Wanita Di Perantauan

Puasa di Norway: Pelajar Malaysia Luah Rasa Sunyi 2 Tahun Ramadan & Syawal Tanpa Keluarga

Share

Bagi sesetengah orang, peluang melanjutkan pengajian ke luar negara adalah impian yang dikejar seumur hidup. Namun di sebalik keindahan bumi asing, ada harga emosi yang perlu dibayar. Terutamanya bila Ramadan dan Syawal tiba tanpa keluarga di sisi.

Itulah yang dilalui oleh Imanina Shahrin, 31 tahun, anak kelahiran Gerik, Perak yang kini merantau ke Trondheim, Norway untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana.

Baca juga: Ramadan Di New Zealand: Kisah Menyentuh Hati Kak Tad Rindu Bazar Ramadan Di Perantauan

Puasa “Pendek”, Tapi Ujian Tetap Panjang

Jika di Malaysia kita berpuasa hampir 13 jam, pengalaman Imanina jauh berbeza apabila menjalani puasa di Norway.

Di Norway, waktu siang yang singkat ketika musim sejuk menjadikan tempoh puasa lebih pendek. Malah kadangkala hanya beberapa jam sahaja.

“Subuh masuk lambat, dalam pukul 8 pagi… lepas tu buka puasa pun awal, kadang pukul 3 petang dah boleh berbuka,” kongsinya.

Namun, pendeknya tempoh berpuasa tidak bermakna mudah.

Hakikatnya, berpuasa seorang diri di negara bukan majoriti Muslim adalah cabaran emosi yang jauh lebih besar. Puasa di Norway bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menguji kekuatan mental dan jiwa.

Berbuka Dengan “Keluarga Sementara”

Walaupun berjauhan dari keluarga, Imanina bersyukur kerana masih mempunyai rakan-rakan yang memahami.

Ada antara mereka bukan Muslim, tetapi tetap berusaha menemani saat berbuka.

“Kadang kawan yang bukan Muslim pun akan masak… kita berbuka sama-sama walaupun saya seorang saja yang puasa.”

Detik kecil seperti ini menjadi penawar rindu walaupun tidak mampu menggantikan suasana Ramadan di tanah air.

Inilah sisi lain pengalaman puasa di Norway yang jarang dikongsikan, penuh dengan nilai kemanusiaan dan persahabatan.

Baca juga: Senarai Kontak Kedutaan Besar Malaysia Di Negara Timur Tengah, Simpan Untuk Kecemasan

Rindu Yang Datang Tanpa Diundang

Bila ditanya soal makanan, jawapannya ringkas, semuanya dirindui. Namun ada satu hidangan yang sentiasa bermain di fikiran: kari ikan bawal masakan ibu.

“Walaupun saya tak makan kari sangat, tiba-tiba dekat sana rasa teringin pula…”

Rupanya, berjauhan membuatkan seseorang itu lebih menghargai perkara yang sebelum ini dianggap biasa. Puasa di Norway menjadikan kenangan kecil seperti masakan ibu terasa sangat bermakna.

Raya Yang Sunyi, Tanpa “Bising” Keluarga

Jika Ramadan masih boleh dilalui dengan sabar, Syawal pula menjadi ujian paling berat. Tiada kemeriahan, tiada persiapan besar. Hanya sambutan sederhana bersama beberapa rakan.

“Lepas solat raya, balik rumah… masak simple dengan kawan-kawan, makan sama-sama. Itu saja.”

Apa yang paling dirindui? Bukan sekadar makanan atau pakaian baharu. Tetapi suasana bising pagi raya di rumah.

“Rindu mak membebel, ayah bersiap nak pergi solat… adik-beradik bising, semua tu yang paling dirindui.”

Air Mata, Rindu & Realiti Perantauan

Perasaan rindu itu bukan sekadar datang sekali-sekala. Ada masanya, ia hadir tanpa amaran, hingga mengalirkan air mata.

“Kadang-kadang rasa nak balik Malaysia tu memang datang selalu… setiap bulan pun ada.”

Tambahan pula, perbezaan budaya dan bahasa membuatkan rasa “terasing” itu lebih ketara.

Lawak tidak difahami, emosi sukar dikongsi. Akhirnya, sunyi menjadi teman. Pengalaman puasa di Norway ini membuka mata tentang realiti sebenar kehidupan perantau.

Belajar Menghargai, Walau Jauh Di Mata

Namun di sebalik semua kerinduan itu, Imanina sedar, ini adalah pilihan hidupnya dan peluang yang tidak semua orang miliki.

“Ramai orang nak belajar luar negara… dapat biasiswa, dapat tengok dunia luar. Kena bersyukur walaupun sedih.”

Bagi Imanina, pengalaman ini mengajar satu perkara yang sangat penting: menghargai masa bersama keluarga, selagi masih ada.

Puasa di Norway mungkin berbeza dari segi waktu dan suasana, tetapi nilai kesabaran, syukur dan kasih sayang tetap sama. Malah terasa lebih mendalam apabila diuji dengan jarak.

@mingguanwanita Puasa pukul 3 petang dah berbuka…tapi hati tetap rasa kosong 💔 Raya jauh dari keluarga, tak ada suara mak membebel, tak ada gelak ketawa adik-beradik. Baru faham, yang kita selalu anggap biasa itulah sebenarnya paling berharga. Ikuti kisah Imanina di Norway. #mingguanwanita
#wanitadiperantauan #norway #perantauan #fyppppppppppppppppppppppp ♬ original sound – Mingguan Wanita

Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Mudah Panaskan Makanan Dengan Lunch Box Pemanas Ini

Published by
Farhana Syahirah