
Sejak bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata, kecantikan Faezah Elai semakin terserlah. Manisnya Faezah Elai yang berketurunan Punjab-Thai ini turut diwarisi dalam diri dua orang puteri ciliknya.
Kehidupan pelakon Faezah Elai sebagai anak seni berubah sejak dirinya menimang cahaya mata empat tahun lalu. Jarang muncul di kaca televisyen dan juga dalam media cetak kerana sibuk menguruskan anak-anak dan juga keluarga.
TIP HILANGKAN ‘PEHA BERSAYAP’
Berkongsi bagaimana cara dirinya kekal langsing dan cantik, menurut Faezah Elai menguruskan anak-anak yang sedang lasak dengan tugas hariannya sebagai suri rumah memberikan dirinya kelebihan untuk kekal langsing. Selain itu Faezah turut mengakui ada menggunakan produk pelangsingan badan keluarannya sendiri iaitu Slendefit.
“Semasa anak pertama berat badan saya tak naik kerana Dealova menyusu ibu sehingga usianya setahun lebih tapi apabila anak kedua tidak menyusu, badan saya naik. Risau dengan keadaan itu, jadi saya ambil keputusan untuk mencuba Slendefit ini. Dalam tempoh setahun saya dapat kembali bentuk badan yang ideal. Daripada situlah saya mula menggunakannya dan saya pasarkan sebagai salah satu produk keluaran saya selain Purest, produk kecantikan saya sebelum ini.
“Selain penggunaan produk tersebut, saya juga amalkan banyak minum air. Satu lagi rahsia saya kekal begini kerana menjaga anak-anak kecil saya yang lasak. Jadi memang itu salah satu sebab faezah jadi kurus. Tak ada amalan atau petua lain yang saya amalkan.”
KURUS PUN SEBAB ANAK AKTIF
Faezah mengakui aktiviti seharian dalam menjaga dua cahaya mata termasuk tiga anak tirinya yang semakin membesar membuatkan dia sentiasa aktif.
Kedua-dua anaknya Dealova Heyrinna, 4, dan Aurora Heyrinna, 1 sangat aktif dan lasak. Urusan anak-anaknya diuruskan sendiri walaupun mempunyai pembantu. Menurutnya pembantu itu hanya menolong uruskan hal-hal rumah yang lain.
“Saya terlalu sibuk jaga anak-anak, mereka semua sedang membesar dan terlalu aktif terutama anak saya Dealova dan Aurora.”
Pelakon itu turut menjaga tiga anak tirinya iaitu Luqman Hakim, 17, Sarah, 15, dan Luq Adam, 7.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Eidrees Nombor Satu Dalam Hidup Anzalna & Hanif

Kehadiran Mohamad Eidrees Hanif pada akhir Mei 2019 lalu telah memberi kegembiraan kepada Anzalna Nasir dan suaminya, Hanif Zaki. Agak lama juga pasangan muda ini ‘berbulan madu’ sebelum kehadiran Eidrees sebagai pelengkap keluarga.
Sesungguhnya kelahiran Mohamad Eidrees ini menutup mulut masyarakat yang sentiasa bertanyakan bilakah Anzalna dan suaminya mahu menimang cahaya mata sejak mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2016.
Sesungguhnya Anzalna dan Hanif amat bersyukur dengan zuriat yang dikurniakan oleh Allah SWT ini. Akui Anzalna, sejak adanya Eidrees, hidupnya juga telah berubah 100 peratus.
“Eidrees sebenarnya banyak mengubah hidup saya. Sekarang ini saya sendiri yang menjaga Eidrees. Sebelum ini memang ada pengasuh tetapi saya tidak berpuas hati dengan cara pengasuh itu menjaga Eidrees.
“Saya beritahu pada Hanif yang saya mahu menjaga sendiri Eidrees dan saya telah menjaga Eidrees sejak usianya dua bulan sehinggalah sekarang. Cuma kalau saya perlu menghadiri sebarang majlis yang memerlukan penglibatan saya, Eidrees dihantar ke rumah emak saya atau rumah mak mentua. Kadang-kadang adik-beradik perempuan saya pun turut menjaga Eidrees.
“Saya tidak berapa percayakan orang lain kecuali keluarga sendiri untuk menjaga Eidrees. Penat sebenarnya menjaga Eidrees tetapi saya puas hati dapat menjaganya sendiri. Eidrees mengubah diri saya menjadi seorang yang terlebih rajin.
“Malah apabila saya bawa Eidrees berjumpa doktor, saya sering dinasihatkan untuk menjaga kebersihan ketika menjaga Eidrees. Saya bukannya OCD tetapi kadangkala apabila melihat habuk sikit pun dah tidak boleh tahan.
“Perangai saya yang sentiasa menjaga kebersihan Eidrees ini akhirnya turut diikuti oleh Hanif,” ujarnya.
Akui Manjakan Eidress
Cerita Anzalna lagi, dia dan suaminya amat memanjakan Eidrees.
“Tidak kisahlah orang hendak cakap apa. Memang Eidrees ini our number One. Segala-galanya hanya untuk dia.” Tambah ibu muda jelita ini.
Sebelum memiliki Eidrees, boleh dikatakan Anzalna belajar untuk menjaga dan membesarkan anak daripada kakaknya Diana Nasir. Bergelar ibu saudara kepada The Angguns telah memberikan pengalaman yang paling bermakna buat Anzalna.
“Saya masih ingat lagi yang saya pernah memberi cadangan kepada kakak agar mengambil pembantu rumah bagi membantunya menjaga tiga orang anaknya itu. Saya tengok dia macam penat sangat ketika menjaga anak-anaknya. Tetapi kakak tidak mahu kerana katanya dia masih mampu menjaga anak-anaknya sendiri.
“Hanya setelah ada anak, barulah saya tahu betapa bangganya untuk memberitahu orang lain yang kita mampu buat sendiri. Bahkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Walaupun saya berkerjaya tetapi masih lagi boleh menguruskan anak sendiri tanpa mengharapkan orang lain,” kongsi Anzalna bangga.
Jelas Anzalna lagi, suami dan mak mentua sentiasa menawarkan kepadanya untuk mengambil pembantu tetapi Anzalna keberatan.
“Saya nak Eidrees membesar dan makan hasil air tangan saya sendiri. Jika anak sakit sekali pun, biar kita sendiri yang menjaganya. Lagi berbaloi dan seronok perasaan itu,” tambahnya.
Guna IG @mohamadeidrees Untuk Kebajikan
Sejak Eidrees dilahirkan, Anzalna sering berkongsi perkembangan anak lelakinya itu di dalam Instagram @anzalnanasir88. Dengan cara ini, peminat-peminat Anzalna boleh mengikuti perkembangannya pada bila-bila masa. Namun begitu, sebagai ibu, Anzalna masih ada had dalam berkongsi mengenai hidupnya.
“Sebenarnya kadangkala saya terfikir, sama ada hendak kerap share tentang Eidrees atau tak. Dia masih kecil lagi. Kadang-kadang hendak share terlalu banyak pun, macam tak elok kerana saya tidak mahu terlalu exposed dia. Tetapi sekarang Eidrees sudah berusia 6 bulan. Terlalu banyak perangai dia sudah ‘keluar’. Kadang-kadang ada orang mesej bertanyakan video Eidrees.
“Memang banyak permintaan yang mahukan video dan gambar Eidrees di IG. Selain itu, Eidrees ada IG sendiri iaitu @mohamadeidrees tetapi saya tidak update pun. Tetapi sejak usia 6 bulan ini, rasa seronok tengok perangai dia dan sebab itu saya mula post di IG peribadi dia,” katanya.
“Mungkin sibuk menjaga Eidrees sehingga tidak ada masa untuk update IG sendiri. Malah saya hanya guna IG Eidrees ke arah charity (kerja-kerja kebajikan). Saya juga tidak mahu IG Eidress penuh dengan gambar ‘syok sendiri’. Biasanya baju-baju Eidrees yang sudah tidak boleh dipakai, saya akan bagi pada orang. Ada barang baru dan ada barang terpakai. Saya akan bagi kepada followers Eidrees.
“Dalam membantu orang, saya mahu tolong mereka yang betul-betul susah. Bukannya orang yang masih mampu tetapi sibuk hendakkan pertolongan. Saya betul-betul periksa dahulu latar belakang keluarga itu sebelum membantu mereka.
“Saya sedih lihat keadaan anak-anak yang susah ini. Eidrees dapat macam-macam tetapi anak orang lain tidak. Biasanya saya akan tanya apa yang mereka hendak agar barang yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin. Biasanya saya akan beri lampin pakai buang dan susu formula,” ulas Anzalna lagi.
Kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Anzalna ini turut disertai oleh kakaknya Diana.
Berlakon, Semuanya Bergantung Pada Keadaan
Selepas Anzalna bergelar seorang ibu, dia masih lagi mendapat tawaran untuk berlakon. Malah katanya sebaik habis berpantang 44 hari, pada hari ke-45 dia telah mendapat tawaran berlakon.
Namun Anzalna terpaksa menolak tawaran berlakon kerana merasakan dirinya masih tidak lagi bersedia untuk meninggalkan Eidrees sendirian.
“Saya mahu menjaga Eidrees. Lama saya tunggu kehadiran Eidress. Takkanlah setelah mendapatnya saya mahu tinggalkan dia pula. Mungkin saya akan berlakon semula tetapi semuanya bergantung pada keadaan,” jelasnya.
Ternyata Anzalna teruja apabila bercerita mengenai anak yang comel ini. Ketika penggambaran dilakukan, Eidrees berusia 6 bulan.
“Sekarang ini Eidrees sudah pandai makan. Jadi setiap kali hendak masak, dia mulalah merengek. Saya beritahu suami, kalau hendak ambil pembantu, ambillah pembantu yang boleh tolong saya di dapur. Cepat sikit kerja memasak siap apabila ada orang tolong potong bahan-bahan dan mencuci dapur setelah saya selesai memasak.” Tambahnya.
Hanif Mahu Didik Anak Jadi Ketua
Umum mengenali Hanif Zaki sebagai suami Anzalna. Pada pandangan umum kehidupan pasangan suami isteri ini juga serba mewah. Tetapi siapakah Hanif Zaki itu?
“Saya hanyalah orang biasa yang sangat minat berkecimpung dalam dunia permotoran. Itulah saya daripada dulu sampailah sekarang. Sekarang ini pun saya menguruskan showroom Mitsubishi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya sebagai Branch Manager di sana.
“Di sebalik kemewahan yang orang lihat itu, saya bersyukur semuanya seimbang. Keluarga saya membesarkan saya dalam keadaan cukup semuanya. Sama juga dengan Anzalna. Jadi itulah yang kami adapt dan bagi pada anak kami, Eidrees.” Ujarnya.
Semenjak mendirikan rumah tangga dengan Anzalna, tidak banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Hanif. Cuma dia perlu berhati-hati dalam melakukan sebarang perkara. Tambahan pula isterinya itu seorang selebriti dikenali ramai.
“Jadi apa sahaja yang kita buat, orang akan tengok dan perhati. Tetapi saya tetap jadi diri saya. Cuma setiap apa yang saya buat itu saya kena fikir untuk isteri saya juga. Tetapi saya masih yang sama. Tidak ada perubahan untuk cuba menjadi orang lain. Begitu juga dengan Anzalna. Saya tidak mahu ubah dirinya. Saya gembira dengan siapa dirinya yang sebenar.” Tambah bapa muda ini lagi.
Walaupun Anzalna seorang wanita cantik yang menjadi pujaan ramai, Hanif bersyukur kerana tidak mengalami sebarang dugaan dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.
“Anzalna seorang yang tahu menghormati suami. Dia tahu menghormati keputusan suami dia dan tahu hendak menjaga hati suami dia. Jadi tidak pernah lagi saya susah hati kerana the trust is always there,” kata Hanif.
Sebagai seorang bapa pula, sudah pasti Hanif mahukan yang terbaik buat anaknya Eidrees. Sebagai seorang bapa, apa arah tujunya dalam mendidik anak?
“Sudah pastilah ke arah kebaikan. Dia seorang lelaki. Kalau boleh saya hendak mendidik anak saya ini menjadi seorang ketua sebab nanti dia harus mengetuai keluarganya sendiri. Saya mahu mendidiknya ke arah menjadi orang yang berguna dan orang yang sentiasa boleh memanfaatkan benda yang baik kepada orang lain,” akhirinya.
*******************************************************************
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan bahagia ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Januari, volume 2 yang kini telah pun berada di pasaran.
Oleh: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan & Styling Rambut: Ezad Ibrahim
Busana Anzalna: Shiatzy Chen
Busana Hanif & Eidress: Koleksi peribadi Hanif Zaki & Mohamad Eidrees
Lokasi Penggambaran: Studio @flores.kl, Shah Alam, Selangor.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Romantik Bukan Untuk Menunjuk! Tapi Inilah Rahsia Perkahwinan Aeril & Wawa Yang Ramai Orang Tak Tahu

Tak puas tengok pasangan muda ini, cukup romantik dan bahagia.
Sama cantik sama padan! Itulah yang dapat menggambarkan pasangan selebriti romantis Aeril Zafril dan Wawa Zainal. Seringkali posting mereka di laman sosial menjadi tular dek kerana keromantisan mereka berdua yang tak dapat disangkal lagi.
Pelakon kacak dan cantik yang kini sudah mempunyai dua cahaya mata ini, masih lagi aktif dalam dunia seni lakonan tanah air. Aeril dengan tawaran lakonan yang tidak pernah putus dan Wawa Zainal yang kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga perniagaan yang dijalankan bersama suami tercinta.
“Alhamdullilah rezeki saya tidak pernah putus dalam dunia lakonan. Selepas hari raya saya dah mula sibuk dengan penggambaran drama untuk Astro. Wawa pula banyak tumpukan perhatian kepada anak-anak kami dan juga perniagaan kami iaitu perniagaan pakaian, contact lensenya dan akan datang produk pelangsingan badan,” ujar Aeril
Melihat kepada kemesraan pasangan yang telah lima tahun mendirikan rumah tangga ini pastinya terbit rasa indah ingin menjadi seperti mereka yang kelihatan sangat romantik dan mesra.
“Kami kerap muat naik ke dalam instagram dan media sosial bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk kebahagiaan yang sedang kami kecapi. Tapi itu sebenarnya memori untuk kami abadikan dan tunjuk kepada anak cucu kami kelak.” Komen Wawa tentang posting mereka di laman Instagram.
“Mungkin jika kami bukan artis itu tak menjadi masalah, tapi oleh kerana kami ini selebriti, jadi apa yang kami buat akan jadi perhatian. Rahsia kebahagiaan kami ini mungkin kami satu kepala, sentiasa berterus-terang dalam apa sahaja yang dibuat, kami tidak rahsiakan antara satu sama lain. Contohnya kalau ada wanita cantik yang saya tengok, itupun saya akan cerita kepada isteri saya.” Tambah Aeril pula saat ditanya tentang rahsia kebahagiaan mereka berdua.
Ujar Wawa lagi mereka sering bercerita tentang apa sahaja aktiviti yang mereka jalankan setiap hari. “Kami sentiasa bersembang seperti kawan. Semua perkara kami kongsi, dan kepercayaan itu memang paling penting. Saya juga sering puji orang lain di hadapan Aeril sendiri namun ia tidak menjejaskan hubungan kami kerana masing-masing tahu hati budi nilai cinta kami.”
Wawa juga memberitahu, paling penting, adalah persefahaman, dan tidak cemburu dengan apa sahaja jika ia melibatkan lakonan suaminya, kerana mereka berdua terlibat dalam bidang yang sama.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dikecam Netizen Tak Jejas Kebahagiaan Ardell & Adhwa

Ternyata hubungan persahabatan yang terlalu lama terjalin, telah mendekatkan hubungan dua insan ini. Kedua-duanya sama cantik serta sama padan dalam persalinan rona putih. Sedari awal ketika majlis berlangsung, Nurul Hidayah Mohd Amin atau mesra dengan panggilan Ardell kelihatan penuh emosi.
Menurutnya, dia bersyukur segala yang dirancang berjalan dengan lancar biar pun persiapan yang dibuat hanya mengambil masa selama dua bulan sahaja. Selama ini bukan dirinya sengaja tidak mengakui tentang hubungan mereka berdua, sebaliknya jelas Ardell, dia menyerahkan segalanya pada Allah Yang Maha Esa.
“Barangkali selama ini ramai yang mendoakan kami dan salah seorang, doanya telah diangkat Allah. Sebagai hamba-Nya, Ardell sendiri tidak percaya bahawa jodohnya dengan Nadzmi Adhwa begitu kuat dan akhirnya kini kami bersatu jua akhirnya,” ujar Ardell memulakan bicara.
Manakala sebagai suami, Nadzmi Adhwa meletakkan Ardell sebagai anugerah yang terindah buatnya. Sesungguhnya Ardell cukup istimewa di hatinya serta menyifatkan wanita yang kini bergelar isterinya sebagai wanita yang kuat dan tabah.
Video Nikah Jadi Viral
Dalam masa yang sama, pasangan yang masih dalam mood berbulan madu ini dipaut rasa sedih apabila video pernikahan mereka menjadi viral dan mendapat kecaman netizen. Menerusi video yang dikongsi netizen, Ardell kelihatan kekok ketika Adhwa mahu memegang tangannya untuk menyarungkan cincin.
Tangan Ardell turut kelihatan menggigil dan dalam masa yang sama selebriti tersebut kelihatan mengalirkan air mata kerana terlalu gementar. Situasi “panik” ini akhirnya berjaya diatasi apabila Adhwa berjaya menyarungkan cincin ke jari isterinya selepas seorang tetamu memberi kata-kata positif dan meminta pasangan pengantin baru bertenang.
“Saya juga turut gementar.”- Adhwa
Seperti mana isteri, Adhwa juga tidak lepas daripada merasai debaran dan gementar ketika proses pernikahan berlangsung. Sejujurnya biar pun mereka berdua bersahabat baik sejak sekian lama, tetapi mereka sama sekali tidak bersentuhan atas dasar menghormati antara satu sama lain.
Tidak sangka niat kami membina masjid dan berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan rakan terdekat akhirnya disalah tafsir serta dimanipulasi netizen. Lebih menjengkelkan apabila ada di kalangan mereka menjadikan video nikah pasangan ini sebagai bahan lawak.
Namun begitu, pasangan ini tidak menyalahkan mereka yang berkongsi video tersebut kerana mereka percaya niat asal orang berkongsi video tersebut hanyalah untuk berkongsi kegembiraan semata.
“Saya mungkin dapat menerima apa yang terjadi, namun tidak adil orang di luar sana menghukum isteri saya kerana mereka tidak memahami apa yang Ardell lalui. Isteri saya sedih berhari-hari kerana membaca komen-komen netizen.
“Saya minta hentikanlah untuk buat parodi dan juga datang kepada kami semata-mata untuk gelakkan saya dan isteri. Sesungguhnya momen tersebut adalah momen hari bahagia kami yang sangat penting dalam hidup, bukannya bahan jenaka atau gurauan.
“Mungkin lebih baik netizen di luar sana, berjumpa atau bertanya doktor tentang simptom anxiety atau panic attact. Mungkin orang yang tak tahu dan kata saya buat-buat tetapi percayalah ianya situasi sebenar, perkara ini boleh jadi bila-bila masa dan tidak boleh dikawal,” gesa Adhwa lagi.
Tidak kurang juga ada segelintir netizen yang terharu apabila melihat video yang tular tersebut. Oleh hal yang demikian, pasangan ini turut berterima kasih kepada masyarakat yang banyak mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
Adhwa Pernah Ditolak
Di samping itu, Ardell Aryana juga tidak menyangka teman rapatnya iaitu Nadzmi Adhwa yang selama ini dianggap seperti adik akhirnya bergelar pendamping hidupnya. Ternyata segalanya telah ditentukan Allah.
Malahan, Ardell turut berkongsi bukan sekali Adhwa menyuarakan Hasrat untuk menyunting dia sebagai isteri, namun selama ini dia menolak kerana dirasakan belum cukup bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Ternyata usaha Adhwa berbaloi apabila hari raya Aidilfitri yang lalu, Ardell telah terbuka hati lalu merisik lelaki ini sendiri dengan memberi senashkah Al-Quran untuk dia fahami dan khatamkan.
Kekurangan diri juga membuatkan Ardell berfikir panjang sebelum ini untuk menerima suaminya. Benarlah kata pepatah, kalau dah jodoh, tidak akan ke mana.
Ardell Terlalu Istimewa
Menurut Nadzmi Adhwa, Ardell adalah insan yang cukup istimewa di matanya. Malahan Ardell adalah insan terbaik yang pernah hadir dalam hidupnya. Ternyata Ardell bukan wanita biasa-biasa kerana daripada Ardell lah, Adhwa belajar pelbagai perkara.
Bayangkan hubungan sebagai sahabat selama lapan tahun memberi pasangan ini ruang yang secukupnya untuk mengenali hati budi masing-masing. Sedari Ardell belum mengenakan hijab sehinggalah kini, sudah tentu terlalu banyak suka dan duka dikongsi bersama.
Menambah kekaguman di hati Adhwa adalah cara isterinya menunaikan tanggungjawab sebagai anak dengan menyara keluarga juga membuatkan dirinya bertambah terharu. Selama ini Ardell kuat bekerja demi membalas jasa ibunya yang banyak berkorban serta memberi kesenangan kepada keluarga yang selama ini hidup susah.
Malahan, keserasian itu juga secara tidak langsung membuatkan mereka mengambil keputusan untuk menjalankan pernigaan bersama. Perniagaan tudung Alwadellhijab merupakan bisnes bersama buat pasangan ini.
Serahkan Pada Allah
Ditanya tentang soal zuriat, pasangan ini tidak menolak sebaliknya menyerahkan pada ketentuan Allah. Disebabkan masing-masing sibuk dengan jadual seni masing-masing.
Jika Ardell terbabit dengan misi kemanusiaan di Syria, manakala Adhwa pula kini sibuk kerana bakal muncul dengan Filem Perjanjian Syaitan tidak lama lagi, jadi soal berbulan madu perlu ditangguhkan buat sementara waktu.
Oleh itu, sebaiknya mereka perlu merancang dengan bijak tentang soal berbulan madu kerana masing-masing terikat dengan komitmen. Walau bagaimanapun, pasangan ini berhasrat untuk menunaikan umrah bersama dan merancang untuk membawa ibu Ardell sekali.
Tidak ketinggalan, jika tiada aral melintang, pasangan mempelai ini merancang untuk menganjurkan majlis resepsi tidak lama lagi.
Baca Disini:“Walaupun Bestfriend, Bawah Umur Daripada Kita, Kena Hormat Dia Sebagai Suami”
*********************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh merpati dua sejoli ini, baca sambungannya didalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Solekan & Dandanan: Kelrina Hof
Tajaan Pakaian: PULL&BEAR @ Sunway Pyramid (Pakaian Kasual) Butik Jedan, SACC MALL (Persalinan Tradisional)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI