Kesihatan

Peti Sejuk Boleh Jadi Punca Penyakit, Semak 3 Kesilapan Paling Kerap Dibuat Tanpa Sedar

Share

Masih ramai tak sedar bahawa peti sejuk boleh jadi punca penyakit jika tidak dijaga dengan betul. Nak-nak anda suka simpan macam-macam baki makanan dan sumbat dalam peti!

Mungkin anda menyangka simpan dalam peti makanan akan tahan lama tetapi jika buat kesilapan, segalanya boleh berubah dan menjemput bahaya.

Peti Sejuk Boleh Jadi Punca Penyakit

Perkongsian daripada Public Health Malaysia ini membuka mata tentang tiga kesilapan biasa yang boleh mengundang bahaya kepada seisi keluarga.

1. Titisan darah

Ini antara kes paling kerap berlaku di rumah. Ayam, ikan atau daging mentah hanya dibalut plastik nipis, kemudian diletakkan di rak atas.

Apabila ais mencair, air daging mentah yang mungkin mengandungi bakteria seperti Salmonella akan menitis perlahan-lahan ke rak bawah.

Lebih membimbangkan, titisan ini boleh terkena pada sayur, buah-buahan atau makanan lain yang tidak ditutup sempurna. Inilah yang dinamakan pencemaran silang, dan ia antara penyumbang utama kes keracunan makanan.

2. Pembiakan listeria

Ramai tahu kebanyakan bakteria akan menjadi tidak aktif dalam suhu sejuk. Namun berbeza dengan Listeria monocytogenes.

Bakteria ini mampu terus membiak walaupun dalam suhu peti sejuk.

Risikonya bukan kecil. Jangkitan Listeria boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk keguguran dalam kalangan ibu hamil dan jangkitan otak pada bayi.

Ini sering dikaitkan dengan produk tenusu tidak dipasteur, sosej serta sayur-sayuran yang tercemar.

3. Menyumbat semua dalam peti sejuk

Tabiat menyumbat semua makanan dan barang mentah dalam peti sejuk hingga penuh juga satu kesilapan besar.

Apabila terlalu sesak, udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik. Akibatnya, wujud kawasan tertentu yang menjadi lebih suam.

Suhu yang tidak sekata ini membuka ruang untuk bakteria kembali aktif dan membiak dengan cepat, sekali gus mempercepatkan kerosakan makanan walaupun belum sampai tarikh luput.

Jadi, bagaimana cara susunan yang betul?

Rak paling atas: Makanan sedia untuk dimakan seperti baki lauk, kek dan buah-buahan.

Rak paling bawah: Daging, ayam dan ikan mentah. Wajib disimpan dalam bekas bertutup rapat bagi mengelakkan titisan atau kebocoran.

Jangan jadikan peti sejuk sebagai inkubator senyap yang mengancam kesihatan keluarga.

Susun dengan betul, simpan dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh membawa padah besar.

Published by
Nadia