
Pesan arwah Along Eyzendy, kena kuat demi anak-anak. Cerita balu pelakon allahyarham Along Eyzendy, 47, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan yang arwah selalu berpesan agar sentiasa menjadi kuat untuk diri sendiri dan anak-anak dalam meneruskan kehidupan tanpanya.
Pesan Arwah Along Eyzendy

Setiap kali keluar pergi bekerja atau pergi ke mana-mana termasuk berada di luar kawasan (out station), arwah akan mengingatkan perkara yang sama.
“Cuma Along pesan suruh saya jadi kuat sebab ada anak-anak. Kena teruskan hidup juga kalau tak ada dia (Allahyarham). Macam mana-macam mana pun, ‘life must going on’ (hidup harus diteruskan).
“Jadi, kena kuat untuk anak-anak. Memang itu pesanan yang selalu Along titip dan ingatkan kepada saya. Sejak sebelum dia (arwah) sakit lagi. Macam itulah pesan dia.
“Mana-mana sebelum dia nak pergi pun, mesti dia ingatkan saya agar menjaga diri dan anak-anak,” katanya.
Kena Kuat Demi Anak-anak

Ditanya juga mengenai pengebumian Allahyarham, Hamidah memberitahu arwah pelakon teater Dang Anum itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor pada jam 9.30 pagi.
“Allahyarham Along dah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang pada jam 9.30 pagi ini. Terima kasih pada semua yang datang dan mendoakan.
“Insya Allah, saya sabar dan akan kuat demi anak-anak,” katanya dalam lontaran suara lembut serta tenang.

Terdahulu, media melaporkan arwah Along dimasukkan ke wad Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan.
Bagaimanapun, doktor kemudian mengesyaki terdapat jangkitan kuman pada stent di saluran hempedu Allahyarham Along atau pemilik nama Mohd Eyzendy Mohd Aziz.
Along menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada jam 12.16 tengah malam tadi. Arwah sebelum itu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSIS.
Untuk rekod, pada 2019, arwah Along Eyzendy pernah disahkan mengalami buah pinggang rosak dan sudah menjalani pembedahan pada 15 April 2021 selepas mendapat buah pinggang yang didermakan Hamidah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




