Pesawat bawa aktivis GSF selamat tiba di Istanbul. Sebuah penerbangan yang membawa kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang sebelum ini diserang serta ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada petang Sabtu.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Eilat, Israel, selamat tiba sekitar jam 3.50 petang waktu tempatan, menurut laporan Anadolu Ajansi.
Seramai 137 aktivis terlibat dalam penerbangan itu, termasuk 36 warga Turkiye serta 23 sukarelawan dari Malaysia. Ketibaan mereka disambut meriah oleh pegawai serta orang awam yang menunggu di lapangan terbang tersebut.
Selain aktivis dari Malaysia dan Turkiye, pesawat berkenaan turut membawa penumpang dari pelbagai negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan.
Siaran langsung TRT Haber turut menayangkan detik ketibaan para aktivis, termasuk kelibat rakyat Malaysia yang bersama misi GSF. Antara yang dirakam turun dari pesawat Turkish Airlines ialah Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik serta PU Rahmat Ikhsan yang dilihat ceria melambaikan tangan ke arah pengamal media dan orang ramai.
Turut kelihatan di kawasan lapangan terbang ialah beberapa aktivis Malaysia lain seperti Ardell Aryana, Hazwani, Heliza Helmi, Musa Nuwayri, Haroqs dan Ilyia Balqis, manakala wartawan sempat menemu bual Zulfadhli Khairudin sejurus mereka tiba.
Kesemua aktivis terbabit kelihatan tenang serta melemparkan senyuman sebaik menjejakkan kaki di bumi Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel.
Sumber: Sinar Harian
Artikel lain: Isteri Dr Taufiq Razif Lega Suami Dibebaskan Alhamdulillah, Sujud Syukur
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE