Menjadi impian setiap mak ayah inginkan anak cemerlang dalam pelajaran sekaligus dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi demi mengejar cita-cita untuk berjaya dalam kehidupan.

Gara-gara pandemik COVID-19, tak dinafikan ramai yang terkesan dan buntu apabila kehilangan sumber pendapatan. Sedangkan banyak urusan yang perlu dilunaskan termasuklah perbelanjaan harian mahupun yuran pengajian anak untuk sambung belajar di universiti.

Putus Punca Pendapatan

Ibu tunggal yang putus punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini buntu memikirkan nasib anaknya yang ditawar melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.

Siti Katijah Md Tahir, 38, berkata, dia buntu untuk mencari wang bagi membiayai kos pengajian selain keperluan anaknya, Putri Najiha Azni, 18, yang ditawar mengikuti pengajian Asasi Sains Fizikal di Universiti berkenaan.

Menurutnya, dia memerlukan RM1,950 untuk membolehkan anaknya itu melanjutkan pengajian.

“Saya resah untuk cari wang bagi biayai kos meliputi yuran penggajian, kolej kediaman, serta yuran perkhidmatan berjumlah RM1,950 sebelum tarikh kemasukan ke universiti berkenaan pada 27 Jun depan,” katanya.

IKLAN

Katanya, dia yang berpisah dengan bekas suami sejak setahun lalu menghidap penyakit lelah.

“Sebab itu saya terpaksa berhenti kerja sebagai pengemas bilik di sebuah motel pada Februari lalu dan mengambil keputusan berniaga sendiri dengan menjual nasi lemak.

“Bagaimanapun, pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu menyebabkan dia yang kini menumpang di rumah ibu angkatnya putus punca rezeki dan kini mengambil upah membuat bantal kekabu yang hanya cukup untuk perbelanjaan harian.

“Sebelum berpisah dengan suami lagi kami sekeluarga hidup susah. Ketiga-tiga anak termasuk seorang lagi yang masih bersekolah di bawah jagaan saya manakala anak sulung berusia 21 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM40 sehari,” katanya.

IKLAN

Risau Gagal Jelaskan Yuran

Siti Katijah berkata, dia bimbang jika gagal menjelaskan yuran yang dikehendaki, anaknya terlepas peluang menyambung pengajian dalam bidang diminatinya.

“Ini sekali gus membantutkan harapan kami kepadanya bagi mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu angkatnya di Kampung Basong, di Kuala Kangsar, hari ini.

Peluang Ubah Nasib Keluarga

Sementara itu, Putri Najiha yang memperoleh keputusan 8A 2B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berkata, guru-guru di sekolahnya turut meletakkan harapan tinggi kepadanya supaya dapat menyambung pelajaran sehingga bergelar jurutera.

Katanya, RM1,950 yang diperlukan hanya untuk yuran pada semester pertama, belum termasuk perbelanjaan lain seperti keperluan serta kelengkapan harian, makan-minum, caj pemeriksaan kesihatan, komputer riba, dan sebagainya.

IKLAN

“Saya bimbang jika tidak sempat menjelaskan bayaran pada tarikh ditetapkan masa depan saya musnah, tambahan pula ini sebagai suatu peluang untuk saya mengubah nasib keluarga yang selama ini hidup susah.

“Dalam tempoh sesingkat ini, agak susah bagi kami mengumpul wang termasuk mendapatkan bantuan dari mana-mana agensi kerajaan memandangkan perlu melalui proses yang panjang,” katanya yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jana, Kamunting, Taiping.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 08040020776585.

MW: Ramai yang terkesan kehilangan sumber pendapatan sewaktu PKP ini. Jika berkemampuan, tak banyak walaupun sedikit semoga dapat membantu ibu tunggal dan anaknya yang cemerlang dalam pelajaran untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI