Secara jujur, apa perasaan anda bila Ramadan berlalu pergi? Kita terpaksa menunggu setahun lagi untuk bertemu Ramadan yang akan datang. Banyak perkara boleh terjadi dalam tempoh setahun ini. Adakah kita bakal diberi kesempatan untuk bertemu Ram adan yang akan datang atau inilah Ramadan kita yang terakhir?

Muhasabah ini patut dinilai pada diri masing-masing. Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa untuk umat Nabi Muhammad s.a.w, yang dianugerahkan khas oleh Allah SWT sebagai tanda kasih sayang-Nya.

Sesungguhnya agak malang bagi jiwa-jiwa yang tidak merasai apa-apa bila Ramadan berlalu pergi. Agaknya jiwa sebegini merupakan jiwa-jiwa yang dimatikan oleh Allah SWT lantas nikmat dan keagungan Ramadan langsung tidak berbekas di dalam hati-hati mereka. Jika kita dalam kelompok ini maka cepat-cepat lah beristighfar agar kejahilan dan kelalaian itu diampunkan dan hati ini dihidupkan kembali dengan sinaran cahaya iman dan takwa daripada-Nya.

Ramadan Berlalu Pergi, Istiqomah Hati Untuk Terus Beribadah

Makna kehidupan sebenar

Mana mungkin Ramadan selama sebulan itu tidak memberi bekas kepada diri individu muslim mukmin kerana Ramadan dan segala keistimewaan yang ada di dalamnya mengajar kita erti kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat yang kekal abadi. Kehidupan dunia hanya sementara serta sebagai jambatan menuju ke alam yang kekal abadi tersebut. Pecutan kehidupan Ramadan adalah pecutan menuju kehidupan akhirat dengan segala keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT.

IKLAN

Matlamat kehidupan sebenar inilah yang diingatkan kembali oleh Allah SWT dan Rasul-Nya bila bulan Ramadan menjelma saban tahun. Peluang pengampunan segala dosa diberi seluas-luasnya. Kesempatan meraih ganjaran kebaikan untuk bekalan ke akhirat dilipat-gandakan hingga tidak terhitung banyaknya. Allah SWT melimpahkan segala sifat kasih-sayang (al-Rahman dan al-Rahim) dan keampunan-Nya untuk direbut oleh hamba-hamba-Nya yang sudi menerima tawaran yang sangat luar biasa.

Bila ditanya, apa kerinduan kita setelah Ramadan berlalu pergi? Kita sepatutnya sentiasa merindui rahmat, keampunan dan keselamatan daripada azab api neraka sepertimana hadis tentang Ramadan yang sering diperdengarkan, “Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya selamat daripada api neraka.”

Sudah tentu kita sentiasa merindui malam Lailatul Qadar kerana ganjarannya melebihi seribu bulan. Mana mungkin seseorang pasti boleh hidup hingga 1000 bulan!, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 – 3)

IKLAN

Maka fahamlah kita kenapa Rasulullah s.a.w pernah menyebutkan bahawa sekiranya umat ini mengetahui tentang kebaikan-kebaikan yang Allah SWT sediakan pada bulan Ramadan, nescaya mereka mengharapkan agar sebelas bulan yang lain dalam setahun itu dijadikan seperti bulan Ramadan.

 Budaya Beribadah

Bila mana berlalunya Ramadan, maka berlalulah juga segala keberkatan bulan ini. Namun perjuangan hidup perlu diteruskan. Apa yang tinggal untuk dihayati pastinya semangat positif serta hasil tarbiah yang dilalui sepanjang Ramadan, yang perlu dijana sebaiknya sebagai bekalan kehidupan.

IKLAN

Semangat positif inilah yang ingin dikekalkan. Individu menjaga anggota lahiriah dan batiniah daripada terjebak dalam tindakan negatif dan mungkar. Semangat untuk beramal amat tinggi. Terasa ringan untuk memperbanyakkan amal ibadah. Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan menjadi budaya. Istiqamah beramal tanpa rasa letih dan jemu tidak kira siang atau malam.

Tarbiah Ramadan fokusnya adalah mendidik hati setiap insan supaya menjadi bersih dan lembut. Hati yang bersih akan dilimpahi sifat-sifat mulia dan positif. Hati yang lembut akan tersentuh dengan pancaran cahaya Ilahi hingga tunduk patuh mentaati-Nya sepenuh keikhlasan. Semoga Ramadan kali ini benar-benar terkesan dalam sanubari kita semua. Mudah-mudah kita direzekikan untuk bertemu Ramadan yang akan datang, insya-Allah.

Artikel disumbangkan oleh Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ Holistic Solution, yang juga penulis tetap ruangan Mencari Keredaanmu di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI