Dalam hidup seorang wanita, setiap hari adalah perjalanan. Dari menghantar anak ke sekolah, mengejar masa di pejabat, balik memasak, dan kadang-kadang terpaksa ketepikan diri sendiri demi semua orang. Tapi bagaimana kalau ada sesuatu yang benar-benar memahami rentak hidup ini?
Itulah yang cuba disampaikan oleh Proton e.MAS 7 melalui program gaya hidup eksklusif “The Real e.MAS Drive”, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Meskipun penulis merupakan antara pengguna kenderaan elektrik, namun rasa teruja untuk mencuba kenderaan elektrik negara ini tetap membuak apatah lagi kerana ia didatangkan dalam nuansa kegemaran penulis, Turquoise Green, namun warna Quartz Rose juga menarik perhatian apatah lagi ia amat sesuai untuk pemandu wanita.
“Kami tak mahu sekadar pamer teknologi. Kami mahu wanita rasa difahami, dibantu dan diberi kekuatan untuk terus melangkah,” kata Puan Salawati Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Jenama PRO-NET ketika sesi pengenalan kepada beberapa rakan media wanita yang teruja pertama kali memandu sendiri kenderaan elektrik ini.
Diadakan pada 14 Mei 2025 lalu, program ini menghimpunkan media dan pempengaruh wanita untuk merasai sendiri bagaimana e.MAS 7 bukan hanya sebuah kenderaan elektrik tapi sebuah inovasi yang direka dengan memahami keperluan seorang wanita.
Acara bermula di Proton COE, Shah Alam dengan sesi taklimat produk dan keselamatan oleh pasukan e.MAS 7. Apa yang wanita perlu tahu tentang Proton e.MAS 7 ialah ia bukan sekadar kenderaan elektrik tetapi teman pintar yang memahami keperluan harian wanita moden.
Dari aspek keselamatan bertaraf 5 bintang, pengecasan pantas hanya 10 minit untuk tambahan 135km, hinggalah ruang dalaman yang luas dengan 33 ruang simpanan e.MAS 7 direka untuk menyokong wanita dalam pelbagai peranan, sebagai ibu, isteri, pekerja, usahawan atau wanita berdikari.
Dilengkapi teknologi pintar seperti sistem bantuan pemanduan (ADAS), aplikasi peta pengecasan dalam satu platform, dan ciri praktikal seperti fungsi Vehicle-to-Load (V2L), ia membolehkan wanita bergerak dengan lebih yakin, selamat dan bergaya tanpa perlu mengorbankan masa, keselesaan atau kewangan.
Konvoi e.MAS 7 kemudian bergerak menuju Tiarasa Escapes, Janda Baik untuk merasai sendiri kelancaran dan keselesaan pemanduan. Perjalanan dari Shah Alam ke Tiarasa Escapes, Janda Baik bukan sekadar test drive
ia adalah simbol kepada perjalanan harian seorang wanita yang perlukan ruang untuk bernafas.Setibanya di Janda Baik, antara momen paling menarik perhatian penulis ialah demonstrasi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), di mana e.MAS 7 digunakan untuk menghidupkan Vitality Juice Bar! Siapa sangka, dari mengecas blender ke kipas mini, semuanya boleh dengan sokongan kuasa daripada kereta ini.
Fungsi V2L yang dipamerkan pada hari itu sangat ‘dekat’ dengan hati wanita — bila kereta boleh jadi sumber tenaga untuk blender jus, kipas kecil atau lampu khemah keluarga, kita tahu kereta ini bukan sekadar cantik di luar, tapi berguna dalam situasi sebenar!
Selain itu, rombongan media dibawa menyertai sesi yoga sambil menghirup udara segar, dan alunan alam memberi satu peringatan, bahawa wanita juga berhak untuk ambil masa untuk berehat seketika dan jaga diri.
Dalam perjalanan pulang, peserta singgah sebentar di Bamboo Hills untuk menyaksikan demonstrasi pengecasan pantas DC Handal. Dengan hanya 10 minit pengecasan, e.MAS 7 boleh menambah jarak pemanduan hingga 135km, cukup untuk satu hari penuh urusan harian.
Lebih hebat, semua maklumat stesen pengecas kini boleh diakses melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu dalam Aplikasi Proton e.MAS membolehkan wanita tak perlu lagi pening membuka banyak aplikasi untuk mengecas kenderaan. Satu perkara yang perlu diberi pujian!
Sebagai penulis, pengalaman memandu Proton e.MAS 7 bukan sekadar tentang mencuba kereta baharu, tetapi ia adalah perjalanan yang membuka mata tentang bagaimana sebuah kenderaan boleh benar-benar menyatu dengan keperluan seorang wanita moden.
Dari keselesaan tempat duduk, senyapnya kabin, hinggalah teknologi pintar yang mudah difahami, semuanya terasa seperti direka khusus untuk memudahkan hidup. Apabila melihat sendiri bagaimana ia mampu mengecas peralatan luar atau menambah jarak pemanduan hanya dalam beberapa minit, saya sedar… ini bukan sekadar EV, ini adalah revolusi gaya hidup yang patut dinikmati lebih ramai wanita.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.