
Ingat ya mak-mak, hospital ini bukan rumah kita sendiri yang boleh kita tayang aurat ikut suka. Lagi-lagi wad perempuan. Nama saja wad perempuan, petugas di dalamnya ada doktor lelaki mahupun jururawat lelaki.
Bagi mak-mak yang sememangnya menutup aurat, memakai tudung. Biarpun dalam wad perempuan, kadangkala mak-mak begitu mudah mendedahkan aurat yang sepatutnya dipelihara.
Dr Nur Hanisah, pegawai perubatan yang bertugas di negeri Kelantan mengakui realiti sebegini sememangnya berlaku. Semoga mak-mak yang membaca tulisan ini akan ambil ikhtibar dan sedar akan kesilapan yang dilakukan ketika diuji sakit fizikal.
Hospital Bukan Rumah
“Puan-puan… Ingat ya!
Hospital BUKAN rumah kita!”
Pesanan ringkas ini khas dititipkan buat golongan Hawa yang datang ke hospital. Tak kisahlah sama ada sebagai pesakit ataupun peneman.
Begini.
Selama saya bekerja di hospital, saya lihat, begitu ramai pesakit wanita yang ambil lewa soal aurat.
Kalau masuk ke wad perempuan, betapa ramai yang asalnya memakai tudung, namun ditanggalkan.
Betapa ramai yang membiarkan kaki terselak sehingga ke paras betis.
Paling saya hairan, semasa bekerja di posting sakit puan. Ada yang menyusu bayi dengan badan menghadap koridor tempat orang berjalan.
Tak Boleh Tayang Aurat Ikut Suka
Puan-puan, ingat ya!
Hospital bukan rumah kita. Para doktor bukan ahli keluarga yang boleh kita tayang ikut suka.
Bahkan, dengan ahli keluarga yang bukan mahram pun kita masih perlu menjaga, bukan?
Para suami mithali, ingat perkara ini.
Ajarkan isteri yang kalian tanggung dosa dan pahala.
Sakit bukan alasan untuk mendedahkan maruah (aurat) diri.
Sakit bukan permit untuk doktor melihat apa yang tak patut.
Hospital Pun Bukan Tempat Berkampung
Oh, ya.
Peneman pesakit pun begitu juga.
Hospital bukan tempat kita berkampung ikut suka.
Masa melawat, pakai tudung. Habis waktu melawat, berpakaian sarung.
Sekali lagi.
“Puan-puan… Ingat ya!
Hospital BUKAN rumah kita!”
Doktor dan misi lelaki ada di mana-mana. Mereka juga ada mata dan fitrah seorang manusia. Hormatilah mereka.
Hormati diri kita.
P/s: Sebarkan peringatan ini kepada isteri dan adik-beradik perempuan kita sekali, supaya mereka tetap menjaga aurat diri walau di mana saja mereka berada nanti.
Sumber/Foto : Nur Hanisah, Doktor Bukan Membebel
Beliau juga berkongsi kisah inspirasi di grup telegram : https://t.me/HospitalTarbiah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tulis WASIAT, Elak Waris Bergaduh, Tapi Kalau Keluarga ‘Faham Agama’, Tak Perlu Pun!

Perkara pertama yang sering dibangkitkan apabila seseorang yang meninggal dunia tentulah tentang wasiat dan harta yang ditinggalkan untuk waris. Sampaikan ada waris bergaduh hanya kerana harta yang sedikit yang direbutkan.
Sebenarnya, kebanyakan waris bergaduh tentulah harta yang ditinggalkan. Ada yang perlu diberi ikut faraid untuk anak-anak, isteri dan keluarga. Jika harta yang ditinggalkan itu banyak, bolehlah merasa sedikit seorang.
Tapi bagaimana pula harta yang ditinggalkan tak seberapa tapi tetap ada waris bergaduh dan berebut. Lebih menyedihkan bila isteri dan anak yang ditinggalkan tidak diberi keutamaan langsung.
Bagi yang faham agama, tidak akan timbul pun pasal wasiat. Tidak akan berlakunya waris bergaduh dan paling penting diberi sebaiknya pada waris yang sepatutnya, terutama isteri dan anak-anak yang akan meneruskan kehidupan yang mendatang.
Namun, tidak semua akan faham. Sebab kerana harta jugalah waris bergaduh dan berebut. Itulah kadang-kadang, pentingnya untuk tulis wasiat.
Kenapa nak kena tulis wasiat, inilah pandangan dan perkongsian yang diberikan oleh June Melur tentang perkara ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Buatlah WASIAT Demi Memudahkan Dan Melancarkan Kehidupan PEWARIS Yang Ditinggalkan
Akibat TIDAK JAGA HATI SUAMI, Isterinya Tidak Diberi Harta Kecuali Wasiat ‘Pengampunan’
Info Lebih Menarik DI SINI
Elak Waris Bergaduh, Tulislah Wasiat
Ada orang pelik kenapa saya suruh buat WASIAT. Maka saya terpanggil untuk jelaskan.
1. Sebaiknya, pergilah rujuk ustaz ustazah tentang hukum buat wasiat ni. Perlukah buat wasiat? Belajar bezakan hibah & faraid. Siapa patut dapat lebih atau siapa dapat sedikit bahagian. Nanti dah belajar pembahagian faraid, kena urut dada lebih sikit. Jika pakai logik akal nampak tak adil. Tapi kita kena ingat Allah tetapkan hukum bersebab.
2. Bak kata seorang ustaz di surau kami, “Jemaah kat sini yang rajin datang solat jemaah, rajin dengar kuliah, umrah dah banyak kali, belum tentu boleh akur/setuju dengan pembahagian harta ikut HUKUM FARAID.”
3. Saya belajar tentang keperluan wasiat ini sejak 2012-2013 masa masuk pengajian berkitab (kuliah tauhid & feqah). Pesan guru, “Wasiatkan walaupun sebatang pin.” So kot kot ada harta banyak ratus ribu, eloklah rangka wasiat sekarang untuk elakkan waris bergaduh selepas kita meninggal dunia.
4. Baru-baru ni bersembang dengan anak, kat madrasah mereka siap kena paksa tulis wasiat masing-masing masa belajar silibus wasiat (macam latihan praktikal lah…). Warden asrama beliau mempunyai buku khas wasiat yang selalu diupdate. Cth:- Hari ni ada hutang xxx. So jika meninggal, waris buka buku wasiat dan dah tahu apa nak buat.
5. Tahun ini, encik suami pun asyik ingatkan, tulislah wasiat. Sekiranya saya meninggal dunia, maka mudah pemegang amanah nak urus harta yang ditinggalkan dan senang waris nak tuntut bahagian masing-masing. Jadi, tiadalah konflik berpanjangan sehingga bermasam muka.
6. Baru-baru ini, duduk bersembang dengan abang long, beliau pesan. “Kalau semua ahli keluarga kita ‘faham agama’, tak wasiat pun takpe, tiada hibah pun tak pe. Semua bagi ikut faraid. Tapi kalau ada hajat nak bagi lebih, hibahkan semasa hidup. Lagi senang.”
7. Tahun 2019, saya sepatutnya jumpa lawyer untuk tulis wasiat. Tapi tertangguh sehingga hari ini.
8. Baru-baru ini, saya terbaca fb wall seorang lawyer yang baru meninggal dunia. Saya dah pm waris beliau untuk urusan beli Ebook Suratcara Hibah.
9. Baru-baru ni melintas pulak kisah perang mahkamah antara nenek dan 2 orang cucu kerana menuntut harta anak beliau yang meninggal dunia. Si mati ada harta puluh juta tapi tiada wasiat. Meninggal kerana plane crash. Tak sangka.. multimillionaire pun tak de wasiat.
10. Minggu lepas, seorang anak murid call minta pendapat tentang ‘strategi selamatkan’ harta ibunya yang bernilai ratusan ribu. Harta ni adakala boleh buat pening kepala.
