Dewasa ini sering kali tular video-video yang kurang sopan atau lebih tepat lagi video intim yang membabitkan selebriti-selebriti terkenal, malah juga orang awam. seiring dengan teknologi yang pesat dengan penggunaan media sosial secara berleluasa menggalakkan lagi penyebaran video-video sebegini secara meluas. Natijahnya, tuan empunya badan yang menerima padah, dikecam netizen dan sebagainya. Itu semua salah sendiri atau saja akibat perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain menyebarkan kandungan video yang tidak sepatutnya ditonton oleh jutaan orang di media sosial dan juga internet. bersama Prof Madya Dr. Mohd Nor Mamat, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, mengupas lebih lanjut tentang permasalahan ini.

menurut Prof. Madya Dr. Mohd Nor ada beberapa faktor sebenarnya yang menyumbang kepada perkara sebegini, tidak dinafikan ada sebilangan daripada kita yang sekadar suka-suka untuk merakam perbuatan sebegini. Barangkali pada awalnya, untuk suka-suka, ataupun sebagai simpanan dan kadangkala gurau senda hiburan antara suami isteri. Walaupun mungkin hanya sekadar hiburan buat suami isteri pada asasnya tetapi dalam kecanggihan teknologi pada masa sekarang apatah lagi kita hidup dalam dunia sentiasa ‘connected’ dengan semua orang, ia bakal mengundang risiko yang tinggi.

Perbuatan sebegini bertambah buruk kesannya jika dilakukan dengan tujuan yang tidak baik seperti menyimpan kenangan hubungan yang terlarang, tidak sah ataupun dipaksa semata-mata untuk tujuan ugutan di kemudian hari.

Risiko tersebar

Sememangnya perbuatan sebegini mempunyai risiko tinggi apabila kita sentiasa inter connected, menyebabkan mungkin tanpa sengaja di kemaskini di atas talian secara automatik. Mungkin juga dengan hanya tersilap satu klik, lalu menyebabkan ia tersebar dan tidak lagi berada dalam kawalan kita. Malah kalau tidak tersebar sekalipun, simpanan pada telefon bimbit kita juga berisiko, contohnya jika telefon bimbit kita hilang dan sekiranya dijumpai oleh orang lain. Maka apa yang terkandung dalam telefon tersebut mungkin bakal tersebar jika ia sesuatu yang menurut mereka bakal tular atau dapat meraih perhatian orang ramai.

Kalau untuk suami isteri, rasanya tidak ada keperluan untuk bermain-main atau bergurau suka-suka merekod dan menyimpan video sebegini kerana hubungan kita adalah sah dan boleh berulang pada bila-bila masa. Ada kemungkinan ia barangkali berlaku untuk pasangan yang tinggal berjauhan, tetapi masih juga bukan penyelesaian terbaik. tapi sekiranya ini berlaku dikalangan pasangan yang bukan suami isteri, barangkali ada desakan untuk merakamnya sebagai kenangan ataupun peneman di kala berjauhan, tetapi jelas ia adalah diharamkan sejak daripada awal lagi. Bukannya diharamkan merakam, tetapi lebih diharamkan bergaul bebas apatah lagi menjalin hubungan sebegini. Kalaupun ia tidak dirakamkan, ia tetap juga diharamkan. Hubungan seksual begini biasanya didominasi oleh kehendak nafsu fitrah orang lelaki, kerana itu wanita-wanita yang berwaspada perlulah lebih menjaga pergaulan dan akhlak masing-masing, demi mengelakkan kita menjadi mangsa lelaki yang tidak bertanggungjawab, ataupun terjerat dengan penyesalan yang tidak boleh dipadamkan.

IKLAN

Islam mengajar kita mencegah berbanding merawat setelah segalanya tidak boleh ubah.

1. Elakkan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan kita mungkin tahu boleh timbulkan fitnah

2. Sekiranya suami isteri,tidak perlulah ada rakaman untuk tatapan kita sendiri malah Rasulullah SAW sendiri mengajar adab tidur bersama mestilah dalam selimut dan tidak wajar dilihat

3. Isteri terutamanya, waspada dan elakkan daripada bersetuju untuk dirakam walaupun terhadap suami tersayang. Kerana risikonya adalah berat membebani kaum wanita.

IKLAN

4. Situasi ini juga tidak mudah berlaku jika kita melakukan hubungan seksual mengikut adab-adab yang Allah tentukan iaitu dalam selimut, bilik tertutup, elakkan diketahui orang lain dan tidak menceritakan atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain, ertinya tidak ada ruang untuk dikongsi atau disebarkan langsung.

5.Bagi yang terkena atau menjadi mangsa, elakkan risiko dan malu yang lebih besar dengan segera buat laporan kepada pihak autoriti untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Salah satu sindrom gangguan psikologi

IKLAN

Perkara sebegini boleh dianggap ada sindrom gangguan psikologi bila terlalu obses dengan aktiviti merakam dan menonton  perlakuan seksual sebegini, apatah melihat perlakuan diri sendiri. Prof. Madya Dr. Mohd Nor berpendapat, tidak ramai yg melakukan aktiviti ini kerana sindrom penyakit psikologi begini, tetapi lebih ramai yang melakukannya dengan niat dan tujuan yang tidak baik sama ada untuk tujuan memuaskan nafsu, ataupun untuk tujuan ugutan dan memalukan pasangan.

Oleh yang demikian elakkan daripada berlaku perlakuan seksual secara haram dengan pasangan, kerana kes sebegini lebih mudah berkait dengan tujuan jahat, kalau dirakam. Bagi pasangan suami isteri pula, budayakan hubungan seksual itu sebagai ibadah. Ia bukanlah semata-mata hiburan untuk dirakam dan dijadikan aktiviti main-main. Walaupun tidak salah pada asasnya tetapi risiko yang mungkin berlaku perlu diambilkira dan waspada. Mungkin ada sesetengah yang suka menonton semula ataupun berkongsi dengan orang lain, tetapi ia termasuk dalam tabiat songsang atau penyakit psikologi.

Haram jika ada risiko negatif

Perkembangan teknologi yang terlalu pesat seperti media sosial dan sebagainya memberi maklumat di hujung jari dan penularan berita-berita sensasi seperti ini akan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya anak muda dan juga kanak-kanak. Ini antara ruang-ruang negatif yang wujud dalam persekitaran teknologi serba canggih hari ini. Mudahnya merakam aksi-aksi yang tidak sepatutnya, malah mungkin juga secara sembunyi dengan kamera mini ataupun mikro juga salah satu faktor mudahnya tersebar atau tersilap sebar dengan hanya satu klik dan rangkaian komunikasi yang sedia ada di mana-mana pada zaman ini.

Tambah Prof. Madya Dr. Mohd Nor lagi, dari sudut agama, secara asasnya merakam dan menyimpan perlakuan seksual kita dan pasangan yang sah tidaklah salah atau diharamkan secara mutlak ataupun qat’ie. Tetapi jika dilihat pada sudut lagha ataupun sia-sia, ia mungkin termasuk yang makruh. Namun jika melihat kepada risiko negatif yang banyak, ia boleh menjadi haram. Sebaiknya, tanpa sebarang tujuan yang konkrit dan rasional, elakkan daripada melakukan perkara yang tidak berguna dan sia-sia, apatah lagi bahayanya lebih besar kemungkinan terhasil.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI