Memiliki zuriat adalah impian bagi kebanyakan pasangan suami isteri, kerana anak-anak bukan sahaja melengkapkan sesebuah keluarga, tetapi juga menjadi punca kebahagiaan dan kebanggaan dalam kehidupan.
Gambar hiasan
Namun, perjalanan untuk mendapatkan cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah bagi semua orang. Bagi sesetengah pasangan, usaha untuk mendapatkan zuriat memerlukan kesabaran, kekuatan, dan kepercayaan yang tinggi, kerana mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.
Pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat sering kali melalui pelbagai fasa emosi – daripada harapan yang menggunung kepada perasaan kecewa yang mendalam apabila usaha mereka belum lagi membuahkan hasil. Mereka mungkin telah mencuba pelbagai kaedah, sama ada melalui rawatan perubatan, alternatif, atau doa dan amalan rohani, dengan harapan agar satu hari nanti mereka akan dikurniakan zuriat yang diimpikan.
Nama Dr Raihana Ismail, pengasas syarikat Efferty International Sdn. Bhd. (Efferty) sememangnya tidak asing lagi terutama dalam kalangan pasangan suami isteri yang sedang berusaha menimang cahaya mata.
Namun, siapa pernah terlintas di fikiran, rupanya Dr Raihana menghidap disleksia ketika usianya enam tahun. Kongsi Dr Raihana, dalam lima orang adik beradik, dirinya paling lembab (slow learner) dalam pelajaran.
“Sebenarnya ada sebab kenapa saya selalu duduk di depan (dalam kelas Richworks).
Sebab masa kecil, saya adalah slow learner.
“Waktu itu saya ada masalah disleksia. Antara adik beradik, saya yang bangga bila orang tanya dapat nombor berapa dalam kelas.
“Saya cakap dapat nombor 28 sebab nombor itu banyak. Bukan bermaksud saya bangga sebab tak berjaya. Cuma saya tak faham lagi pada ketika itu.
“Apa yang ibu bapa saya terapkan adalah menyuruh saya duduk paling depan ketika dalam kelas.
“Ibu bapa saya merupakan seorang pendidik. Kakak-kakak saya semuanya pandai. Saya masuk darjah tiga baharu pandai mengira. Kemudian berjaya dalam UPSR. Berkat duduk depan,”katanya.
Tambah Dr Raihana lagi, abahnya yang juga merupakan seorang guru disiplin banyak mendidik dirinya agar sentiasa menepati masa.
“Abah saya adalah cikgu disiplin jadi dia latih saya untuk sentiasa menepati masa. Dulu, saya pernah bercita-cita nak jadi artis. Saya nak menyanyi dan berlakon. Tapi apabila tengok kakak-kakak jadi doktor, terus berubah fikiran sebab mak mesti lagi bangga (jadi doktor). Budaya dalam keluarga sendiri yang mengubah diri saya,” ujarnya.
Dr Raihana berkongsi liku-liku kehidupan menerusi sesi Podcast Apa Cerita? yang dikendali oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin baru-baru ini.
Ads
Mengimbas kembali perjalanan sebelum Efferty ditubuhkan, Dr Raihana memulakan kerjaya profesional sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dari 2010 hingga 2012 sebelum melangkah ke Hospital Hulu Terengganu dari tahun 2012 hingga 2014 sebagai Ketua Ward Obstetrik dan Ginekologi.
Pada tahun 2015, Dr Raihana memegang peranan baru sebagai Pakar Am dan Pengarah dengan menubuhkan Klinik Raihana di Dungun, Terengganu melalui tajaan daripada Mara.
Namun, klinik tersebut hanya bertahan selama empat tahun sehingga tahun 2019 kerana Dr Raihana akui ketika itu dia tiada ilmu dalam perniagaan dan keusahawanan.
Kerugian Cecah RM500,000
Dedah anak ketiga ini, dek kerana minat dalam bidang perniagaan, dia pernah berhadapan dengan kerugiaan sebanyak RM500,000 selain hampir diisytiharkan muflis pada akhir tahun 2018.
“Bila saya dah buka klinik, saya minta suami berhenti kerja untuk menjaga anak.Cabaran saya ketika itu adalah saya sebagai doktor dan dalam masa sama, saya juga yang menguruskan klinik. Ilmu perniagaan saya memang tiada. Leadership pun tiada.
“Saya berhutang waktu itu mencecah RM500,000. Perasaan saya memang kecewa dan hampa.Suami bantu cari jalan untuk menyelesaikan (hutang), dia pinjam duit dengan kawan-kawan. Namun, masih belum boleh tampung kerugian.
Ads
“Akhirnya, saya nekad untuk menutup klinik sulung dan menjual dengan harga RM250,000,” ceritanya.
Tidak mudah berputus asa, anak kelahiran Muar, Johor ini mula mempelajari ilmu perniagaan dan keusahawanan anjuran Richworks International Sdn. Bhd.
“Suami hantar saya ke kelas untuk mencari ilmu. Masa itu kami tak ada duit, yuran kelas mahal. Jadi, saya terpaksa menggadai barangan kemas.
“Selepas itu, saya minta maaf kepada semua ahli keluarga termasuk ibu bapa dan suami kerana selalu tidak dengar cakap.
“Saya tak boleh ingat masa itu, that’s my turning point. Bila kita lebih merendah diri, rezeki Allah lagi masuk. Sebab apa yang sepatutnya kita kejar adalah akhirat.
“Ujian yang saya dapat sekarang sama macam turning point my life that time. Saya percaya ujian besar yang Allah bagi sekarang ini adalah rahmat yang besar. Saya terharu bila Allah pilih saya.
“Perjalanan hidup saya sangat best, macam novel Allah tulis. Kalau saya buat novel, mungkin boleh beri inspirasi kepada orang yang nak give up,” katanya dalam nada sebak.
Tiga Kali Keguguran
Tambah wanita yang pernah tiga kali keguguran, dia juga mendidik diri untuk sentiasa bersedekah.
Ads
“Dulu sewaktu di klinik Raihana, sejujurnya saya tak bayar zakat. Saya tak tahu macam mana nak kira masa itu. Sekarang, saya selalu amalkan bersedekah. Saya berpegang dengan kata-kata, ‘sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.’
“Kalau dapat keuntungan, kena sedekah dan bayar zakat.
“Alhamdulillah, bulan pertama Efferty, kami mendapat hasil jualan sebanyak RM500,000,” katanya lagi.
Bantu 1 Juta Pasangan Suami Isteri
Dalam pada itu, Dr Raihana, 39, menyatakan dia berhasrat untuk membuka sebuah madrasah di samping ingin membantu 1 juta pasangan suami isteri mendapatkan cahaya mata.
“Visi Efferty ini sebenarnya nak bawa kebahagiaan kepada kehidupan manusia lain. Kebahagiaan itu tak semestinya menimang cahaya mata saja. Contohnya, kalau bantu dia untuk mendapatkan kerja, itu sudah membawa kebahagiaan juga.
“Visi kami besar iaitu nak membina yayasan sendiri untuk pembinaan madrasah. Itulah doa saya di depan Kaabah baru-baru ini,”ujarnya penuh pengharapan.
Perkongsian yang dibuat Dr Raihana menuai komen-komen positif daripada warganet yang kagum serta terinspirasi dengan kisah hidupnya.
“Dari gelak, tetiba saya menangis sama. Best episod ini. Semoga hajat Dr Raihana dikabul Allah, amin.
“Banyak benda baru yang menginspirasi dari episod ini. Dr Raihana sangat merendah diri walaupun begitu banyak ilmu.
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia 73 tahun itu kini hanya mampu terbaring dan duduk sejak patah tulang pada bahagian leher serta bahu akibat terjatuh dalam bilik air di rumahnya, beberapa bulan lalu.
Menerusi ‘Kongsi Kasih’ musim keempat episod kedua, Nur Afiqah sempat meluangkan masa turun padang ke rumah Mak Engku. Bersama pengacara hebat, Haze Huzir rancangan ‘Kongsi Kasih’ menambat jiwa yang menonton. Mana tidaknya wajah Mak Engku yang selalu menghiasi kaca TV melakonkan pelbagai watak kini kurang sihat dan pergerakannya juga terbatas.
