanita yang telah dipotong sama ada ia dikira sebagai aurat atau tidak.
Ads
Mazhab Syafie menyatakan, ia ialah aurat dan wajib dipelihara daripada pandangan bukan mahram.
Ads
Sementara itu, Mazhab Hanbali tidak menganggapnya sebagai aurat kerana ia perkara yang sukar dielakkan seperti rambut, bulu dan selainnya.
Cara Urus Lebihan Rambut Yang Dah Dipotong
Adapun, cara menguruskannya yang paling terbaik adalah dengan menanamnya dan ia termasuklah kuku dan bulu-bulu seperti pandangan Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dalam Mazhab Syafie.
Buat para jemaah umrah yang bakal melakukan ibadah umrah kali pertama, akan berdepan rasa teruja, tak sabar malah berdebar-debar sebaik jejak kaki ke tanah suci Mekah.
Mak ayah kita ini kalau bercerita pasal umrah, memang tak ingat dunia. Air teh dua tiga jag pun sekejap saja habis, tak perasan. Pendek kata sehari memang tak cukup woih.
Dia punya cerita memang bersemangat, dari bangun pagi sampailah ke larut malam. Kita anak-anak yang belum pernah jejakkan kaki ke sana dengar dan layankan sajalah walaupun tak faham. Tengok mereka seronok dan ketawa, sudah cukup buat kita tumpang gembira.
Baik kau jujur, faham ke tidak apa yang mereka duk cerita itu? Hihi. Okey tak apa, kau simpan dalam kepala saja jawapan itu.
Dulu aku pun tak faham sepatah apa walaupun pernah belajar, sebab ianya ibadat yang dilakukan jarang sekali. Iyalah, nak datang ke Mekah bukannya macam naik bas tiket harga dua kupang saja woih. Tambangnya mahal! Kena menabung sungguh-sungguh.
Begini kawan, ibadat umrah ini senang saja sebenarnya. Kau hanya perlu ingat empat benda iaitu,
niat umrah, tawaf, sai dan bercukur (atau bergunting).
Ini saja. Yang lain-lain itu kau letak tepi, tak usah peningkan kepala duk fikir okeh?
“Okeh, jadi macam mana perjalanannya?”
Baik jom kita pergi satu-satu. Oh ya sebelum terlupa, kita disunatkan untuk mandi dan bersihkan badan terlebih dahulu. Lagi molek jika sapukan minyak di rambut untuk lagi nampak kemas bagi yang berambut panjang.
Kemudian barulah memakai dua helai kain ihram bagi orang lelaki. Kain ihram ini seperti tuala berwarna putih dengan saiz yang besar. Satu dipakai seperti kain pelikat dan lagi satu diletakkan di badan. Bagi perempuan pula tak kisah nak pakai apa, asalkan sopan dan menutup aurat.
Bila dah siap sedia dengan kain ihram masing-masing, kita akan ke Masjid Bir Ali yang terletak di sempadan Tanah Haram Madinah untuk berniat. Memang kita kena mulakan niat di sini seperti yang disuruh oleh Nabi SAW bagi orang Madinah.
Usai saja melafazkan niat, maka secara automatiknya kita kena jaga diri dari melakukan segala perkara yang dilarang. Antaranya ialah mencabut rambut, memotong kuku, memakai bau-bauan, memburu binatang, akad nikah, bersetubuh dan bibit-bibit permulaan persetubuhan.
Juga terdapat larangan khusus bagi lelaki iaitu kena elakkan dari memakai pakaian berjahit yang membentuk tubuh badan tak kiralah pakaian di luar mahupun dalam. Dan tak boleh letakkan sesuatu untuk menutup kepala walaupun hanya sebiji kopiah.
Orang perempuan pula ditegah dari memakai niqab dan sarung tangan. Itu saja, ringkas.
Sepanjang perjalanan menuju ke Mekah, kita yang sedang berihram (yang berniat tadi) ini disunatkan agar perbanyakkan bacaan talbiah. Lafaznya senang saja, kita selalu dah dengar dari kecil lagi. Tambahan jika di musim Haji, televisyen tempatan akan selalu siarkannya. Nanti rujuk komen ya, saya letakkan di sana.
Setibanya di Mekah, lepas dah siap urusan check-in bilik, kita akan terus ke Masjdilharam untuk mulakan tawaf. Tawaf ini caranya adalah mengelilingi Kaabah (bangunan berbentuk kotak berwarna hitam yang berada di tengah masjid) sebanyak tujuh pusingan dengan melawan arah jam. Maksudnya bahu kiri kena menghadap ke arah Kaabah.
Namun sebelum itu, kita disunatkan untuk mendedahkan bahu kanan seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat dahulu. Kita akan mulakan tawaf dengan berada di garisan hajarul aswad (sebuah batu hitam yang berada di bucu Kaabah).
