Tiada siapa menyangka… setelah lebih lima dekad membawa haluan masing-masing, cinta yang pernah berputik di bangku sekolah kini kembali mekar, membawa bahagia di usia senja.
Pasangan warga emas, Prof Datuk Dr Md Sham Kassim, 81, dan Azizah Alias, 77, akhirnya disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang sederhana namun penuh bermakna di Kampung Lada Tanah Datar, baru-baru ini.
Dr Md Sham, bekas pakar perubatan kanak-kanak dan pensyarah yang disegani, membuka lembaran baharu dalam hidup selepas enam bulan pemergian isteri tercinta. Takdir mempertemukannya semula dengan Azizah, wanita yang pernah mencuri hatinya semasa di zaman persekolahan.
“Selepas isteri saya meninggal dunia, saya mula teringat kepada Azizah. Dengan bantuan pelajar saya yang juga anak saudara beliau, saya mula menghubunginya kembali. Dari situ, hubungan yang lama terputus kembali bertaut,” ujar Dr Md Sham yang merupakan bapa kepada empat anak dan datuk kepada enam cucu.
Akui beliau, pada mulanya anak-anak agak berat menerima keputusannya. Namun dengan tenang, beliau menjelaskan bahawa usia yang makin lanjut menuntutnya untuk terus melangkah ke hadapan dengan teman jiwa di sisi.
“Hubungan yang lama terputus kembali berpaut, pada awalnya anak-anak kurang senang kerana baru kematian isteri.
Usia 77, Azizah Bergelar Isteri
Sementara itu, Azizah yang pertama kali bergelar isteri pada usia 77 tahun, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga. Sebagai pesara kerajaan, hidupnya sebelum ini tenang dan bersederhana, namun hatinya terbuka menerima cinta daripada seorang lelaki yang dikenali sejak remaja.
“Saya percaya jodoh saya akan sampai suatu hari nanti. Cuma saya tak tahu bila. Setiap orang ada jodohnya lambat atau cepat, ia tetap akan datang pada masa yang tepat,” ujar wanita berjiwa lembut ini.
Duda empat anak itu sah menjadi suami dengan mas kahwin sebanyak RM300 berserta senaskah al-Quran. Majlis pernikahan Datuk Dr. Md. Sham Kassim dan pasangan, Azizah Alias dengan busana putih berlangsung penuh meriah dengan kehadiran sanak saudara serta kenalan di rumah pengantin perempuan.
Semoga perkahwinan yang dibina selepas 50 tahun ini berkekalan sehingga ke akhir hayat,