Nur Afiqah Amran Tersentuh Hati
Malah Mak Engku juga memerlukan bantuan anak-anak untuk mengurus diri, namun dari segi pertuturan masih baik.
Sewaktu ditemubual Mak Engku berasa sangat bertuah kerana dikunjungi team ‘Kongsi Kasih’ dan Perfume Paradise.
“Saya dah tiga kali jatuh. Masa balik umrah saya jatuh bilik air sebab tergelincir. 14 hari dapat rawatan di hospital. Baru-baru ini pula saya jatuh di bilik bawah, masa itu saya tengah duduk kat tilam dan kemudian terjatuh,” terang Mak Engku dengan nada sedih.
Pada masa yang sama, Nur Afiqah berasa sangat tersentuh hati melihat keadaan Mak Engku yang tidak mampu menguruskan diri.
“Saya suka tengok lakonan Mak Engku. Saya gembira dapat melawat pelakon hebat ini. Kami dari Perfume Paradise berbesar hati dapat hadir ke rumah Mak Engku. Semangat pelakon veteran ini sangat kuat walau sudah uzur namun dirinya tak nak susahkan anak-anak,” terang Nur Afiqah yang sempat menghulurkan sumbangan dari Perfume Paradise dan berharap Mak Engku tabah dalam mengharungi kehidupan.
Suami Meninggal Tiba-Tiba Jadi Ibu Tunggal Sekelip Mata, Nor Hidayah Perlu Bangkit Demi Anak!
Baru sahaja kehilangan suami beberapa bulan yang lalu, Nor Hidayah, 37 tahun akui bukan mudah untuk bangkit meneruskan kehidupan dan membesarkan anak selepas kehilangan suami.
Pada episod kedua Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise turut menyantuni ibu tunggal bersama tiga orang anaknya yang masih kecil.
Menurut Nor Hidayah berdepan kehilangan suami akibat kegagalan jantung setelah menunggu terlalu lama untuk pembedahan bypass bukan satu perkara yang mudah.
“Awah suami saya, sakit mengejut. Selepas mengadu sakit kami ke Hospital Kajang namun tak dapat kesan penyakit arwah ketika itu. Kemudian kami terus ke Hospital Serdang.
“Saya yakin 100 peratus arwah akan sihat dan tak sangka dia akan tinggalkan saya. Hari terakhir saya tinggal kan dia di hospital dia masih sihat, kemudian pada jam 2 pagi doktor hubungi dan beritahu jantung suami saya terhenti. Ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya.
“Saya jatuh beberapa kali sementara mahu memberitahu berita tersebut pada ahli keluarga. Sampai hospital doktor cuba selamatkan suami namun dapat selamatkan. Saya reda dengan pemergian arwah namun dek kerana sepanjang hidup bersama arwah sangat manjakan saya dan anak-anak jadi pemergian arwah sangat meninggalkan kesan pada kami sekeluarga.
“Bayangkan selama 13 tahun kahwin saya tak pernah basuh, jemur dan lipat baju. Tak pernah memandu. Saya sangat bergantung hidup dengan dia. Anak-anak masih menangis sampai hari ini bila terkenangkan arwah apatah lagi apabila melihat satu video yang dirakam arwah dan arwah suami cakap satu hari nanti abah akan balik.
“Sebagai seorang ibu, saya rasa sedih. Saya sekarang pulang ke kampung di Kedah ini kerana saya tak dapat nak teruskan perniagaan catering kerana saya tak mampu berdikari. Sekarang ni saya perlu mulakan hidup dari bawah dan saya percaya ujian yang Allah berikan ini ada hikmahnya. Saya perlu kuat untuk anak-anak,” luah Nor Hidayah dalam nada sebak.
Kisah dua wanita ini cukup meruntun jiwa dan kehadiran ‘Kongsi Kasih’ bersama Perfume Paradise tepat pada masanya. Malah Perfume Paradise juga mendoakan agar kedua wanita ini teruskan bersemangat dalam meneruskan perjuangan hidup.
Saksikan Kongsi Kasih musim keempat, setiap Jumaat, jam 7 malam di Astro Prima.
#kongsikasih #perfumeparadise
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka, asalnya hanya menjadikan bisnes ini sebagai kerja sambilan saja, sementelah masing-masing sudah mempunyai pekerjaan tetap. Namun, ‘niat bantu keluarga’ inilah mendorong adik beradik ini untuk terus berusaha dan mengecapi kejayaan yang tidak disangka-sangka.
Dalam tempoh 8 tahun ini, kejayaan demi kejayaan di tempa oleh pasangan adik beradik ini dalam perniagaan. Langsung tidak terfikir oleh mereka dan merasakan ia umpama mimpi buat mereka.
Anggun Cotton Collection semakin meniti di bibir golongan wanita yang sukakan dengan koleksi pakaian rekaan mereka. Tidak hairanlah, selama tiga tahun berturut-turut dari tahun 2018 – 2020, mereka mendapat pengikhtirafan daripada JNT untul parcel dan jualan terbanyak yang diterima dan beberapa anugerah lain.
Bermula sebagai ‘reseller’ dan akhirnya berjaya membina empayar sendiri sehingga mempunyai ratusan ribu pelanggan. Inilah yang ingin Mingguan Wanita cungkilkan rahsia di sebalik kejayaan pasangan adik beradik ini.
Niat Bantu Keluarga, Berniaga Kecil-Kecilan
Anggun Cotton Collection, satu nama yang tidak asing lagi buat peminat baju kurung, baik kurung moden, mini kurung, kurung kedah dan sebagainya. Pelbagai pilihan yang menarik sentiasa menjadi perhatian dan tarikan pelanggan.
Noraini Hanipah, 38 tahun dan Norafizah Hanipah, 35 tahun adalah pengasas Anggun Cotton Collection ini. Kejayaan yang dicapai oleh adik beradik ini dalam menaikkan butik mereka tidak semudah yang disangka.
Sewa lot kedai pertama di bangunan MARA Negeri Sembilan tahun 2016
Bercerita lebih lanjut tentang permulaan dalam perniagaan ini hanyalah sekadar ‘part time’ dan kecil-kecilan di rumah.
“Kami bermula pada tahun 2014, waktu itu, saya dan kakak masih lagi bekerja dan pada masa sama berniaga secara kecil-kecilan. Pada hari biasa kami bekerja dan hujung minggu kami akan ‘full time’ untuk bisnes ini. Asalnya, kami hanya ‘reseller’ menjual kain pasang dan produk orang lain,” kata Norafizah atau dikenali sebagai Fizah memulakan cerita.
Masa jual kain pasang
Tiada Ilmu Dalam Perniagaan
Di awal penglibatan ini tentulah ada cabaran buat adik beradik yang berasal dari Mersing, Johor ini. Manakan tidak, untuk membahagian masa antara perniagaan dan kerja hakiki.
“Bayangkan pada waktu itu, kami sendiri yang menguruskan tempahan pelangagan, berulang alik seminggu sekali dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan stok. Ini belum lagi dalam menyelesaikan masalah ketiadaan stok yang dikehendaki oleh pelanggan,” kata Fizah lagi.
Apa yang boleh Fizah katakan, pada saat itu mereka masih tiada ilmu dalam perniagaan dan banyak ‘roadblock’ yang terpaksa mereka tempuhi dan kesilapan yang dilalui dalam perniagaan ini.
“Bayangkan, waktu itu, kami belum ada staf, segalanya dilakukan sendiri oleh kami, ambil tempahan, buat penghantaran parcel dan layan pelbagai karenah pelanggan,” katanya mengimbau kembali di awal perniagaan.
Susahnya Nak Dapat Jual Satu Pasang
Dalam tempoh 8 tahun dalam perniagaan inilah pelbagai kenangan manis dan pahit yang mereka lalui. Inilah pengalaman yang wajib mereka tempuh dan mungkin kepada sesiapa saja yang terlibat dalam dunia perniagaan. Bagi mereka, pengalaman yang tak mungkin dilupakan tentulah semasa awal-awal bisnes.
“Kami memulakan bisnes dengan hanya mengambil stok 100 pasang sahaja. Kami yang baru nak menapak, tentulah rasa terlalu banyak dengan jumlah ini. Nak habiskan stok ini ambil masa sampai berbulan-bulan.
“Bila jual secara online, hanya kawan-kawan yang membeli, cuba buka booth di hadapan sebuah bank, tiada siapa yang nak beli sampaikan pernah dihalau oleh peniaga lain. Nak dapat jualan satu pasang pun cukup susah.
“Semuanya sebab kami tiada ilmu dalam bisnes. Jadi, apa yang kami buat, kami belajar dan ambil ilmu daripada guru online, belajar untuk kembangkan perniagaan. Hasilnya kami ‘upgrade’ dan berjaya kembangkan perniagaan. Rupanya nak berjaya dalam bisnes ini senang saja, kena ada ilmu,” katanya yang dapat menjual sebanyak 600 pasang dalam tempoh sebulan daripada ilmu yang dipelajari. Dari titik tolak itulah Fizah dan kakaknya yakin untuk menjual produk sendiri.
Pencapaian Demi Pencapaian
Tidak pernah terjangka untuk memperoleh kejayaan sampai ke tahap ini, Fizah dan kakaknya merasakan seperti bermimpi dan keajaiban yang Allah berikan atas usaha mereka.
“Kejayaan dan kekayaan bukan kita minta tapi ‘magic’ untuk diri kita. Sesiapa yang berusaha pasti akan dapat. Kami tiada impian untuk kaya dan berjaya sehinggalah nama Anggun Cotton Colection di sebut dan langsung tidak terfikir usaha yang kami lakukan sampai ke tahap ini.
“Apa yang boleh kami katakan, setiap hari kami akan usaha untuk memajukan diri, upgrade diri, dari negatif jadi positif, sentiasa belajar dan tidak boleh selesa dengan apa yang ada,” kata Fizah lagi.
Dalam tempoh ini, Anggun Cotton Collection telah menerima banyak anugerah dan pencapaian. Antaranya, Best Brands E-Branding Award 2020 dalam Fashion Cotton Baju Kurung, Awarded Superbrands Malaysia’s Choice 2021, pengikhtirafan dari JNT dari tahun 2018-2020 dan sebagainya. Malah, sesiapa saja pasti akan terpandang billboard Anggun Cotton Collection di lebuhraya selatan dengan duta pakaian, Yana Samsuddin.
Dekatkan Diri Dengan Orang Berjaya
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga bagi Fizah dan kakaknya, Anie, setiap cabaran datang, itulah yang mereka belajar. Kena ada ilmu dalam berniaga.
“Jika tiada ilmu, banyak halangan dan kesilapan yang kitabuat. Belajar, jangan putus asa dan bangkit semula. Kita usaha dan buat sehabis baik. Selebihnya kita berdoa dan bertawakal kepadaNya,” katanya yang banyak belajar dari kejayaan orang lain an sentiasa dekatkan diri dengan orang-orang berjaya.
Apa yang ditekankan oleh Fizah adalah niat pertama kena letak dalam hati, ingin bantu keluarga, diri sendiri, bantu suami. Insya Allah, akan dilorongkan.
“Kami dari anak orang kampung, tahu macam mana susahnya. Nak dapatkan sesuatu kena cari sendiri. Mak ayah kami hanya bagi ilmu dan selebihnya kami usahakan,” katanya yang menjadikan mak ayah idola dan orang-orang yang kaya serta berjaya sebagai inspirasi untuk kejayaan mereka hari ini.
Nak tahu lebih lanjut lagi kisah kejayaan adik beradik ini, jangan lupa sertai di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
“Saya bukan seorang pendidik, tetapi sejak kecil, ibu bapa saya mendidik saya tentang pentingnya pendidikan yang baik. Hanya melalui pendidikan, kita mampu menjadi apa sahaja yang kita mahu. Walaupun kita lahir dari keluarga berada, bagaimana kita mahu mengekalkan kejayaan atau meneraju sesuatu tanpa ilmu?”.
Itu ungkapan Madam Ieka atau Nurul Atieka Mohamad Zahari penuh keyakinan.
Madam Ieka mencipta platform tuisyen dalam talian Stara yang memfokuskan kepada pelajar sekolah rendah. Dengan visi besar dan hati yang tulus, beliau percaya bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan sesiapa sahaja.
“Saya bukan seorang pendidik, tetapi sejak kecil, ibu bapa saya mendidik saya tentang pentingnya pendidikan yang baik. Hanya melalui pendidikan, kita mampu menjadi apa sahaja yang kita mahu. Walaupun kita lahir dari keluarga berada, bagaimana kita mahu mengekalkan kejayaan atau meneraju sesuatu tanpa ilmu?” kata Madam Ieka penuh keyakinan.
Menurutnya, platform Stara diwujudkan kerana keterbatasan dirinya untuk berkongsi manfaat secara meluas.
“Tenaga saya ada hadnya. Jadi saya kumpulkan guru-guru yang terbaik untuk sama-sama menyebarkan ilmu. Fokus saya pada pelajar sekolah rendah kerana asas pendidikan itu sangat penting. Jika asasnya kukuh, barulah mudah untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Stara lahir daripada impian saya, mahu setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat pendidikan yang berkualiti,” tambah beliau.
Menggilap Potensi Bukan Sekadar Akademik
Matlamat Stara bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi turut menanam benih keyakinan diri dan keberanian untuk bermimpi lebih besar. “Ramai kanak-kanak sebenarnya bijak, tetapi keyakinan mereka terlalu rendah. Mereka takut bermimpi besar dan tidak berani menonjolkan potensi diri.
Di Stara, kami bukan sahaja membantu mereka memahami subjek, tetapi turut menggilap potensi mereka. Kami mahu lahirkan generasi muda yang bijak, yakin, dan mampu bersaing pada masa hadapan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, sokongan daripada ibu bapa dan guru adalah kunci kepada perkembangan kanak-kanak sekolah rendah. Oleh itu, menjelang tahun 2025, Stara akan memperkenalkan siri kem khas yang bertujuan membina keyakinan diri dan kemahiran penting seperti public speaking, intonasi, komunikasi, serta kem untuk menguasai subjek Matematik dan Sains.
Kurikulum Unik dan Menarik
Stara hanya memberi fokus kepada lima subjek teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, dan Pendidikan Islam. Teknik pengajaran mereka bukan sahaja efektif tetapi juga menarik minat pelajar. “Kanak-kanak sekolah rendah sukar fokus, jadi kami gunakan material visual seperti gambar dan video supaya mereka lebih memahami konsep asas terlebih dahulu sebelum mendalami topik tersebut,” kata Madam Ieka.
Menariknya, tutor di Stara dipilih dengan teliti dan merupakan pakar dalam subjek masing-masing. “Kami percaya, mentor yang hebat mampu melahirkan pelajar yang hebat. Sebab itu saya pastikan tutor di Stara adalah mereka yang benar-benar mahir dan mampu menyampaikan ilmu dengan berkesan,” tambahnya lagi.
Madam Ieka percaya pengiktirafan memainkan peranan penting dalam memotivasikan pelajar untuk terus cemerlang. Oleh itu, Stara turut mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang setiap tahun untuk meraikan kejayaan para pelajar. Penghargaan bukan sahaja diberikan untuk pencapaian akademik, tetapi juga untuk sahsiah terpuji.
“Setiap usaha perlu dihargai. Kami mahu pelajar tahu bahawa setiap pencapaian mereka dihargai, walaupun sekecil mana pun. Tahun ini, dua pelajar cemerlang Uwais Ashraf Abdul Rahman, 11, dan Qaseh Raudhah Mohd Azhar, 10, telah diangkat sebagai penerima Anugerah Bintang Stara atas semangat serta kecemerlangan mereka sepanjang sesi pembelajaran,” jelasnya dengan bangga.
Untuk memenuhi keperluan pelbagai pelajar, Stara menawarkan tiga pakej iaitu Pakej Elite, Pakej VIP, dan Pakej Premier. Setiap pakej menyediakan 20 sesi kelas sebulan dengan harga bermula daripada RM149 sehingga RM299.
Gabungan teknologi dan kaedah pengajaran yang inovatif tidak hanya memberikan alternatif kepada pembelajaran tradisional tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk generasi masa depan.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.