Biasanya sukar nak nampak fizikal hajarul aswad tersebut sebab orang ramai sangat, jadi kita ambil inisiatif lain dengan berpandukan lampu hijau yang berada di sebelah kanan kita. Memang dipasang tinggi dan senang dilihat untuk memudahkan para jemaah. Mesti pernah dengar kan mak ayah kita duk sebut pasal lampu hijau ini? Jadi inilah fungsinya.
Semasa tawaf, kau bacalah doa apa yang kau nak minta dari Tuhan. Bacalah zikir apa yang kau ingat. Ataupun jika nak baca al-Quran pun, silakanlah. Itu terserah pada kalian semua. Cumanya kalian perlu tahu yang tidak ada doa atau zikir khusus di sini. Hanya kalian yang tahu apa yang hati inginkan. Segala apa yang terbuku di jiwa.
Selesai tawaf tutuplah semula bahu kanan yang kita dedahkan tadi. Disunatkan pula untuk solat sunat tawaf sebanyak dua rakaat. Pada asalnya ia sunat dilaksanakan di belakang Maqam Ibrahim.
Namun jika keadaan tak mengizinkan sebab jemaah yang ramai, jadi kau carilah mana-mana tempat yang selesa. Fokus dan khusyuklah saat ini. Ambil peluang untuk berdoa pada Tuhan setiap kali sujud. Tak apalah lama sikit, asalkan kita berpuas hati.
Okey kita dah siap solat. Jom lakukan sai pula.
Ketika berjalan ke tempat sai, singgahlah dulu di tong air zamzam yang disediakan di sana. Minum sepuasnya. Jika waktu itu tengah panas terik, ambil air zamzam dan curahlah sedikit di kepala. Moga dapat sejukkan badan dan berikan kelegaan.
Untuk sai pula, senang saja. Kita hanya perlu berjalan dari kawasan yang bernama Safa ke Marwah, kemudian patah balik dari Marwah ke Safa sebanyak tujuh kali. Kiraannya begini, dari Safa ke Marwah dikira satu. Kemudian dari Marwah ke Safa pula dikira dua. Dan begitulah seterusnya tiga empat sampai tujuh.
Tak usah runsing terjadinya perlanggaran bila nak patah balik itu sebab dah ada laluan khas yang lurus untuk pergi dan balik. Di laluan ini pun ada lampu hijau juga. Apabila sampai di kawasan yang berlampu hijau itu, disunatkan bagi orang lelaki untuk berlari sekuat hati.
Antara benda yang ramai jemaah terlepas pandang adalah untuk berdoa setiap kali sampai di Safa dan Marwah. Jadi kalian kena cakna akan perkara ini. Berdoalah, mintalah apa yang kalian mahu dari Tuhan kerana inilah peluang yang sangat jarang kita perolehi.
Sepanjang perjalanan sai ini juga tiada zikir dan doa khas. Zikirlah apa saja yang kalian ingat. Doalah apa saja yang kalian mahu.
Kau kena pastikan kiraan yang ketujuh itu berakhir di Marwah. Saat ini adalah yang paling seronok. Iaitu melakukan aktiviti tahallul dengan mencukur atau menggunting rambut di kepala. Jika lelaki yang nak mencukur, boleh terus ke kedai yang berdekatan. Biasanya harga yang mereka ambil adalah 10 riyal sahaja. Memang licin habis mereka kerjakan. Hihi.
Orang perempuan yang nak menggunting rambut adalah dinasihatkan sangat agar lakukannya di hotel. Ramai sangat yang buat di Marwah sehingga terdedah auratnya pada orang ramai. Aduh ruginya begitu.
Kini kalian dah selesai melakukan umrah. Tahniah dan alhamdulillah. Segala larangan yang saya sebutkan tadi dah tak ada.
Begitulah secara ringkasnya perjalanan umrah yang mak dan ayah kita duk cerita selama ini. Yang ramai sahabat handai kita duk lakukan jika berkunjung ke Mekah. Dan moga-moga kalian juga dimurahkan rezeki untuk laksanakannya juga nanti. Aku harap yang ianya jelas dan difahami. Jika ada yang kurang jelas, boleh tanya di bawah ya.
Betapa konsep rezeki itu luas pengertiannya.Ramai yang terlepas pandang hakikat setiap rezeki yang diberikan itu datang daripadaNya sehinggakan tidak sedar tuhan dipersalahkan.Tuhan memberikan rezeki pada setiap hambaNya dalam pelbagai perkara. Apa yang penting bersyukurlah seadanya dan jangan sesekali merungut pada rezeki yang diberikan.
Ahad lalu pergi satu kenduri kahwin dah agak lewat petang.Saya cuma minum sahaja.Saya lihat tray buffet kekurangan lauk.Ketika minum di meja, seorang yang mengambil makanan datang duduk sekali dengan saya. “Tak makan ka?”Dia menegur. “Tidak,saya masih kenyang”Balas saya. “Tak ada lauk dah.Buat kenduri jemput orang ramai,lauk tak cukup.Malu pada orang,tinggal kuah saja..”Dia merungut.