11. Memandangkan pandemik ni, kita lihat sana-sini orang meninggal secara tetiba. #AJAL kita pun mungkin tak lama lagi jer ni. Jadi, eloklah start berwasiat. Why not?
12. Sejak April 2021 saya memang sedang kambus hutang (ada baki 50K loan rumah) dan dah senaraikan serba sedikit harta yang ada. Insy aAllah semua waris bakal dapat bahagian masing-masing sekiranya saya meninggal dunia. Malah dah bagitahu ahli keluarga tentang 2 aset yang dihibahkan. Sekiranya jika esok lusa saya meninggal, semua harta bahagi ikut faraid kecuali 2 aset yang telah dihibahkan.
13. Tapi kalau kalian rasa tak perlu ambil tahu bab wasiat, tak payah risau. Hidup saja macam biasa.
14. Harap-harap adalah ustaz ustazah kupas bab WASIAT, HIBAH, FARAID dengan lebih lengkap. Saya ni tak pandai nak syarah semula.
15. Maaflah saya tak pandai nak petik hadith berkaitan wasiat, hibah, faraid. Saya ni jenis belajar, tulis nota, apply ilmu. Bab menulis ilmu agama memang fail.
Semoga netizen dapat tenang-tenang yea. WASIAT tiada kaitan dengan Teori K dan wasiat adalah salah satu hukum dalam agama kita.
Mingguan Wanita : Begitulah pentingnya wasiat, sekurang-kurangnya jika harta yang banyak itu dapat dibahagiakan kepada yang selayaknya.
Sumber: June Melur
Baca Artikel Lain Lagi DI SINI: Setiap Harta Pusaka, WARIS Berhak Ke Atasnya Walaupun Hanya SEBATANG PEN
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Diuji Pelbagai Dugaan Hdup, Belajarlah Reda Dengan Takdir Allah SWT

Hidup adalah rentetan masalah yang tak akan pernah selesai. Berpuluh tahun kita dihempas ujian, letih, sedih, risau, takut dan sakit.
Sakit jasmani, sakit hati, sakit emosi, sakit akal berhadapan dengan pelbagai karenah manusia. Namun begitu Allah SWT memberi harapan pada yang menderita, letih dan risau:
“Cubaan akan menimpa mukmin dan mukminah, pada dirinya, anaknya, hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikit pun.” (Hadis sahih Sunan Al-Tirmizi).
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis ruangan KELUARGA SAKINAH di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Luar Jangkaan
Siapa sangka lelaki yang begitu sempurna menyayangi tiba-tiba menjadi amat menyakitkan isterinya. Tiada siapa tahu wanita yang pendiam dan taat akan berubah menjadi pengkhianat.
Anak yang kita doakan dan beri kehidupan mungkin akan tinggalkan kita tua sendirian, sakit, mati dalam rindu dendam. Harta dan pangkat yang kita jaga dan simpan demi waktu susah, akhirnya membuat kita tak percaya pada teman, saudara, keluarga. Kerana ada jenis manusia yang berperangai udang di sebalik batu, rupa-rupanya mengharap ‘sesuatu’ bila tak dilayan dia pun tak mahu berkawan.
Apabila garis takdir kita bermula daripada kemiskinan ,sesekali kita meraung kenapa aku yang dipilih. Terpaksa perut dihiris lapar, hati juga dihiris rasa malu dihina orang.
Beza Bahagia Dan Sedih
Berbicara tentang kesedihan dan kebahagiaan, bagai saudara kembar yang kadang tak mampu kita fahami perbezaan keduanya. Ada anak kita rasa susah tak ada anak pun susah, ada pasangan susah tak ada pun susah, bila kaya susah tak kaya pun susah, bila terkenal susah tidakpun susah.
Oh lemahnya manusia yang serba tidak sempurna, Maha Suci Allah dari sifat ketidaksempurnaan. Diciptakan kita yang lemah ini supaya kita bergantung pada Allah Yang Maha sempurna!
Jadi, akurlah apapun yang terjadi pada diri kita hari ini, esok dan selama-lamanya kita terima garis takdir kita sebagai sahabat!

Jangan Lari Daripada Masalah
Nak lari kemanapun masalah pasti mengejar kita, mahu tak mahu kena hadapinya. Kalau anda pilih menyerah padanlah muka terima segala derita, tetapi jika anda sudah berusaha setidak-tidaknya anda tidak menyesal bila tak berjaya. Seandainya suami anda bercinta dengan bekas teman sekolah, bagaimana anda menerima takdir ini?
Merajuk dan mengamuk kemudian anda berlagak suci sendiri dan sibuk dengan Tuhan? Silap, anda bukan memecahkan masalah tapi membiarkan ia semakin besar!
Buruk Bertukar Baik
Ikhtiarlah guna akal fikiran, belajar mencari punca masalah, bersemuka dengan suami jangan lari, berbincang sebagai manusia yang beriman, dapatkan bantuan kaunselor, orang alim yang amanah. Jika proses ini berjalan dengan baik tak satupun tertinggal dan anda sentiasa dalam keadaan positif tidak mustahil keburukan akan berubah menjadi kebaikan.
Tetapi jika takdir Allah menentukan suami bukan jodoh anda setelah bersusah payah berjuang, setidak-tidaknya anda berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang Allah putuskan. Allah tetap membalas usaha baik itu dengan pahala. Usaha menyelamatkan perkahwinan adalah jihad, menang atau gagal bukan urusan kita, ia kuasa Allah! Jangan lari dari medan perang, sungguh ia ladang pahala anda, ikhtiarlah sampai habis kudrat dan biarkan Allah penentunya.
Bertenang, Berdialog Dengan Suara-Suara Positif
Kenapa Allah datangkan ujian? Sebab ia syarat masuk syurga, disamping itu ia mengajar manusia mengenal kelemahan dirinya, belajar bersabar, belajar akur dan taat pada Allah walau apa jua rintangan sekalipun. Beginilah cara kita berdiaolog dengan hati kemudian kita cuba berdialog dengan buku, dengan ulama bijak pandai, dengan Al-Quran, dengan hadis, dengan doa-doa kepada Allah. Berdialoglah, berfikir positif, kawal diri jangan biarkan orang-orang yang negatif mengawal diri anda. Allah berfirman: “Pada diri kalian sendiri, apakah kamu tidak memperhatikan?” (Surah al-Zariyat ayat: 21)
Mungkin selama ini kita tak kenal diri kita sendiri, tetapi apabila ada masalah datang baru kita belajar memahami emosi. Nikmatilah setiap tangisan yang anda tumpahkan, nikmatilah kesedihan dengan indah iaitu menghadirkan sangka baik pada Allah, hanya sangka baik saja yang dapat menekan luapan marah. Segala tentang takdir Allah adalah baik, kita hanya dipersilakan mengutip pahala di sepanjang jalan ini sampai akhirnya mendapat kepuasan hati yang reda bertemu Allah SWT.
Betapa kita telah lama terluka oleh ujian dan musibah dalam perjalanan penjang menuju kematian, masihkah lagi kita mengeluh oh anakku menyakitiku, suamiku mengkhianatiku, hartaku menyusahkanku, pekerjaanku membebankanku? Ya Allah jadikanlah kami bersahabat dengan takdir-Mu!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pesan Ibu “Contohilah Ayah”, Allahu Banyaknya Kebaikan Buat Diri Terasa Kerdil Dan Malu

Pesan ibu “contohilah ayah”, Allahu banyaknya kebaikan buat diri terasa kerdil dan malu. Luahan dari Ustaz Wan Ali Akbar ini menyentuh perasaan setiap insan yang bergelar anak.
Air mata mengalir membaca setiap bait ayat yang dilontarkan hingga penulis sendiri teringatkan arwah bapa.
Mana tidaknya, kebaikan yang dilakukan sepanjang hayat Allahyarham Haji Wan Abdullah Haji Wan Long yang juga ayahanda kepada Ustaz Wan Ali Akbar ini memberi contoh terbaik. Bukan sekadar melunaskan tanggungjawab yang baik sebagai seorang bapa malah arwah juga melakukan banyak amalan hariannya boleh dijadikan contoh.