“Saya rasa kita kena ingat,rezeki itu ditangan Allah, Allah yang menentukan apa yang kita dapat makan.Jika kita datang rumah kenduri, tak dapat makan,maka tiada rezekilah tu.Tuan rumah telah berusaha nak sediakan bagi cukup, mana ada tuan kenduri merancang untuk tak cukup.Tetapi Allah menentukan sebahagian orang tak dapat makan, maka tak cukuplah.Jadi bersyukurlah dengan apa yang ada meskipun sekadar kuah dan nasi.Bukan makan itu matlamat hadir kenduri,tetapi memenuhi jemputan dan menjalin ukhwah itu yang lebih utama”
Dia terdiam,merah padam mukanya.
Saya nak mengajak semua pembaca kepada hakikat rezeki ditangan tuhan.Jika pergi kenduri,apa yang tersedia itu rezeki kita, sedap ke tidak, berkenan ke tidak, tinggal kuah dan nasi saja ke, itulah rezeki kita.
Jangan sesekali bersungut kerana jika kita bersungut, kita sebenarnya merungut takdir tuhan.Tidak ada tuan kenduri yang mahu jamuannya tidak cukup, bahkan cukup atau tidak terletak kepada ketentuan Allah.Jika anda singgah di R & R dan dapati lauk habis, jangan bersungut kata pekedai tak reti berniaga, apa yang ada itulah rezeki kita.
Jika balik rumah,dibawah tudung saji hanya ada nasi dan ikan tamban tergeliat (bahasa kedah untuk ikan tamban kering)dengan sambal belacan makanlah, hanya itu rezeki kita.Jangan diherdik isteri yang memasak.Jika tiada rezeki,lauk dimasak jadi hangit,periok terbalik,ikan dilarikan kucing dan serba macam sebab tuhan akan jadikan.
Berlapang dadalah sebelum menuding tangan menyalahkan orang lain kerana takut kita tersalahkan tuhan.Jika nak makan sedap,nak makan banyak berusahalah sendiri.Jika hanya nak datang mencedok ke dalam pinggan,bersyukurlah dengan apa yang ada.Bukankah ini lebih baik,anda pulang dari jamuan dengan rasa lega dan reda,moga tuhan juga meredai.
Sabda nabi yang bermaksud janganlah mengeji makanan, makan apa yang kita suka,tinggalkan yang tidak suka.Apa yang tidak dapat disuap ke mulut kita itu adalah bukan rezeki kita.Kalau tak elok pada mata kita,tak sedap pada lidah kita,tinggalkan dan jangan merungut kerana anda mungkin merungut pada rezeki yang Allah beri.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi pesanan buat kita agar menghargai dan mensyukuri setiap rezeki yang diberikan.
Buat wanita dan isteri yang teraniaya, ada caranya bagi menamatkan ikatan perkahwinan yang dibina iaitu melalui tuntutan fasakh.Terdapat beberapa perkara yang membolehkan seorang isteri membuat tuntutan fasakh ini. Perlu tahu, tuntutan Fasakh adalah berbeza dengan lafaz talak. Kena jelas alasan cerai untuk menentukan penceraian yang akan dimohon.
Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri oleh qadi atas alasan-alasan yang diharuskan oleh syarak.
Fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.
a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
Fasakh dengan talak adalah berbeza. Fasakh ialah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya, manakala talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga).
Fasakh berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum asal, manakala talak pula tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim.
Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami, manakala talak mengurangkan bilangan talak.
Jadi, ada beza fasakh dengan penceraian melalui talak. Kena jelas alasan cerai untuk menentukan penceraian yang akan dimohon.
• Apabila isteri menuntut fasakh , mahkamah akan menyiasat alasan dan bukti yang dikemukakan.
• Jika sabit kesalahan dan tiada jalan untuk perdamaian, mahkamah akan membubarkan perkahwinan mereka.
• Suami isteri tidak boleh rujuk dalam tempoh idah
• Mereka boleh berkahwin semula dengan akad nikah dan mahar yang baru • Tidak mengurangi jumlah talak
• Talak suami tidak boleh berlaku ketika isteri dalam edah fasakh
• Isteri tidak berhak mendapat mu’taah jika dia yang memohon fasakh
• Isteri tidak berhak mendapat nafkah kecuali tempat tinggal (walaupun hamil)
1. Memberi peluang kepada isteri membuat tuntutan pembatalan perkahwinan.
2. Mengelakkan kemudaratan yang ditanggung isteri jika ikatan diteruskan.
3. Peringatan kepada suami agar bertanggungjawab menunaikan hak isteri.
4. Menghindarkan suasana yang tidak baik terhadap perkembangan fizikal, mental dan emosi anak.
5. Menyelamatkan aqidah isteri dan anak apabila suami murtad.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat para isteri yang teraniaya dengan kerenah suami, semoga berani melangkah, membuat keputusan tuntutan fasakh untuk kehidupan yang lebih baik.