Pesan Ibu “Contohilah Ayah”
Benarlah apa yang dipesan oleh ibu Ustaz Wan Ali, selepas pemergian arwah ayah berulang kali dipesan kepada anak-anak agar mencontohi sikap ayah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat masyarakat di luar sana.

“Contohilah ayahanda…”
“Begitulah berulang kali kedengaran pesan bonda kepada kami anak-anak. Sebenarnya pesan ini memang selalu dialunkan sejak ayahanda masih ada lagi, namun makin kerap diulang-ulang oleh bonda selepas kematian ayahanda…
“Apa amalan ayahanda sampai bonda berpesan sedemikian?
1) ayahanda menjaga kesempurnaan solat. Bukan solat ye, tapi kesempurnaan solat. Jika kesempurnaan solat dijaga, solat apatah lagi.
“Dari sudut kebersihan, ayahanda akan mandi setiap kali sebelum solat (kecuali Solat Isya’ kerana ia dikira pakej sekali dengan Solat Maghrib). Bahkan, ketika rancak berniaga catering dulu pun, ayahanda tetap akan bergegas mandi sebelum solat.
“Ayahanda juga akan memastikan dia memakai pakaian terbaik. Baju Melayu atau kurta atau jubah, satu set matching warna dari kepala hingga ke kaki, sudah disiapkan bonda dalam rak bajunya, hanya tunggu untuk disarungkan sahaja. Baju dan kain pelekat juga matching warnanya dan tidak semberono dipakainya. Walau ketika sakit, solat di rumah, ayahanda tetap menjaga bahagian pakaian ini.
“Ayahanda juga pasti akan memakai wangi-wangian. Kalau dia lalu, sudah tentu semua akan terpesona dengan bau-bauan yang terbit daripada ayahanda. Semua orang juga dah tahu, waktu solat nak masuk kerana terbau wangian ayahanda.
“Ayahanda juga bersegera untuk solat. Memang kebiasaan ayahanda akan sampai awal ke masjid atau surau. Sampaikan ada AJK surau bercerita pada saya, “Kalau nampak Ayah Wan sampai, kita dah kelam kabut sebab dah tahu waktu solat dah hampir nak masuk.” Kalau hari Jumaat, jam 12.30 adalah waktu paling lambat untuk ayahanda menuju ke masjid sebab biasanya lebih awal daripada itu. Hal ini sangat dijaga, walaupun ketika sibuk menguruskan catering dulu pun, dia akan tinggalkan kerja yang ada untuk solat.
“Dalam bab menjaga kesempurnaan solat ini, kata bonda, memang menjadi amalan ayahanda sejak muda. Allahu…
“Sebelum meninggal, terutamanya ketika saya menjaga ayahanda di wad, kerap juga ayahanda tertinggal solat. Dia tidak sengaja, tapi keadaannya yang mamai menyebabkannya dia tidak sedar. Kami anak-anak hanya mampu membisikkan ke telinganya. Tapi, jika dia sedar, dia akan solat berkali-kali walau tanpa wudhuk. Pernah juga saya wudhukkan dia dan bisikkan ke telinga dia untuk solat, juga saya lihat dia solat berkali-kali. Saya fikir, mungkin dia qadha’ solat. Moga Allah ampuni dosa-dosanya.

2) ayahanda suka baca al-Quran, walaupun ayahanda tidak mahir baca al-Quran dan baca dengan gagap. Ayahanda tidak malu belajar al-Quran daripada bonda. Ayahanda juga suka duduk dekat dengan cucu-cucu ketika mereka membaca atau belajar al-Quran.
3) ayahanda suka baca buku. Hobi baca buku ini nampak lebih terserlah sejak ayahanda ‘pencen’ daripada berniaga. Sebelum ‘pencen’, ayahanda lebih banyak membaca surat khabar. Selepas ‘pencen’, ayahanda mula beralih kepada bahan bacaan yang lebih berat. Saya sendiri, apabila berkunjung ke PBAKL, memang ada bajet khusus untuk membeli buku untuknya.
4) Ayahanda suka bersedekah.
Saya pernah tengok, selepas dia dapat payment daripada pelanggan, dia kumpul sebahagian duit itu, diletakkan dalam sampul, lalu dimasukkan dalam tabung masjid. Agak tebal juga sampul tu. Saya sendiri tidak pasti berapa yang dia sedekahkan.
Pakaian dia juga, banyak yang dia telah hadiahkan kepada orang kampung. Sampaikan songkok UIA milik saya yang selalu dia pakai, saya tanya bonda selepas kematiannya, katanya telah diberikan kepada orang lain.
Makanan juga, dia suka hantar pada jiran-jiran. Anak-anak saudara dia yang susah-susah juga, kerap dia minta kami anak-anak untuk bank-in duit kepada mereka.
Kerap juga ayahanda membeli bukan dengan niat untuk memiliki, tetapi kerana ingin membantu peniaga. “Apa beli banyak sangat ni,” kata bonda. “Kesian tengok makcik tu menjual, takde sape beli,”jawabnya.
Ayahanda juga purposely membeli di kedai saudara mara untuk membantu mereka, walaupun harganya sedikit mahal daripada kedai lain yang lebih dekat.
Dengan cucu-cucu juga, pantang dengar sesuatu pencapaian, pasti ada alokasi duit khusus untuk mereka. Masuk IPT, dapat RM 1000. Dapat keputusan UPSR, PMR atau SPM, terima habuan lagi. Dapat masuk asrama, berjaya hafal Quran, semua ada hadiah berbentuk kewangan. Sampai tahap ayahanda mengumpul duit dan berkira-kira untuk tujuan tersebut. Allahu…
Ayahanda memang sangat pemurah.
5) Ayahanda tidak lokek ilmu. Ayahanda ada banyak ilmu, terutama yang dibina daripada pengalamannya. Saya kerap dengar, ada saudara mara dan kenalan yang suka datang ke rumah untuk dengar nasihat dan tips perniagaan daripada ayahanda. Tidak kurang juga yang datang untuk mendapat resepi rahsia air tangan ayahanda. Ada saudara mara kami yang kini membuka kedai bermodalkan resepi ayahanda dan mesin juga dibekalkan oleh ayahanda. Kekal hingga ke hari ini. Alhamdulillah. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaat dan kekal buat ayahanda.
6) ayahanda tidak suka berhutang. Alhamdulillah. Ayahanda pernah ditawarkan pinjaman daripada bank untuk modal perniagaan, tapi ayahanda tolak. Ayahanda tidak suka hidup mewah berhutang, sebaliknya ayahanda lebih selesa hidup sederhana bebas hutang.
7) ayahanda sangat menjaga silaturahim. Ayahanda pernah minta saya bawa dia ziarah saudara maranya, yang sedekat sekitar Terengganu dan jauh sehingga ke Johor. Saudara mara dia juga sentiasa dalam ingatan dan dia sangat cakna dengan perkembangan saudara maranya. Jika susah, dia akan pesan agar dikirimkan duit untuk mereka. Jika mereka berniaga, ayahanda selalu pesan untuk membeli di kedainya. Saya pernah kena marah dan dipersoalkan, kenapa tidak beli di kedai saudara mara sebaliknya membeli di kedai lain. Allahu…
“Ayahanda memang support peniaga Muslim. Saya pernah dipersoal, kenapa beli jam di kedai bukan Islam, di kala ada orang Islam yang turut buka kedai jam? Allahu…
“Banyak lagi amalan ayahanda yang setiap satunya pasti akan dinilai oleh Allah.
“Ayahanda, Jannah buatmu, insya’Allah. Moga kita ketemu di sana,” kongsi Ustaz Wan Ali.

Mingguan Wanita : Semoga perkongsian ini memberi manfaat berguna buat kita sebagai seorang anak.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Wan Ali Akbar
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Hidup satu kaki, ibu anak 4 ini tidak sesekali mengalah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

